Soalan:

Assalamualaikum Dato, saya ingin bertanya berkenaan ibadah haji. Saya telah menunaikan ibadah haji, jika saya ingin menunaikan kali ke 2, manakah lebih afdal niat untuk diri saya atau niat untuk bapa (badal) saya yang telah meninggal dan tidak mampu dilaksanakan masa hidup nya. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukallaf. Justeru, setiap Muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut. 

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853).

Diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda :

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya dan utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.

Riwayat Muslim (16)

Muhammad al-Amin al-Harari ketika menjelaskan lafaz “وَحَجِّ الْبَيْتِ” menyatakan, tujuannya adalah untuk mengerjakan ibadah khusus, bagi mereka yang mampu untuk menunaikannya. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 2/132).

Ulama bersepakat bahawa Ibadah haji merupakan satu kefardhuan. Tiada seorang di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada yang mengingkari sesuatu yang telah ditetapkan oleh al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/115)

Menjawab bagi persoalan di atas, oleh kerana saudara/saudari telah melaksanakan haji wajib maka  kami berpandangan untuk haji yang seterusnya adalah lebih afdal bagi saudara/saudari melakukannya untuk ibu bapa yang telah meninggal dunia yang tidak sempat melaksanakan ibadah haji. Yang demikian bagi menyempurnakan tanggungjawab  mereka yang tidak sempat dilaksanakan ketika mereka masih hidup. Hal ini bersesuaian dengan apa yang telah diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ

Maksudnya:Seorang wanita daripada (kabilah) Juhainah datang kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Sesungguhnya ibuku pernah bernazar untuk mengerjakan haji, namun dia belum mengerjakan haji sehinggalah dia wafat. Adakah aku boleh mengerjakan haji sebagai wakilnya?’ Baginda menjawab: ‘Ya, kerjakanlah haji sebagai wakilnya. Apakah pandanganmu bahawa jika ibumu mempunyai hutang, adakah engkau akan melunaskannya? Tunaikanlah hak Allah, kerana sesungguhnya hak Allah lebih berhak untuk dipenuhi.’

Riwayat al-Bukhari (1852)

Ibn Hajar al-Haitami menyebut, oleh kerana disamakan haji dengan hutang dan juga adanya tuntutan untuk melunaskannya, maka ia menunjukkan kewajipan mengerjakan haji bagi pihak si mati, dan perbelanjaannya diambil daripada harta si mati. Beliau menambah lagi, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta pusaka, maka gugur kewajipan haji ke atasnya begitu juga tidak wajib seseorang waris mengerjakan haji bagi pihaknya. Akan tetapi disunatkan bagi para waris mahupun orang asing untuk mengerjakan haji bagi pihak si mati sekalipun ahli waris tidak mengizinkannya.(Lihat Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj,4/28-29)

Melaksanakan badal haji bukan sahaja boleh dilakukan untuk waris  yang telah meninggal dunia bahkan ia dibolehkan juga melakukan untuk waris yang masih hidup yang tidak mampu mengerjakan haji contohnya seperti orang tua yang uzur. Ini juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan riwayat lain daripada Ibn Abbas R.Anhuma dari riwayat lain, beliau berkata:

كَانَ الفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ، فَجَعَلَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَصْرِفُ وَجْهَ الفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ، أَفَأَحُجُّ عَنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، وَذَلِكَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ

Maksudnya:Al-Fadhl membonceng tunggangan Rasulullah SAW, lalu datang seorang wanita daripada suku Khath‘am, lalu al-Fadhl melihat ke arah wanita tersebut, dan wanita itu melihat ke arahnya. Nabi SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke sisi (arah) lain. Lalu wanita itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas para hamba-Nya untuk menunaikan haji. Aku mendapati bapaku seorang yang sudah tua, sehingga tidak mampu untuk menunggang haiwan tunggangan. Adakah aku boleh melaksanakan haji untuknya?’ Baginda bersabda: ‘Ya (boleh).’ Demikian (perkara ini) berlaku ketika Baginda melaksanakan haji wada‘.

Riwayat al-Bukhari (1513)

Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan :  harus menunaikan haji ke atas orang lain sama ada yang telah meninggal dunia ataupun yang uzur berpanjangan pada haji sunat.(Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2098)

Diriwayatkan daripada Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَن حَجَّ هذا البَيْتَ، فَلَمْ يَرْفُثْ، ولَمْ يَفْسُقْ، رَجَعَ كما ولَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa mengerjakan haji ke Baitullah dan dalam melaksanakan haji dia tidak berkata-kata kotor dan tidak berbuat fasik maka dia kembali seperti hari dilahirkan ibunya.”

Riwayat Bukhari (1820) dan Muslim (1350)

Dinyatakan dalam Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah bahawa ganjaran pahala haji diperolehi oleh si mati atau orang  uzur yang tidak berkemampuan mengerjakan haji kerana hadith di atas datang dengan lafaz umum iaitu termasuk orang yang melakukkan haji untuk diri sendiri atau orang yang melaksanakannya bagi pihak lain.  (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah, 11/8637)

Justeru, kami katakan di sini melakukan badal haji kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia adalah lebih afdhal sekiranya telah melaksanakan haji wajib dan ia  juga termasuk dalam perkara  berbakti kepada mereka setelah mereka meninggal dunia.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam beribadah kepadanya dan kami akhiri dengan sepotong doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

Maksudnya: “Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply