#2007: Melukis Gambar yang Tidak Menutup Aurat di Buku Teks

Soalan:

Apakah hukum melukis aurat wanita tetapi lukisan tersebut dari segi adatnya tidak mengghairahkan dan tidak menimbulkan fitnah. Bahkan dilukis untuk tujuan dakwah dan pendidikan. Contohnya dalam buku-buku teks, komik dakwah mengenai batas2 aurat, dan bahan bantu mengajar yang mempamerkan watak org bukan Islam.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ ۚ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ ۖ

Maksudnya: “Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (yakin Adam dan isterinya) (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga.”

(Surah al-A’raf: 22)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa menutup aurat itu merupakan satu fitrah insani yang mana telah sedia ada dalam diri setiap manusia. Oleh kerana itulah Nabi Adam AS dan isterinya menutup aurat masing-masing apabila terbuka, meskipun masih belum ada sebarang syari’at yang diturunkan pada waktu tersebut.

Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar RA:

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”

Riwayat Abu Daud (4104) dan al-Baihaqi (3218)

Menurut Imam al-Nawawi, hukum melihat aurat ajnabi samada bagi lelaki dan wanita adalah haram dengan ijma’ ulama (Lihat Sharḥ al-Nawawī ʿalā Muslim, 4/30). Adapun melihat gambar yang bercetak atau dalam bentuk digital, boleh diqiyaskan hukumnya kepada pantulan objek pada cermin atau air yang dibincangkan oleh para ulama’.

Imam al-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam al-Minhāj menyebutkan, diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka, tapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan. Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sebahagian ulama’ kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung. Namun, keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah (Lihat Nihāyah al-Muḥtāj, 6/187; Iʿānah al-Ṭālibīn, 3/301).

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan jika lukisan tersebut bertujuan untuk pendidikan seperti di buku teks sekolah, komik dakwah dan seumpamanya, maka hukumnya adalah harus dan dibolehkan selagi mana tidak mendatangkan fitnah seperti menimbulkan syahwat dan seumpamanya.

Sepertimana kaedah fiqh menyebut:

الْحَاجَةُ تٌنزَّلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ

Maksudnya: Sesuatu hajat atau keperluan itu diraikan setakat yang diperlukan.

 

Berkenaan isu aurat ini, saudara juga boleh rujuk di link bawah:

#1626: Wanita Tidak Menutup Aurat Dalam Design Website[1]

#33 Muatnaik Gambar Lama Tidak Tutup Aurat[2]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Wallahua’lam.

 

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

[1] https://maktabahalbakri.com/1626-wanita-tidak-menutup-aurat-dalam-design-website/

[2] https://maktabahalbakri.com/muatnaik-gambar-lama-tidak-tutup-aurat/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *