#1074 Masukkan Air dalam Hidung ketika Mandi Wajib

-40%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM50.00RM110.00
Rated 0 out of 5
RM6.00
-69%

Buku Fizikal

Solat Sunat Tahajjud

Rated 0 out of 5
RM5.00RM35.00
-32%

Siri Kematian

Fiqh Jenazah

Rated 0 out of 5
RM8.00RM15.00

Siri Solat Sunat

Solat Hari Raya

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Istisqa

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM10.00

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum masukkan air ke dalam hidung ketika mandi wajib dalam mazhab Syafi‘i, wajib atau sunat? Mohon percerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[1]

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]

Begitu juga, Al-Sa‘di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain.[3]

Secara umumnya, mandi wajib adalah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati.[4] Manakala memasukkan air ke dalam hidung dipanggil sebagai istinsyaq.[5]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum memasukkan air ke dalam hidung ketika mandi wajib. Pendapat pertama, iaitu para ulama daripada kalangan mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat, berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika mandi wajib adalah wajib. Ulama mazhab Hanbali berhujah bahawa kedua-duanya diwajibkan kerana mulut dan hidung termasuk dalam bahagian muka. Oleh itu, wajib untuk berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung, tidak kira dalam taharah kubra (yakni mandi wajib) mahupun taharah sughra (yakni berwuduk). Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda:

الْمَضْمَضَةُ وَالاِسْتِنْشَاقُ مِنَ الْوُضُوءِ الَّذِي لاَ بُدَّ مِنْهُ

Maksudnya:Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung merupakan sebahagian daripada wuduk yang mesti dilakukan.”[6]

Selain itu terdapat juga hadith lain daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa:

أنَّ النَّبيَّ ﷺ أمرَ بالمَضمضةِ والاستنشاقِ

Maksudnya:Nabi SAW memerintahkan untuk berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung.”[7]

Begitu juga kerana mulut dan hidung berada pada hukum anggota zahir, berdalilkan bahawa orang yang berpuasa tidak dikira terbatal puasanya dengan hanya sampainya (masuk) sesuatu kepada kedua-duanya, akan tetapi puasanya terbatal dengan kembali memuntahkannya selepas sampainya sesuatu itu kepada kedua-duanya.

Manakala pendapat kedua, iaitu para ulama dalam kalangan mazhab Maliki dan Syafi‘i berpendapat, berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika mandi wajib adalah tidak diwajibkan kerana mulut dan hidung tidak termasuk dalam anggota zahir badan. Justeru, tidak diwajibkan untuk membasuh kedua-duanya (ketika mandi wajib), tetapi ia termasuk dalam perkara sunat mandi wajib.[8]

Al-Khatib al-Syirbini daripada kalangan ulama mazhab Syafi‘i jelas menyebutkan, tidak diwajibkan ketika mandi wajib untuk berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Bahkan sebaliknya kedua-dua perkara itu adalah disunatkan sebagaimana ketika berwuduk dan mandi mayat.[9]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa memasukkan air ke dalam hidung ketika mandi wajib adalah termasuk dalam perkara sunat dan bukannya wajib sebagaimana pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Justeru, mandi wajib dikira sah tanpa kedua-dua perbuatan itu. Walau bagaimanapun, jika tiada sebarang halangan, seboleh-bolehnya janganlah meninggalkan perbuatan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung, baik ketika mandi wajib mahupun ketika berwuduk sebagai mengambil jalan keluar daripada mereka yang mewajibkannya kerana keluar daripada khilaf itu adalah mustahab (digalakkan).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 12 Ogos 2022 bersamaan 14 Muharram 1444H

[1] Surah al-Ma’idah: 6

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61

[3] Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 222

[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73.

[5] Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 65.

[6] Riwayat al-Baihaqi (242); Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Dhu‘afa’ (4/256) menyebutkan, aku tidak mengetahui hadith ini melainkan dengan wajah ini. Manakala al-Daraqutni pula dalam al-Dirayah (1/47) menyatakan, hadith ini adalah sahih mursal.

[7] Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, hadith ini diriwayatkan secara mursal dan ia adalah kuat. (Lihat al-Dirayah, 1/19); al-Daraqutni juga menyatakan bahawa hadith ini adalah mursal sahih (Lihat al-Dirayah, 1/47); Manakala al-Baihaqi pula dalam al-Sunan al-Kubra (1/52) menyatakan, ia diriwayatkan secara mausul dan mursal, dan padanya terdapat mutaba‘ah. Selain itu, ia juga diriwayatkan daripada jalur ‘Ammar dan Ibn ‘Abbas, tetapi kedua-dua jalur itu tidak terpelihara (ghair mahfuz).

[8] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 31/208-209.

[9] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/219.

Leave a Reply

Your email address will not be published.