Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Nak tanya, politik itu akidah atau hanya wasilah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan apa yang pernah saya catatkan di dalam Fiqh Politik seperti berikut:

Politik dalam Kamus Dewan ditakrifkan kepada beberapa takrif:

Pertama: Ia merupakan ilmu, ilmu (pengetahuan) berkenaan cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dan lain-lain), ilmu siyasah dan ilmu kenegaraan.

Kedua: Segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain.

Ketiga: Kelicikan, muslihat, tipu muslihat. Berpolitik pula ditakrifkan sebagai mengambil bahagian dalam politik, menjalankan (mengamalkan) politik.

Mempolitikkan pula ditakrifkan sebagai memasukkan ke dalam urusan politik, menjadikan sebagai urusan politik, menjadikan (sesuatu) kelihatan ada kaitannya dengan politik. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1223)

Perkataan politik berasal daripada kata akar polis dari Bahasa Greek, yang bererti negara, kota, dan kemajuan. Istilah politik dipopularkan oleh Plato dalam bukunya Politea dan Aristotle dalam bukunya Politicia. Politik merupakan istilah yang digunakan untuk membincangkan konsep pengaturan masyarakat.

Dalam bahasa Arab, politik juga dikenali sebagai siyasah daripada perkataan (سَاسَ يَسُوْسُ سِيَاسَةً) yang memberi maksud cara mengurus tadbir dan memerintah, mengurus atau mengatur perkara mengikut syariat Islam. Antara perkataan yang hampir seerti dengannya ialah:

  • Al-Khilafah (الخِلَافَةُ)
  • Al-Imamah (الإمَامَةُ)
  • Al-Siyadah (السِّيَادَةُ)
  • Al-Riyasah (الرِّيَاسَةُ)
  • Al-Qiyadah (القِيَادَةُ)

Berdasarkan disiplin ilmu-ilmu Islam, perbahasan politik dibincangkan di bawah bidang fiqh dan bukan di bawah perbahasan aqidah. Justeru, politik Islam sering dikenali sebagai al-Siyasah al-Syar’iyyah, Fiqh al-Siyasah al-Syar’iyyah, al-Ahkam al-Sultaniyyah, dan lain-lain lagi.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam pernah menekankan bahawa penjajah (beliau memaksudkan Barat) sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan tanggapan bahawa hubungan Islam dengan politik atau negara tidak pernah wujud. Saya tidak berhajat untuk menghuraikan dengan panjang lebar perbezaan antara pandangan alam Islam dan Barat tentang politik. Sudah tentu jauh bezanya. 

Para pembaca boleh merujuk buku Ahmet Davutoglu – mantan Perdana Menteri Turkiye yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia – yang bertajuk Alternative Paradigms: The Impact of Islamic and Western Weltanschauungs on Political Theory dan Tarikh al-Khulafa’ al-Rashidin: al-Futuhat wa al-Injazat al-Siyasiyyah oleh sejarawan terkenal Arab, Dr. Muhammad Suhail Taqoush.

Kembali kepada isu di atas. Ya, kalimah politik (al-siyasah) tidak terdapat dalam al-Qur’an. Maka, sebahagian pihak menyimpulkan Islam tidak ada kaitan dengan politik. Adapun dalam hadith, cuma ada satu kalimah yang berasal daripada kata akar al-siyasah. Rasulullah SAW bersabda:

كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ اللهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

Maksudnya: “Dahulu Bani Isra’il dipimpin oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, ia akan digantikan oleh nabi [lain]. Namun sungguh tidak ada nabi lagi sesudahku, dan sepeninggalanku akan ada para khalifah yang semakin ramai.” [Para sahabat] bertanya, “Wahai Rasulullah, lalu apa yang engkau perintahkan untuk kami?” Beliau menjawab, “Tunaikanlah baiat kepada [khalifah] yang pertama kemudian kepada yang berikutnya, lalu penuhilah hak mereka, dan mintalah kepada Allah apa yang menjadi hak kalian, kerana sesungguhnya Allah akan mempersoalkan mereka tentang apa yang mereka pimpin.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Cuma, mereka yang cakna akan mendapati bahawa asas pemikiran politik itu disebutkan oleh Allah SWT dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an. Tanpa perlu bersusah payah, kita akan berjumpa deretan ayat-ayat al-Qur’an yang membahaskan perihal kerajaan yang adil dan kerajaan yang zalim, sistem demokrasi dan sebagainya. Ada ketikanya Allah SWT menggunakan istilah al-tamkin, al-istikhlaf, dan al-hukm. Fokusnya cuma dua; samada memuji atau mencela. Itulah asas-asas politik dalam Islam. 

Justeru, dari mana mulanya kalimah al-siyasah dipopularkan dalam Islam?

Boleh jadi pernyataan pertama dalam sejarah Islam yang menggunakan kalimah al-siyasah dalam bentuk kata dasar (masdar) dengan erti kata perkara terkait kekuasaan (al-muta’alliq bi al-hukm) adalah kata-kata ‘Amru bin al-‘As ketika mengangkat kredibiliti Mu’awiyyah di depan Abu Musa al-‘Asy’ari. Katanya: 

إِنِّي وَجَدْتُهُ وَلِيَّ الْخَلِيفَةِ الْمَظْلُومِ، وَالطَّالِبَ بِدَمِهِ، الْحَسَنَ السِّيَاسَةِ، الْحَسَنَ التَّدْبِيرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mendapati beliau layak menggantikan khalifah yang dizalimi. Beliau juga dapat menuntut darahnya, politik yang baik, tadbir urus yang baik.” (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 5/68)

Adapun dalam bentuk kata kerja yang lampau (fi’il al-mudari’), terdapat ungkapan Saidina Umar dalam al-Mustadrak susunan al-Hakim. Manakala ungkapan Saidina ‘Ali dalam bentuk yang sama, boleh ditemui dalam al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah.

Dalam syariat Islam, perbahasan politik dibincangkan di bawah ilmu fiqh dan bukan di bawah perbahasan aqidah. Kerana itulah kita dapati banyak ijtihad-ijtihad baharu oleh para pemimpin politik Muslim sepanjang zaman disebabkan sifat fiqh itu yang fleksibel. Ia mula dibahaskan sebahagian kecilnya dalam bab ‘aqidah apabila para ulama’ Ahli Sunnah wal Jama’ah melihat mazhab Syiah mula mengangkat isu imamah, sebagaimana asalnya mazhab Syiah bermula dengan pertelingkahan politik dan akhirnya menjadi pertelingkahan akidah.

Menjawab persoalan di atas, memang benar politik adalah wasilah tetapi ia amat penting kerana dengannya tertegaknya khilafah yang diredhai oleh Allah SWT jika yang mentadbirnya benar-benar mengikut titah perintah Allah SWT. Maka, untuk memisahkan antara politik dengan agama, adalah tidak tepat sama sekali kerana politik sejuzuk daripada agama, sebagaimana Rasulullah SAW dan Khulafa al-Rasyidin mentadbir negara Madinah mengikut acuan al-Quran dan Sunnah. 

Dengan membaca pelbagai tulisan, jelas menunjukkan kepada kita betapa perlunya politik yang baik dan pemimpin serta kepimpinan yang baik. Ini kerana rakyat sudah tentu akan terpengaruh dan mengikut sikap pemimpin mereka.

النَاسُ عَلَى دِينِ مُلُوكِهِمْ

Maksudnya: “Manusia adalah berdasarkan agama (cara hidup) pemimpinnya.”

Oleh kerana dengan berpolitik secara sebenarnya mengikut lunas hukum syarak dan undang-undang, maka ia termasuk dalam perkara yang penting dan perlu diberi keutamaan. Kerana itu, kitab-kitab fiqh banyak menyebut tentang isu seperti ini. Ia juga selaras dengan kaedah:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Perkara yang tidak sempurna satu kewajipan melainkan dengan perkara tersebut maka perkara tersebut adalah wajib.”

Kami nyatakan betapa perlunya mereka yang soleh dan bertanggungjawab serta mampu menggalas tugas untuk mentadbir sesebuah negara agar syiar dan syariat Islam dapat ditegakkan. Benarlah firmah Allah SWT: 

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” 

Surah al-Haj (41)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT, mudah-mudahan Allah SWT kurniakan kepada kita pemimpin yang bertaqwa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply