Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Semasa Ramadhan 2015, saya berniat puasa sebulan pada malam pertama Ramadhan tu. Kemudian, di pertengahan Ramadhan, saya uzur. Selepas suci daripada haid, saya was-was sama ada puasa selepas tu, saya berniat puasa setiap malam atau tidak. Kemudian, saya ada tanya Ustazah praktikal di sekolah saya, dia cakap puasa saya masih sah sebab saya sudah berniat puasa sebulan. 

Tapi hari ini (8/6/2023), saya terdetik untuk google tentang ini. Ada ustaz, cakap niat puasa sebulan itu sudah tidak valid selepas haid. Tapi ada ustaz cakap, kalau mengikut mazhab maliki, masih valid niat itu walaupun selepas haid dengan syarat niat pada malam pertama Ramadhan. Jadi saya ingin bertanya, adakah sah puasa saya selepas haid itu? Atau saya perlu qadha dan bayar fidyah? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.(Lihat Fath al-Bari, 4/115)

Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39)

Perbezaan Pendapat Berkenaan dengan Niat Untuk Berpuasa Sebulan Ramadhan Dengan Sekali Niat

Hal ini merupakan antara permasalahan yang sering timbul dalam kalangan masyarakat Islam dan menurut pembacaan kami, para ulama’ telah terbahagi kepada dua pendapat di dalam permasalahan ini:

  • Pertama: Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan ini merupakan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik. Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat. Ia sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu niat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain. Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar.
  • Kedua: Tidak berpada dengan niat sebulan sekaligus bahkan perlulah memperbaharui niat pada setiap malam. Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadith Hafsah R.Anha sebelum ini. Hal ini kerana, puasa itu setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya). Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak. Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu. 

Sekiranya seseorang itu terlupa untuk berniat ataupun langsung tidak berniat untuk berpuasa pada malam harinya, maka berdasarkan pendapat mazhab-mazhab selain mazhab Imam Malik, maka tidak sah puasanya pada keesokan harinya. Namun begitu, terdapat jalan keluar dalam permasalahan ini, iaitu di samping berniat berpuasa Ramadhan pada setiap malam hari, maka lakukanlah juga niat pada awal malam  awal malam pertama bulan Ramadhan dengan niat untuk berpuasa sebulan Penuh sebagaimana pendapat mazhab Imam Malik.

Al-Dimyati menyatakan lagi di dalam I’anah al-Talibin: “Tetapi sebaiknya digalakkan juga untuk niat berpuasa sebulan penuh pada awal malam pertama bulan Ramadhan supaya puasanya sah dan diterima bagi seseorang yang lupa berniat pada malam harinya. Menurut pendapat Imam Malik, niat puasa sebulan penuh pada malam pertama bulan Ramadhan adalah sah. Hal ini kerana menurut Imam Malik tidak disyaratkan niat untuk berpuasa pada setiap harinya. Maka disunatkan untuk berniat puasa sebulan penuh bagi orang yang lupa untuk berniat pada malam setiap harinya supaya puasa mereka pada hari yang dia terlupa berniat itu sah disebabkan niat sebulan penuh itu.”

Kesimpulan

Antara keistimewaan kaum hawa adalah haid. Ia adalah kitaran normal bagi setiap perempuan apabila sudah mencapai umur akil baligh. Nabi SAW bersabda:

إِنَّ هَذَا شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ

Maksudnya: “Ini (kitaran haid) adalah sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan bagi anak cucu perempuan Adam.”

Riwayat Muslim (2976)

Menjawab persoalan di atas berkenaan dengan niat puasa sebulan yang terputus disebabkan haid, maka kami katakan bahawa niat puasa sebulan yang saudari lakukan yang bertaqlid kepada mazhab Maliki tidaklah terputus disebabkan uzur syar’ie tersebut. Namun begitu, mazhab al-Syafi’i dan jumhur ulama’ mengatakan bahawa niat puasa Ramadhan perlu dilakukan pada setiap malam berdasarkan hadith yang diriwayatkan  daripada Hafsah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).

Riwayat Abu Dawud (2454). Syeikh Syuaib al-Arna’ut di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2454) menyatakan hadith ini sahih.

Al-Dimyati menyatakan di dalam I’anah al-Talibin: Hadith ini ditujukan kepada Niat untuk puasa fardhu pada bulan Ramadhan. Iaitu, diwajibkan berniat untuk berpuasa pada setiap harinya, hal ini kerana puasa setiap hari adalah Ibadah yang berdiri dengan sendiri (mustaqil), iaitu untuk memisahkan ibadah yang berbeza pada setiap harinya  – sepertimana Dua Solat yang dipisahkan dengan salam”. (Lihat ‘I’anah al-Talibin, 2/249)

Al-Khiraqi juga menyatakan bahawa tidak diperbolehkan Puasa yang fardhu sehingga dia berniat puasa pada malam harinya”. (Lihat Mukhtasar al-Khiraqi, hlm. 49)

Sebagai kesimpulan dan berdasarkan dalil serta alasan yang diberikan dalam permasalahan ini, kami katakan bahawa niat puasa saudari yang sebulan itu tidak terputus disebabkan uzur syar’ie, namun begitu, kami syorkan untuk saudari mengikut  pendapat jumhur dan mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa disamping meraikan pendapat yang mengatakan boleh berniat sekaligus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya seseorang itu terlupa untuk berniat puasa fardhu pada malamnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply