Soalan:

Assalamualaikum Dato, saya ingin bertanya adakah dalam ihram kita boleh membuka ihram untuk mandi atau kencing?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya:Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.

(Surah al-Baqarah: 196)

Memakai pakaian ihram

Secara umumnya apabila seseorang lelaki itu hendak melakukan ibadah haji atau umrah, maka dia hendaklah memastikan tidak memakai apa-apa pakaian yang dilarang untuk dipakai dalam ihram dan memakai pakaian ihram bagi lelaki iaitu satu kain di atas (rida’) dan satu kain di bawah (izar). Lalu melakukan niat memasuki ihram (memulakan amalan haji atau umrah) dari miqat kerana berihram dari miqat termasuk dalam perkara wajib haji dan umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488).

Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan, bagi jemaah lelaki hendaklah memakai izar (kain lepas bawah) dan rida’ (kain atas) kerana hal itu telah sabit daripada perbuatan dan perintah Nabi SAW. Begitu juga disunatkan izar dan rida’ berwarna putih. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 4/60).

Imam al-Nawawi juga ada menyatakan, di antara adab-adab ihram (bagi lelaki) adalah menanggalkan pakaian yang diharamkan kepada orang yang berihram memakainya dan memakai kain lepas bawah (izar) dan atas (rida’). Kain ihram yang paling afdhal ialah kedua-duanya berwarna putih, baru dan bersih serta makruh dicelupkannya dengan warna. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 127).

Menjawab bagi persoalan di atas, setelah meneliti pandangan para ulama  dapat kami nyatakan di sini adalah dibolehkan untuk menanggalkan pakaian ihram bagi tujuan untuk membersihkan badan, menqadha hajat atau disebabkan kepanasan. Namun harus diingat perlu memakainya kembali pakaian ihram tersebut  kerana masih berada dalam keadaan ihram  dan ia tidak boleh ditanggalkan melainkan setelah selesai bertahallul.

Ibn Baz menyatakan: Dibolehkan menanggalkan pakaian ihram bagi tujuan membersihkan badan atau disebabkan kepanasan. Menanggalkan rida (kain ihram yang dipakai di bahagian atas) atau Izar (kain ihram yang dipakai di bahagian bawah ) kemudian memakainya balik maka kedua-duanya dibolehkan  bagi tujuan membersihkan badan.[1]

Fatwa Dar al-Ifta al-Misriyyah menyatakan: Setelah berihram, dibenarkan untuk mandi, menukar pakaian Ihram, dan menggunakan sabun untuk membersihkan meskipun sabun tersebut berbau; kerana sabun tersebut tidak disebut sebagai wangi, dan jika menggunakan sesuatu yang tidak berbau adalah lebih utama.[2]

Tindakan menanggalkan pakaian ihram bertujuan menqadha hajat bukanlah daripada perkara yang dilarang dan ia tidak dikenakan dam. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiah, 11/400)

Justeru, kami nasihati sekiranya terdapat apa-apa kemusykilan berkaitan dengan haji dan umrah ketika berada di Makkah maka rujuklah para asatizah yang bertugas di sana supaya kita mendapat kefahaman yang jelas dan dapat mencari jalan keluar dari masalah yang dihadapi.

Semoga Allah memberi kefahaman yang baik dalam melaksanakan syariat-syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ. يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah haji ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal shaleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam.”

[1] https://binbaz.org.sa/fatwas/17472/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D9%86%D8%B2%D8%B9-%D8%A7%D9%84%D8%A7%D8%AD%D8%B1%D8%A7%D9%85-%D9%84%D8%BA%D8%B1%D8%B6-%D8%A7%D9%84%D8%A7%D8%B3%D8%AA%D8%AD%D9%85%D8%A7%D9%85#:~:text=%D8%A7%D9%84%D8%AC%D9%88%D8%A7%D8%A8%3A,%D9%84%D8%A7%20%D8%A8%D8%A3%D8%B3%20%D8%A8%D9%87%20%D9%88%D8%A7%D9%84%D8%AD%D9%85%D8%AF%20%D9%84%D9%84%D9%87%20. Diakses pada 21 Jun 2023

[2] https://www.daralifta.org/ar/fatawa/12614/%D8%A7%D9%84%D8%A7%D8%BA%D8%AA%D8%B3%D8%A7%D9%84-%D8%A7%D8%AB%D9%86%D8%A7%D8%A1-%D8%A7%D9%84%D8%A7%D8%AD%D8%B1%D8%A7%D9%85. Diakses pada 21 Jun 2023.

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply