#1075: Kaitan antara Alkimia dan Tasawuf

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan apa maksud alkimia sebagaimana dalam kitab Ahasin al-Kalim Syarah al-Hikam berkenaan dengan jawapan Ibn Ata’illah al-Sakandari apabila ditanya tentang alkimia, maka jawabnya:

اقْطَعْ طَمَعَكَ مِنَ اللهِ أَنْ يُعْطِيكَ غَيْرَ مَا قَسَمَ لَكَ وَمِنَ الخَلْقِ أَنْ يَنْفَعُوكَ أَوْ يَضُرُّوكَ

Maksudnya:  Putuskan tamak kamu daripada Allah, maka Dia akan memberi kamu apa yang Dia tidak janji bagi kamu dan daripada makhluk sama ada mereka memberi manfaat atau mudharat kepada kamu.  (Lihat ‘Uddah al-Murid al-Sadiq, hlm. 110)

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Persoalan di atas sebenarnya menjadi polemik di kalangan ulama’ pada kurun ke-6, 7, 8 dan 9 Hijri. Boleh jadi, ia lebih awal daripada itu. Ini dapat dilihat pandangan masing-masing sama ada di pihak yang pro atau kontra.

Sebenarnya perkataan alkimia  (alchemy) telah wujud sebelum zaman Ibn Ata’illah al-Sakandari lagi. Bahkan ia wujud sejak zaman klasik Yunani lagi. Alkimia  merupakan cabang dari fizik yang mempelajari tentang susunan, struktur, sifat dan perubahan bahan. Ibnu Khaldun pula dalam al-Muqaddimah (hlm. 433) mendefinisikan alkimia sebagai ilmu yang mempelajari tentang bahan (al-maaddah) yang dapat dibentuk menjadi emas dan perak, juga mempelajari proses pembentukannya.

Ia berbeza dengan ilmu kimia (chemistry) yang dipelajari dalam sains dari sudut falsafahnya kerana alkimia meyakini unsur metafizik pada pengamalannya manakala ilmu kimia adalah sebaliknya . Alkimia adalah ilmu yang mencampur adukkan unsur proto sains, mitologi, astrologi, falsafah, sihir, kerohanian pelbagai agama dan lain-lain. Pengamal alkimia yakin bahawa setiap logam dan bahan bukan emas adalah roh yang tidak sempurna sifatnya dan kemampuan menukarnya menjadi emas adalah untuk menyempurnakan sifat wujudnya.

Menurut Syeikh Ahmad Zarruq dalam Uddatu al-Murid al-Sadiq (hlm. 224), mereka yang terjebak itu adalah orang-orang yang memiliki kualiti beragama yang kurang baik, sedikit kehormatan (muru’ah), tidak cerdas, terlalu berfantasi dan jauh dari kefahaman yang benar. Mereka dianggap tidak cerdas kerana menjerumuskan diri sendiri ke dalam aktiviti yang boleh membahayakan, mengurangkan kualiti beragama, merosakkan harta, dan merosakkan nama baik kerana terobses pada sesuatu yang tidak jelas, bahkan tidak pernah membuahkan hasil. Dalam sebuah syair disebutkan:

كَافُ الكُنوزِ وكَافُ الكِيمِيَاءِ مَعًا       لَا يُوجَدَان، فَدَعْ عَن نَفْسِكَ الطَّمَعا

Orang yang mengumpulkan harta karun dan al-kimia

         Tidak dapat keduanya, maka janganlah dirimu mengharapkannya.

Justeru, kami katakan, jawapan Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari tadi untuk mengalih semata-mata dari segi zahir dapatan dan kajian kepada hubungan dengan Allah SWT. Ini kerana, kaitan antara alkimia hanya mengkaji dan menyusun bahan-bahan sehingga akhirnya bertukar kepada jenis bahan yang lain. Sedangkan tasawwuf pula membentuk hati, jiwa dan sanubari manusia dari ke arah baik kepada yang lebih baik dan terunggul. Inilah yang terbeza antara kedua-duanya.

Jawapan Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari di atas seolah-olah menjelaskan sepatutnya sebarang bentuk ilmu sekalipun dapatannya akan kembali kepada mengharapkan kepada Allah, mencari mardhatillah dan seterusnya membawa kepada al-falah.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Ogos 2022 bersamaan 17 Muharram 1444H

[1] Nama sebenar ‘Bapa Kimia’ Jabir Ibnu Hayyan adalah Abdullah Jabir bin Hayyan bin Abdullah al-Azdi, seorang doktor bangsa Arab yang unggul menguasai lebih daripada satu cabang ilmu pengetahuan. Lahir pada tahun 721 M (101 H) menurut riwayat yang paling masyhur. Ada juga pendapat menyebut lahir pada 737 M (117 H). Meninggal dunia pada tahun 813 M (197 H) dan pendapat lain menyebut pada 810 M (195 H) Beliau pernah tinggal di Iraq iaitu di bandar Kufah dan Baghdad.

Beliau adalah seorang ahli kimia pertama dan terunggul serta lama berkecimpung dalam bidang tersebut. Status Jabir bin Hayyan serta peranannya dalam pembangunan ilmu kimia adalah seperti penciptaan amali teori yang khayali kepada fakta sains; telah menobatkan beliau sebagai ahli kimia Arab. Jaber Bin Hayan dianggap sebagai seorang pujangga dalam penciptaan asas saintifik kimia moden dan buktinya disaksikan berdasarkan kata-kata para sarjana Barat sendiri. Ilmuan perancis bernama Berthelot mengatakan: “Bandingan kepakaran Jabir dalam kimia adalah umpama kepakaran Aristotles di bidang ilmu logic”. Ahli falsafah Inggeris Francis Bacon pula pernah berkata bahawa Jabir bin Hayyan adalah orang yang pertama memberi pengetahuan tentang kimia kepada dunia dan beliau dianggap seorang bapa dalam bidang kimia. (https://www.majalahsains.com/jabir-ibnu-hayyan-bapa-kimia-dari-dunia-islam/)

One thought on “#1075: Kaitan antara Alkimia dan Tasawuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *