Soalan:

Assalamualaikum Dato, saya ingin bertanya apakah Lafaz takbir sebenar pada zaman nabi Muhammad SAW  ? Terima Kasih

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Firman Allah SWT lagi :

 وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: “Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!”

(Surah al-Muddatthir: 3)

Maksudnya, hendaklah kamu agungkan Tuhanmu dan disebut dengan kalimah Allahu Akbar (اللهُ أًكْبَرُ). Diriwayatkan juga bahawa tatkala turunnya ayat ini Rasulullah SAW terus menyeru “Allahu Akbar!” (اللهُ أًكْبَرُ). Maka Saidatina Khadijah R.Anha juga bertakbir dan dia amat sukacita dan yakin bahawa itu merupakan satu wahyu. (Lihat Kitab al-Inayah ‘ala al-Hidayah, 1/239)

Takbir hari raya terbahagi kepada dua jenis iaitu; Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.

  1.  Takbir Mursal: Ia juga disebut sebagai Takbir Mutlak, kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu-waktu solat. Justeru, disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa, dan ia terdapat pada Aidilfitri dan Aidiladha. Waktunya adalah bermula daripada tenggelam matahari pada malam hari raya sehingga takbiratul ihram Solat Hari Raya.
  2. Takbir Muqayyad: Perlaksaanan takbir ini terikat selepas solat, tidak kira solat fardhu ataupun sunat, solat dalam waktunya (أداءً) ataupun solat qadha’ sekalipun solat jenaza, dan ia hanya terdapat pada Aidiladha. Waktunya pula dibezakan antara orang yang mengerjakan haji dengan orang yang tidak mengerjakan haji.

Daripada Ali dan Ammar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW:

كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ

Maksudnya: “Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.” 

Riwayat al-Hakim (no. 1111) dengan sanad yang sahih.

Menjawab bagi persoalan di atas,  umat islam disunatkan untuk mengumandangkan takbir pada hari raya aidilfitri dan hari raya aidiladha kerana takbir merupakan syiar islam yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat khususnya pada kedua-dua hari raya tersebut. Antara lafaz dan sighah takbir yang warid daripada Rasulullah SAW dan diamalkan oleh para sahabat adalah seperti berikut :

Daripada  Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bertakbir bermula Subuh Hari Arafah sehingga akhir Hari Nafar, dan tidak pada waktu Maghrib, tiga kali dengan lafaz berikut:

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ اللهُ أَكْبَرُ وَأَجَلُّ اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا

Riwayat al-Baihaqi (6280)

Al-Mahamiliy (المحاملي) meriwayatkan dengan sanad yang sahih juga tentang lafaz takbir raya daripada Ibnu Mas’ud: 

اللهُ أكْبَرُ كَبِيْرا،ً اللهُ أكْبَرُ كَبِيْراً، اللهُ أكْبَرُ وَأجَلّ، اللهُ أكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْد

Maksudnya: Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar dan Yang Maha agung, Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.” [Irwa’ al-Ghalil: 3/126]

Imam al-Nawawi menukilkan bahawa Syeikh Ibn Sibagh, pengarang kitab al-Syamil bahawa tiada masalah untuk bertakbir dengan cara kebiasaan manusia, sebanyak tiga kali, seperti lafaz berikut:

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Maksudnya: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tidak ada sembahan yang benar melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan untuk Allah segala pujian.”

(Lihat  al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab, 2/81)

Oleh yang demikian, lafaz “اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

“merupakan lafaz yang disunatkan oleh kebanyakan para ulama dan mereka menukilkan di dalam kitab mereka. Imam al-Syafi’I menyatakan : Takbir adalah seperti mana takbir Rasulullah SAW dalam solat “اللَّهُ أَكْبَرُ” iaitu Imam memulakan takbir “اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ” sehingga dia mengucapnya tiga kali . Sekiranya ditambah lagi takbir tersebut maka itu adalah lebih baik. Jika  ditambah dengan lafaz :

 “اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا اللَّهُ أَكْبَرُ، وَلَا نَعْبُدُ إلَّا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدَّيْنَ، وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وَاَللَّهُ أَكْبَر”

Maka itu adalah lebih baik dan aku menyukainya sekira dimulai dengan lafaz takbir tiga kali secara berturut-turut. Sekira lafaz takbir tersebut dilafazkan sekali sahaja maka ia sudah memadai .(Lihat al-Umm, 1/276)

Semoga kita menjadi hamba Allah yang sentiasa berzikir dan saya menutup dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply