#2017: Membatalkan Niat Puasa Ganti Sebelum Terbit Fajar

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dr, saya ingin bertanya tentang membatalkan niat untuk berpuasa ganti Ramadhan sebelum masuknya waktu subuh, adakah ia dikira berdosa dan perlu untuk meneruskan puasa pada hari tersebut?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.

 (Surah al-Baqarah: 185)

Puasa qadha’ Ramadhan ialah puasa yang dilakukan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan sama ada secara uzur ataupun dengan sengaja. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.

Hukum Membatalkan Puasa Qadha’ Ramadhan

Hukum membatalkan puasa qadha’ adalah berdosa sekiranya tanpa uzur yang disyariatkan seperti haid dan musafir. Ini sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ R.Anha :

يَا رَسُولَ اللَّهِ لَقَدْ أَفْطَرْتُ وَكُنْتُ صَائِمَةً ‏.‏ فَقَالَ لَهَا:‏ أَكُنْتِ تَقْضِينَ شَيْئًا  ‏.‏ قَالَتْ: لاَ ‏.‏ قَالَ :‏ فَلاَ يَضُرُّكِ إِنْ كَانَ تَطَوُّعًا

Maksudnya: “Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa.” Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqadha’kan sesuatu (puasa)?” Beliau berkata: “Tidak.” Sabda Rasulullah SAW: “Maka tidak memudaratkan (memberi dosa) kepadamu sekiranya ia adalah puasa sunat.”

Riwayat Abu Daud (2456)

Perkara ini turut dijelaskan dalam kitab Kifayah al-Akhyar di mana tidak boleh bagi seseorang untuk membatalkan puasa qadha’ kerana telah memulakan sesuatu perkara yang wajib. Oleh itu tidak boleh sengaja membatalkannya melainkan dengan keuzuran yang dibolehkan syarak. (Lihat Kifayah al-Akhyar fi Halli Ghayah al-Ikhtisar, 1/207)

Para ulama’ juga tidak berbeza pandangan dalam isu ini, sepertimana dijelaskan oleh Ibnu Qudamah: “Sesiapa yang melakukan puasa wajib, seperti puasa qadha’ Ramadhan, atau nazar atau puasa kaffarah, maka tidak boleh membatalkannya. Tiada khilaf dalam perkara ini, walhamdulillah.”( Lihat al-Mughni, 3/160)

Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan dengan hukum membatalkan puasa qadha boleh lah merujuk  pada artikel yang telah kami bahaskan yang bernombor  #1043: Membatalkan Puasa Qadha’ Ramadhan.[1]

Menjawab bagi persoalan di atas, kami nyatakan di sini bahawa tiada halangan untuk membatalkan niat puasa ganti sekiranya belum terbitnya fajar kerana masih tidak memasuki waktu yang diwajibkan untuk berpuasa . Manakala sekiranya telah terbitnya fajar maka, tidak dibolehkan membatalkan puasa tersebut tanpa ada keuzuran yang dibenarkan oleh syara’.

Syaikh al-Fauzan berkata :  Sebelum terbitnya fajar, tiada halangan bagi seseorang untuk membatalkan niat puasa ganti atau puasa sunat kerana dia masih belum memulakan puasanya. Oleh yang demikian, dia boleh berpuasa pada hari-hari yang lain.[2]

Justeru, kami nasihati lebih baik jika menggantikan puasa terlebih dahulu dalam segala keadaan sebagai pembebasan dari tanggungjawab dan mentaati perintah Allah SWT. Sekiranya waktu telah sempit,  maka wajib  ke atasnya menyegerakan puasa ganti tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas dalam beragama dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah:201)

Wallahu a’lam.

[1] https://maktabahalbakri.com/1043-membatalkan-puasa-qadha-ramadhan/#_ftn4. Diakses pada 21 Jun 2023.

[2] https://dralfawzann.com/file/22092/. Diakses pada 21 Jun 2023.

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *