Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya merasa tertekan dalam hidup dengan pelbagai masalah yang dihadapi. Menginsafi sebagai seorang Islam, saya yakin kepada Allah SWT. Persoalan saya, apakah kehidupan sebenar bagi seorang Muslim?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Orang Muslim ialah orang yang menyerah dan patuh kepad perintah ALlah SWT dan melaksanakan segala rukun Islam dan iman dengan penuh ihsan. Seorang Muslim yang orang-orang Islam yang lain selamat daripada kejahatannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Amru R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: “Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.”

Riwayat Al-Bukhari (6484)

Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 1/62)

Firman Allah SWT:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Surah al-Nahl (97)

Imam al-Tabari dalam menafsirkan ayat ini berkata, barangsiapa yang melakukan amalan ketaatan dan menyempurnakan janji-janjinya kepada Allah SWT apabila dia berjanji daripada kalangan orang lelaki dan perempuan daripada anak Adam dalam keadaan dia seorang yang beriman, iaitu orang yang percaya akan ganjaran yang dijanjikan daripada Allah SWT dan ancaman bagi yang melakukan maksiat, nescaya Allah SWT akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik. (Lihat Jami’ al-Bayan, 14/350)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Kehidupan yang baik mencakupi pelbagai bentuk kesenangan yang bermacam-macam jenis. Ibn Abbas dan beberapa ulama lain mentafsirkannya dengan maksud rezeki yang halal lagi baik atau kebahagiaan, atau mengamalkan ketaatan dan hati merasa senang atau qana’ah. Yang sahih, sebagaimana dikatakan oleh lbn Kathir, “Kehidupan yang baik adalah mencakupi semua itu.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 7/461)

Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Kehidupan seorang Muslim yang hakiki adalah selepas kematian, sedangkan orang kafir kehidupannya sebelum itu, yakni di dunia. Justeru, setiap orang bekerja untuk kehidupannya.

Allah SWT berfirman:

وَمَا هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ ۚ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Maksudnnya: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).”

Surah al-Ankabut (64)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply