#2235: Sifat-Sifat Imam Mahdi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah para ulama pada waktu itu menisbahkan yang ini lah Imam Mahdi yang sebenar? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, antara sifat-sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi AS adalah seperti berikut:

  • Beliau merupakan seorang anak Adam.
  • Dahinya luas dan hidungnya mancung.
  • Kedua-dua matanya bercelak.
  • Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
  • Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.
  • Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
  • Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
  • Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW. (Lihat al-Isya’ah li Asyrat al-Sa’ah, Muhammad bin Rasul al-Husaini al-Barzanji, hlm. 85)

Menurut Abu Nu’aim pula, antara ciri-ciri yang terdapat pada diri al-Imam al-Mahdi adalah:

  • Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
  • Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa A.S dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.
  • Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
  • Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun. (Lihat al-Sa’ah li Asyrat al-Sa’ah, oleh Abu Nu’aim al-Asfahani, hlm. 85)

Semoga Allah SWT jadikan kita sentiasa tetap dalam iman dan dapat mentaati-Nya berdasarkan taufik dan hidayah daripada-Nya. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya:Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *