#1043: Membatalkan Puasa Qadha’ Ramadhan

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-64%
Rated 0 out of 5
RM50.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang membatalkan puasa qadha’ Ramadhan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Puasa qadha’ Ramadhan ialah puasa yang dilakukan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan sama ada secara uzur ataupun dengan sengaja. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.

Kewajiban mengqadha’ (mengganti) puasa Ramadhan yang tertinggal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”[1]

Hukum Membatalkan Puasa Qadha’ Ramadhan

Berbalik kepada persoalan di atas, hukum membatalkan puasa qadha’ adalah berdosa sekiranya tanpa uzur yang disyariatkan seperti haid dan musafir. Ini sepertimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA:

يَا رَسُولَ اللَّهِ لَقَدْ أَفْطَرْتُ وَكُنْتُ صَائِمَةً ‏.‏ فَقَالَ لَهَا:‏ أَكُنْتِ تَقْضِينَ شَيْئًا  ‏.‏ قَالَتْ: لاَ ‏.‏ قَالَ :‏ فَلاَ يَضُرُّكِ إِنْ كَانَ تَطَوُّعًا ‏

Maksudnya: “Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa.” Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqadha’kan sesuatu (puasa)?” Beliau berkata: “Tidak.” Sabda Rasulullah SAW: “Maka tidak memudaratkan (memberi dosa) kepadamu sekiranya ia adalah puasa sunat.”[2]

Perkara ini turut dijelaskan dalam kitab Kifayah al-Akhyar di mana tidak boleh bagi seseorang untuk membatalkan puasa qadha’ kerana telah memulakan sesuatu perkara yang wajib. Oleh itu tidak boleh sengaja membatalkannya melainkan dengan keuzuran yang dibolehkan syarak.[3]

Para ulama’ juga tidak berbeza pandangan dalam isu ini, sepertimana dijelaskan oleh Ibnu Qudamah: “Sesiapa yang melakukan puasa wajib, seperti puasa qadha’ Ramadhan, atau nazar atau puasa kaffarah, maka tidak boleh membatalkannya. Tiada khilaf dalam perkara ini, walhamdulillah.”[4]

Secara lebih jelas, beliau menyebut bahawa sesiapa yang telah memulakan puasa wajib seperti qadha Ramadhan, puasa nazar hari tertentu atau nazar mutlak, atau puasa kerana kafarah, dia tidak boleh membatalkannya. Hal ini kerana sesuatu yang statusnya wajib ain, perlu dilakukan. Sementara sesuatu yang bukan wajib ain, ia menjadi wajib ain jika telah dilakukan, sehingga statusnya sama dengan wajib ain.[5]

Hal ini berbeza dengan puasa sunat, dimana seseorang bebas untuk meneruskan puasa atau berbuka. Sabda Rasulullah SAW:

الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ

Maksudnya: Seseorang yang berpuasa sunat berkuasa atas dirinya sendiri. Jika dia mahu, maka dia boleh teruskan berpuasa. Dan jika mahu, dia juga boleh berbuka.[6]

Imam al-Nawawi berkata: “Jika seseorang melakukan hubungan intim suami isteri selain ketika puasa Ramadhan, seperti ketika puasa qadha’, atau nazar, atau selainnya, maka dia tidak dikenakan kaffarah. Inilah pendapat jumhur. Qatadah menyatakan bahawa dia dikenakan kaffarah sekiranya melakukannya ketika puasa qadha’ Ramadhan.”[7]

Terdapat juga fatwa yang dikeluarkan oleh majlis fatwa kerajaan Jordan di mana fatwa ini menyebut: “Sesiapa yang berpuasa qadha’, kemudian membatalkannya tanpa uzur, maka dia telah berdosa. Dia wajib menggantikan puasa qadha itu semula.”[8]

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin pernah menyebut: “Berkenaan puasa qadha’, kita tidak boleh membatalkannya. Kerana menurut kaedah yang telah digariskan oleh nas-nas ialah, sesiapa yang mengerjakan ibadah wajib, maka dia tidak boleh membatalkannya kecuali uzur yang dibenarkan oleh syariat.[9]

Syeikh Abdul Aziz juga pernah ditanya tentang orang yang tidak menyempurnakan puasa qadha’ Ramadhan kerana kelaparan, lalu beliau menjawab: “Seseorang tidak boleh berbuka puasa disebabkan berasa lapar. Bahkan, dia perlu bersabar sehinggalah matahari terbenam. Ini kerana puasa qadha’ Ramadhan ialah satu perkara fardhu yang tidak boleh dipandang enteng. Jika seseorang berasa lapar ketika berpuasa fardhu, atau berasa dahaga, dia hendaklah bersabar dan menyempurnakan puasa tersebut. Lainlah jika dia khuatir akan mati atau menderita kesakitan yang luar biasa.”[10]

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa sesiapa yang telah melakukan puasa qadha’ Ramadhan, maka dia tidak boleh membatalkannya tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan oleh Syarak.

Bagi mereka sengaja yang membatalkan puasa qadha Ramadhan tanpa sebarang keuzuran, maka wajib ke atas mereka untuk mengulangi semula puasa ganti tersebut, bertaubat kepada Allah SWT dan berazam untuk tidak mengulangi kesalahan itu.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 18 Mei 2022 bersamaan 17 Syawal 1443H

[1]Surah al-Baqarah: 184

[2] Riwayat Abu Daud (2456)

[3] Lihat Kifayah al-Akhyar fi Halli Ghayah al-Ikhtisar, 1/207

[4] Lihat al-Mughni, 3/160

[5] Lihat al-Mughni, 3/160 – 161

[6] Riwayat al-Tirmizi (732)

[7] Lihat al-Majmu’, 6/383

[8] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question1.aspx?QuestionId=1238#.YDSm79gzbIU

[9] Lihat https://binothaimeen.net/content/595

[10] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/11228/حكمالافطارفيصومالقضاء

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *