Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah perempuan wajib menarik side burnnya dan membasuhnya semasa membasuh muka ketika wuduk? Boleh ustaz ulas berkaitan isu ini? Sebab ramai kami tak tahu berkaitan perkara ini. Adakah sah wuduk kami?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”
(Surah al-Maidah: 6)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: ‘وُجُوهَكُمْ’ adalah bentuk jama’ daripada ‘الوَجْهُ’ (muka). Batasan muka secara garis menegak dari atas ke bawah adalah antara mula tempat tumbuhnya rambut kepala hingga ke hujung pangkal dua rahang atau bahagian bawah janggut. Sementara secara garis melintang/mendatar adalah antara dua telinga, kiri dan kanan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/421)
Berkenaan batasan muka juga, para ulama’ mengemukakan definisinya dari sudut istilah dengan beberapa pandangan seperti berikut:
- Muka adalah di antara tempat mula tumbuh rambut pada atas dahi kepala pada kebiasaannya hingga ke bawah dagu secara panjang, dan antara dua cuping telinga secara lebar. (Lihat Umdat al-Salik, hlm. 12; al-Durr al-Mukhtar dan Hasyiah Ibn Abidin 1/65-66, al-Syarh al-Saghir 1/104, Mughni al-Muhtaj, 1/20, al-Mahalli ala Matn al-Minhaj, 1/48 dan al-Mughni 1/114-115)
- Muka adalah bahagian tempat mula tumbuh rambut di dahi kepala hingga rahang dan hujung dagu secara panjangnya dan antara cuping telinga secara lebarnya. (Lihat al-Umm, 1/40)
- Muka adalah bahagian di antara tempat tumbuhnya rambut pada kebiasaannya sehingga dua tulang rahang yang di situ tumbuhnya gigi yang bawah. Berhimpun permulaannya di dagu dan berakhir di telinga, secara panjangnya. Secara lebarnya, ia adalah di antara dua telinga. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 31)
- Bahagian muka secara menegak adalah daripada tempat tumbuh rambut hingga bahagian bawah dagu, manakala secara melintang pula adalah daripada bahagian telinga ke telinga. Justeru, wajib membasuh ke semua yang ada di atas bahagian muka termasuk luar dan dalam seperti bulu kening, misai dan janggut kecuali janggut yang tebal yang tidak nampak bahagian dalamnya, memadailah membasuh bahagian luar sahaja. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/54)
Berdasarkan definisi di atas, maka di sini timbul persoalan berkenaan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan sideburns dan rambut atau bulu yang terdapat pada muka.
- Mengenai maudhi’ al-tahzif (موضع التحذيف) iaitu tempat tumbuhnya rambut halus antara sideburns dan pelipis (bahagian kepala di antara dahi dengan telinga). Dalam hal ini ada beberapa pandangan. Abu al-Abbas berpendapat, ini termasuk dalam muka kerana ia turun ke bahagian muka. Abu Ishak pula berpendapat, ianya termasuk dalam bahagian kepala kerana Allah menciptakannya daripada kepala maka ianya tidak dikira muka. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafie, 1/38)
Jumhur ulama mentashihkan ia termasuk daripada bahagian kepala dan bertepatan dengan pandangan mazhab Syafie pada had/batas definisi kepala. Pengarang kitab Kasysyaf al-Qina’ daripada mazhab Hanbali juga memberi pendapat yang sama di mana ia termasuk dalam anggota kepala. (Lihat al-Majmu’, 1/416) Ini juga dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin (1/52).
- Mengenai al-‘izar (الْعِذَارَ) iaitu rambut yang tumbuh pada tulang berhampiran telinga (sideburns) juga wajib dibasuh. (Lihat al-Tanbih fi Fiqh al-Syafie, hlm. 15; Tuhfat al-Muhtaj, 1/173)
- Mengenai al-sudghan (الصُّدْغَانِ) iaitu kedua pelipis (di sebelah telinga dan bersatu dengan kedua sideburns dari atas) menurut pendapat yang asah, tidak termasuk wajah. Jika rambut tersebut turun dan menutupi dahi atau sebahagiannya maka wajib basuh selama mana dalam ruang lingkup definisi muka seperti yang disebutkan. Tetapi, mengikut pendapat yang dhaif, tidak wajib dibasuh melainkan jika memenuhi keseluruhan bahagian. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/51)
Berdasarkan kenyataan di atas, maka difahami bahawa rambut yang berada di kawasan muka sahaja wajib dibasuh sebagaimana pandangan muktamad dalam mazhab Syafie. Jika luar daripada kawasan muka iaitu di bahagian kepala maka tidak wajib dibasuh kerana mengambil hukum asal kejadian atau tempat tumbuhnya.
Justeru, dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahagian yang perlu dibasuh ialah umbi rambut sahaja, kerana itu adalah kawasan muka. Adapun sideburn yang terjulur keluar pada kebanyakan wanita, sunat ditarik dan dibasuh.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H
Leave a Reply