Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bab masjid kami ni, dewan serbaguna besar, yang telah dijadikan dewan untuk kenduri kendara secara kekal. Sebab nak dijadikan sebagai dana pendapatan tetap masjid. Jika nak buat program-program besar masjid, kami dah tidak dibenarkan untuk guna dewan tersebut. Sedangkan tujuan asal dewan tersebut adalah serbaguna. Dana pembinaan masjid ini dahulu adalah sepenuhnya daripada infaq/wakaf org ramai. Objektif tujuan asal penderma, untuk jadikan sebagai tempat ibadah. Ada ahli qariah mohon tanyakan beberapa pendapat daripada alim ulama berkenaan perkara ni.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat sesorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadis Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir, 2/66)

Ibn al-Jauzi menyebut, yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid (dalam ayat di atas), ada dua pendapat:

  • Selalu datang ke masjid dan duduk di dalamnya (untuk beribadah kepada Allah SWT)
  • Membangunkan masjid dan memperbaikinya. (Lihat Zad al-Masir fi ‘Ilm al-Tafsir, 3/408)

Syeikh al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya “Orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 6/228)

Buya Hamka berkata: “Di sini terdapat kalimat (انما) yang dalam bahasa arab disebut (اداة حصر) yang membawa maksud ‘alat pembatas’. Kita maksudkan di sini (hanya), maka terbataslah orang-orang yang boleh meramaikan dan memakmurkan masjid-masjid Allah, iaitu hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, yang solat dan berzakat, dan tidak ada tempat takutnya melainkan Allah. Di luar orang-orang yang mempunyai syarat selengkapnya, tidaklah boleh meramaikan dan memakmurkan masjid.” (Lihat Tafsir al-Azhar, 10/164)

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi, memakmurkan masjid bermaksud mendirikan solat di dalamnya, berdoa, berzikir dan menegakkan syiar-syiarnya. Takrif ini menggambarkan bahawa masjid bukan sekadar tempat untuk melaksanakan ibadat, tetapi juga untuk menyampaikan dakwah Islam.

Aktiviti pengajian ilmu agama perlu diadakan di masjid-masjid supaya ia sampai kepada masyarakat dengan baik. Masjid itu adalah madrasah dakwah dan ia juga pejabat negara Islam. Masjid adalah tempat mengadakan mau’izah dan pengajian harian, mingguan dan ceramah berkala.

Masjid berperanan dalam memberi ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita penting untuk ummah, bertemu dengan diplomat asing, mengatur tentera di medan perang, menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian. (Lihat al-Dawabit al-Syar’iyyah li Bina’ al-Masajid, hlm. 6-7)

Menjawab persoalan di atas, isunya cukup mudah apabila baik komunikasi dan interaksi antara jawatankuasa masjid dan juga khalayak masyarakat. Jika dapat dirunding dan dibincangkan dengan lebih baik maka tidak ada hal yang tidak dibolehkan. Sifat tolak ansur dan mengalah jika wujud dalam masyarakat maka perkara yang susah akan menjadi senang. Begitu juga, perkara yang berat menjadi amat ringan.

Wujudkan sentiasa jalinan komunikasi agar masing-masing dapat memanfaatkan sebaik mungkin. Syor kami, buat jadual waktu apabila berlaku tempahan di dewan masjid untuk penggunaan. Walaupun ramai yang memohon jika kita penggunakannya dengan penuh efisien dan profesional sepatutnya tempahan dua atau tiga orang atau persatuan boleh dilaksanakan dalam satu-satu masa atau dalam satu hari. 

Sebagai contoh, A memohon untuk kenduri kahwin pukul 12 sehingga 3 petang. B pula memohon pada hari yang sama dan C pula memohon pada waktu malam, D pula memohon pada waktu malam. Hal ini berlaku pada hari yang sama contohnya pada hari Sabtu. Sebaik-baiknya dirundingkan terlebih dahulu di aman boleh dipakatkan antara A dan B mengikut jumlah jemputan jika boleh dibahagi 2, bahagi 2 dengan sedikit hadangan. Jika tidak, maka susun waktu, boleh jadi B memerlukan untuk majlis akikah anaknya yang mungkin boleh dilaksanakan sekitar 2 jam sahaja, sama ada pukul 5 hingga 7 atau lepas Asar hingga sebelum Maghrib.

Sedangkan pada waktu malam pula majlis pengajaran mungkin bermula selepas Maghrib sekitar pukul 8 hingga 9.30. Maka, si D yang ingin mengadakan majlis yang lain pula bersesuaian mungkin dimulakan pukul 10 hingga 11.30 malam. Perkara ini perlu dirunding dengan sebaiknya dan akhirnya semua dapat manfaat di samping masjid juga mempunyai pendapatan yang lumayan sehingga dapat mengembangkan pelbagai bentuk aktiviti bagi dilaksanakannya. 

Konsep penggunaan penghadang sebagai mana di hotel-hotel yang sepatutnya boleh dilakukan satu function tetapi dengan adanya penghadang berdasarkan dengan jumlah tetamu yang dijemput boleh jadi dapat digunakan 2 atau 3 majlis dalam majlis yang hampir serentak. 

Saya melihat sebahagian negara seperti di Singapura, mereka mempunyai masjid kebanyakannya sederhana besar tetapi dimaksimumkan penggunaannya dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang. Dua perkara penting perlu dilihat di sini, maksimumkan penggunaan dan optimumkan penjadualan serta pembahagian masa untuk mereka yang menempah dewan atau ruangan masjid; seperti pejabat, perpustakaan dan lain-lain.

Kalaulah ini dapat dilaksanakan perkara yang pertama akan berlaku ialah kita diajar bagaimana menggunakan masa dan memeliharanya. Mungkin, satu soalan timbul berkenaan dengan meja dan sebagainya. 

Justeru, amat perlu sebuah tim yang cekap yang hanya mengambil masa kurang 10 atau 20 minit untuk di set-up serta dibersihkan dewan yang telah diguna sehingga dapat memberi laluan kepada pengguna berikutnya. Tadbir urus seeprti ini akan menatijahkan keuntungan berganda buat masjid sehingga merancakkan lagi imarahnya selaras dedngan kehendak agama. 

Akhir kalam marilah sama-sama kita berdoa agar kita termasuk di kalangan orang yang mendirikan solat:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply