Soalan:

Saya ingin mengajukan pertanyaan berkaitan dengan Mandi Hadas/Wajib kepada anak saya. Untuk makluman Dato’, anak saya disahkan mengalami Autism dan ADHD. Usia anak saya sudah 14 tahun dan tidak boleh beza najis atau suci. Baru-baru ini semasa saya hendak memandikan anak saya waktu pagi, saya mendapati kesan air mani (kering) di perut dan seluar. Mohon tunjuk ajar daripada Yang Berbahagia Dato’. bagaimana cara untuk saya menguruskan hal ini. Berikut cara yang saya buat untuk anak saya: 

  • 1. bersihkan kesan 
  • 2. Jirus air di bahagian badan sebelah kanan sambil saya niat mengangkat hadas kepada anak saya. 3X 
  • 3. jirus badan sebelah kiri 3X 

Segala bantuan, penjelasan daripada pihak Dato’ saya dahului dengan ucapan terima kasih. Sekian,

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

 

Takrif Autism dan ADHD

Autism berasal dari perkataan Greek (autos) yang bermaksud sendiri. Ia merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya yang sendiri. Manakala, dari segi perubatan, ia bermaksud seseorang terganggu akibat masalah kemahiran interaksi sosial, tingkah laku tidak wajar yang berulangan, pemencilan diri, serta mempunyai keinginan terhad terhadap sesuatu benda.

ADHD ialah singkatan dari Attention-Deficit/ Hyperactivity Disorder yang membawa maksud kecelaruan tingkkah laku/sikap yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Ia melibatkan tiga jenis kepayahan:

  • Kurang tumpuan
  • Hiperaktif
  • Menurut kata hati (Impulsiviti) (Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)

 

Dalil Berkaitan Bersuci

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

Surah al-Ma’idah (6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

 

Berbalik kepada soalan di atas, pertamanya kami katakan saudara telah melaksanakan tanggungjawab saudara sebagai ayah dalam menguruskan anak. Keduanya, berkenaan kaedah mandi wajib, jika sekiranya ia dimulakan dengan niat mandi wajib/ mengangkat hadas dan kemudiannya air diratakan keseluruh badan, serta rongga-rongga yang terbuka, maka ia sudah dikira sah. 

Kami juga takdirkan anak saudara kepada dua keadaan:

  • Jika sekiranya dia seorang yang lembam, maka ajarilah dia secara perlahan-lahan dan penuh kasih sayang. InsyaAllah, tindakan sauadara akan memberi natijah yang baik. Mungkin satu hari nanti dia mampu untuk berdikari dalam hal-hal yang menjadi fardhu ‘ain ke atasnya.
  • Tetapi jika sekiranya beliau ditakdirkan kurang siuman maka ia dikategorikan sebagai orang yang tidak menerima taklif. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW: Daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.”

Riwayat al-Tirmizi (1423) dan Ahmad (956)

Syeikh al-Mubarakfuri, memahami maksud “المَعْتُوهِ” sebagai gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/570). Kata Ibn Abidin di dalam hasyiahnya bahawa para ahli usul telah menjelaskan bahawa hukum bagi orang “المَعْتُوه” ini seperti bayi yang mumayyiz serta berakal pada kelakuannya dan terangkat tanggungjawabnya (terlepas daripada beban tanggungjawab). (Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 2/426)

Di sini, kami jelaskan berkenaan tatacara mandi wajib sebagai panduan saudara.

Tatacara Mandi Wajib

Sepertimana diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.”

Riwayat Bukhari (248)

Berdasarkan hadith di atas, dapat kita fahami:

1) Rukun mandi wajib: 

  • Niat mandi wajib

Niat umum:

نَوَيْتُ رَفْعَ الْحَدَثِ الْأَكْبَرِ للهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.

  • Menghilangkan kotoran atau najis di badan.
  • Meratakan air ke seluruh tubuh badan yang zahir.

2) Tatacara mandi wajib:

  • Niat apabila air sampai ke badan.
  • Membaca “Bismillah.”
  • Membasuh tangan tiga kali.
  • Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.
  • Membersihkan tangan kiri dengan sabun
  • Mengambil wuduk seperti yang biasa dilakukan sebelum solat, atau boleh tangguhkan membasuh kaki selepas selesai mandi.
  • Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara rata dan siram kepala 3 kali dengan air. Bagi perempuan yang mandi haid atau mandi junub, hendaklah ditanggalkan ikatan rambut.
  • Mulakan dengan bahagian kanan badan.
  • Menyapu air ke seluruh badan.
  • Berwuduk sekiranya ingin menunaikan solat fardhu.

Berkenaan mandi wajib, kami juga telah nyatakan dalam artikel sebelum ini:

#1074 Masukkan Air dalam Hidung ketika Mandi Wajib

https://maktabahalbakri.com/1074-masukkan-air-dalam-hidung-ketika-mandi-wajib/

#1679: Melambatkan Mandi Wajib

https://maktabahalbakri.com/1679-melambatkan-mandi-wajib/

#1344: Mandi Wajib dalam Tub Mandi Kurang Dua Kolah

https://maktabahalbakri.com/1343-mandi-wajib-dalam-tub-mandi-kurang-dua-kolah/

 Kami katakan anak-anak istimewa seperti ini merupakan anugerah Tuhan yang diberikan kepada sesebuah keluarga. Banyak keluarga yang kami dapati dengan kehadiran insan istimewa ini menjadi baik, damai, bertanggungjawab dan bertimbang rasa. 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply