#2301: Khalifah Umar Mengambil Harta Baitulmal?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Umar pernah membelanjakan harta Baitulmal sesuka hati atau mengambilnya untuk dirinya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, Umar adalah khalifah yang kedua yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk kita mengikutinya:

اقْتَدُوا بِاللَّذَيْنِ مِنْ بَعْدِي مِنْ أَصْحَابِي أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ 

Maksudnya: “Ikutlah kamu semua dengan dua orang selepasku, dari kalangan sahabatku, iaitu Abu Bakr dan Umar.”

Riwayat al-Tirmizi (3805), Ibn Majah (98), Ahmad (23293) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5503)

Dalam perjalanan kehidupan, kisah zaman Saidina Umarlah yang paling panjang kerana dia memerintah hampir 10 tahun iaitu dari tahun 13 H sehingga 23 Hijrah. Dalam menjawab persoalan ini, saya nukilkan pendapat Imam al-Ghazali:

Suatu masa, Bendahari Baitulmal pernah ditanya: “Pernahkah Umar membelanjakan harta Baitulmal sesuka hati?” Dia menjawab: “Pernah beberapa ketika sewaktu Umar tidak ada apa untuk dimakan, dia mengambil sedikit daripada Baitulmal sekadar nilai yang diperlukan. Kemudian, apabila dia memperoleh sedikit pendapatan, dia akan membayarnya semula.” Dan Umar pernah berkhutbah pada suatu hari: “Wahai manusia, ketika zaman Rasulullah SAW, wahyu masih lagi diturunkan. Lalu, dengannya kita mengenali perlakuan manusia baik buruknya, zahir dan batinnya. Dan sekarang wahyu telah pun terputus. Maka, kita memandang perlakuan luaran manusia. Adapun, Allah lebih mengetahui apa yang tersimpan sebagai rahsia dalam hati mereka. Dan aku semampunya telah menetapkan ke atas diriku sendiri dan para pegawaiku untuk tidak mengambil sesuatu daripada harta rakyat tanpa hak dan tidak memberikan sesuatu tanpa hak.” (Lihat Nasihat Buat Pemerintah, hlm. 90)

Ini menunjukkan betapa zuhudnya Khalifah Umar Ibn al-Khattab dalam membelanjakan harta negara dan seboleh-bolehnya beliau ingin menggantikan apa yang digunakannya walaupun itu haknya. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *