Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Mungkin boleh Dato’ Seri terangkan di mana tempat keluarnya Imam Mahdi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di antara tanda-tanda kiamat ialah terbitnya matahari di sebelah barat, turunnya Nabi Allah Isa AS, keluarnya dabbatul ardh dan juga munculnya Imam mahdi. 

Menjawab persoalan di atas kami katakan bahawa al-Mahdi akan keluar dari arah timur. Hal ini berdasarkan hadith daripada Thauban R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

يَقْتَتِلُ عِنْدَ كَنْزِكُمْ ثَلاَثَةٌ؛ كُلُّهُمْ اِبْنُ خَلِيْفَةٍ، ثُمَّ لاَ يَصِيْرُ إِلَـى وَاحِدٍ مِنْهُمْ، ثُمَّ تَطْلُعُ الرَّايَاتُ السُّوْدُ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ، فَيَقْتُلُوْنَكُمْ قِتْلاً لَمْ يَقْتُلْهُ قَوْمٌ… (ثُمَّ ذكر شَيْئًا لاَ أَحْفَظُهُ، فَقَالَ:) فَإِذَا رَأَيْتُمُوْهُ؛ فَبَايِعُوْهُ، وَلَوْ حَبْوًا عَلَى الثَّلْجِ؛ فَإِنَّهُ خَلِيْفَةُ اللهِ اَلْمَهْدِيُّ.

Maksudnya: “Ada tiga orang yang akan saling membunuh di sisi simpanan kamu; mereka semua adalah putera khalifah, kemudian ia tidak akan kembali kepada salah seorang dari mereka. Akhirnya, muncullah bendera-bendera hitam dari arah timur, lalu mereka akan memerangi kamu dengan peperangan yang tidak pernah dilakukan oleh satu kaum pun.. (lalu Baginda menuturkan sesuatu yang tidak aku fahami, kemudian bersabda): Jika kamu melihatnya, maka bai’ahlah dia. Walaupun dengan merangkak di atas salji, kerana sesungguhnya dia ialah khalifah Allah, al-Mahdi.”

Riwayat Ibn Majah (4084), al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/464) dan beliau berkata: “Hadith ini sahih dengan syarat al-Syaikhan.” Hal ini disepakati oleh al-Zahabi. Ibn Kathir berkata: Sanadnya kuat dan sahih. (Lihat al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)

Menurut Ibn Kathir, yang dimaksudkan dengan simpanan pada lafaz tersebut ialah simpanan Ka’bah. Tiga orang putera-putera khalifah akan saling berbunuhan di sisinya untuk merebutkannya hingga tiba akhir zaman. Kemudian, keluarlah al-Mahdi dan beliau datang dari arah timur. Beliau didokong oleh orang-orang dari timur yang menolongnya, menegakkan kekuasaannya, memperkuat sendi-sendinya, dan bendera mereka ketika itu juga berwarna hitam yang melambangkan ketenangan, sebagaimana bendera Rasulullah SAW di mana ia juga berwarna hitam dengan sebutan al-‘Uqab. Dia akan dibai’ah di Masjidil Haram (berhampiran Ka’bah) sebagaimana diisyaratkan oleh sebahagian hadith. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/16)

Ibn Kathir turut menegaskan: “Al-Mahdi akan muncul dari arah timur, dan bukan dari Gua Samira’ sepertimana yang disangkakan oleh Syi’ah (Rafidhah). Mereka menunggu hingga sekarang, sedangkan sangkaan golongan Rafidhah tersebut hanyalah igauan semata-mata dan pemikiran yang sangat lemah. Sangkaan tersebut tidak ada landasan sama sekali daripada al-Quran mahupun al-Sunnah. Apa yang mereka sangkakan tersebut sangat tidak logik dan tidak selari dengan akal yang sihat. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/17)

Kami menutup perbincangan ini untuk sama-sama mengajak semua bagi mengangkat tangan memohon doa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” 

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply