Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, benarkah untuk puasa sunat Isnin dan Khamis, jika kita tidak berpuasa pada hari Isnin, maka kita tidak boleh berpuasa pada hari Khamis juga? Maksudnya jika kita ingin puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, kita perlu berpuasa pada kedua-dua hari tersebut tidak boleh berpuasa pada salah satu hari sahaja. Mohon pencerahan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, kita dituntut dan digalakkan untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Hal ini adalah berdasarkan kepada beberapa riwayat dan hadith. Di antaranya, riwayat daripada Abu Qatadah al-Ansari R.A, bahawa Rasulullah SAW ditanya berkenaan puasa pada hari Isnin. Baginda SAW menjawab:
فِيهِ وُلِدْتُ، وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ
Maksudnya: “Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itu juga diturunkan wahyu kepadaku.”
Riwayat Muslim (1162)
Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كانَ النَّبيُّ – صلّى اللهُ عليهِ وعلى آلِهِ وسلَّمَ – يَتحرّى صَومَ الاثنينِ والخَميسِ
Maksudnya: “Nabi SAW biasanya berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.”
Riwayat al-Tirmizi (745); al-Nasa’i (2361) dan Ibn Majah (1739); Ia dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Targhib (1044)
Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.”
Riwayat al-Tirmizi (747) dan beliau menilainya sebagai hasan gharib. Ia juga dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Targhib (1041)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak ada dalil mahupun syarat yang menyatakan bahawa seseorang yang ingin berpuasa pada hari Isnin, mesti juga berpuasa pada hari Khamis. Sebaliknya sah puasa sunatnya jika dilakukan hanya pada Isnin sahaja mahupun hari Khamis sahaja, dan dia memperoleh pahala sunat tersebut. Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan seseorang yang dapat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut adalah lebih baik dan afdhal.
Bukan itu sahaja, bahkan seseorang boleh untuk melakukan puasa sunat pada mana-mana hari pun dalam seminggu yang dikehendakinya melainkan pada sebahagian hari yang mana terdapat perselisihan ulama padanya iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian ulama yang berpendapat, puasa sunat semata-mata pada hari Jumaat atau Sabtu atau Ahad adalah makruh. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 3/458; Nihayah al-Muhtaj, 3/209; Mughni al-Muhtaj, 2/184-185).
Nabi SAW bersabda:
لا يَصُومَنَّ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ إِلا يَوْمًا قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَهُ
Maksudnya: “Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa sunat semata-mata pada hari Jumaat melainkan berpuasa sebelumnya atau sehari selepasnya”.
Riwayat al-Bukhari (1849) dan Muslim (1929)
Ulama menyatakan larangan yang terdapat dalam hadith tersebut merujuk kepada larangan yang tidak putus — yakni merujuk kepada makruh. Manakala berpuasa semata-mata pada hari Ahad pula diqiyaskan kepada ibadah puasa pada hari Sabtu. Menurut ulama sebab menjadikan perbuatan ibadah puasa semata-mata itu makruh adalah kerana hari tersebut merupakan hari yang diagung-agungkan oleh orang Yahudi. Manakala hari Ahad pula adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang Nasrani. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 2/94; Mughni al-Muhtaj, 2 /185).
Imam al-Nawawi menyatakan, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) menyebutkan, Makruh semata-mata berpuasa sunat pada hari Jumaat, namun sekiranya bersambung puasa tersebut dengan hari sebelum atau selepasnya ataupun bertepatan hari Jumaat tersebut dengan kebiasaannya (adatnya), sebagai contohya seseorang itu bernazar berpuasa apabila sembuh daripada penyakitnya atau datangnya Zaid selalu lalu ia bertepatan perkara tersebut pada hari Jumaat maka puasa sunatnya tidak menjadi makruh. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/479).
Begitu juga, tidak makruh mengerjakan puasa semata-mata Jumaat, Sabtu atau Ahad sekiranya hari-hari tersebut dianjurkan oleh syarak untuk berpuasa seperti Hari Asyura atau Hari Arafah yang jatuh bertepatan pada hari-hari berkenaan atau tidak makruh bagi mereka yang megerjakan puasa sunat Nabi Daud (puasa selang seli di antara berpuasa sehari dan berbuka sehari) atau tidak makruh juga mereka yang mengerjakan puasa Qadha’ atau puasa nazar. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/209).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H