Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mohon pencerehan, jika penganjur sesuatu majlis memohon sumbangan dari peserta sebanyak RM10 atau lebih, bertujuan membeli hadiah bagi acara cabutan bertuah. Dimaklumkan bahawa kesemua yang memberi sumbangan akan dapat satu hadiah dari cabutan bertuah itu, tetapi nilai harga hadiah tersebut berbeza-beza. Adakah ianya termasuk dalam memperjudikan nasib atau ianya dibenarkan dalam Islam?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kita lihat terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan sumbangan. Di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, sumbangan didefinisikan sebagai sesuatu yang diberikan sebagai bantuan kepada keramaian dan lain-lain.

Sinonim  bagi ‘sumbangan’ adalah ‘sedekah’. Para fuqaha’ mentakrifkan sedekah sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah SWT dan mencari keredhaan-Nya. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 271)

Manakala judi pula disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak. (Lihat al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 7589)

Syeikh Jalaluddin al-Mahalli berkata bahawa judi itu merupakan sebuah bentuk pertaruhan yang diharamkan, yang terdedah untuk menang atau kalah. (Lihat Syarh al-Minhaj, 4/226)

Perjudian itu sendiri boleh memberikan kesan yang negatif dalam pergaulan antara manusia. Hal ini kerana ia menyebabkan pihak-pihak tertentu menghadapi kerugian, manakala pihak lainnya memperoleh keuntungan. Allah SWT telah memberikan kepada kita peringatakn bahawa judi ini tidak lain hanyalah tipu daya syaitan untuk menimbulkan persengketaan, sebagaimana dalam firman-Nya:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).”

(Surah al-Maidah: 91)

Melihat kepada persoalan di atas, jelas bahawa ia tidaklah termasuk dalam mana-mana bentuk perjudian. Ini kerana jumlah RM10 atau lebih yang diberikan itu adalah wang yang diberikan secara sukarela tanpa mengandungi apa-apa unsur pertaruhan. Bahkan jika para peserta memilih untuk tidak memberikan apa-apa sumbangan juga tidak menjadi apa-apa masalah.

Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi pula, para ulama’ telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:

  • Ia disertai oleh dua orang atau lebih, atau dua kumpulan manusia atau lebih.
  • Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
  • Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah, di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan.

Manakala, situasi yang diceritakan dalam soalan tidak mempunyai kesemua ciri-ciri yang telah disebutkan di atas. Adapun hadiah yang diberikan oleh penganjur kepada semua penyumbang, maka ia tidak terkait dengan apa-apa unsur pertaruhan yang melibatkan harta dua belah pihak. Akan tetapi ia hanyalah satu bentuk kemurahan hatinya untuk memberikan sesuatu yang merupakan miliknya kepada penyumbang sebagai bentuk penghargaan.

Marilah kita sama-sama mengamalkan doa di bawah agar kita dijauhkan daripada tipu daya dan hasutan syaitan:

رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ ‎﴿٩٧﴾‏ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari hasutan syaitan-syaitan; Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”

(Surah al-Mu’minun: 97-98)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply