#2358: Soal Selidik Dikira Mendedah Aib?

Soalan:

Apa hukum responden dedah aib sendiri dalam soal selidik atau kajian yang dilakukan oleh pihak tertentu? Saya faham dedah aib dalam instagram stories (ask) itu berdosa sebab tak perlu. Tetapi bagaimana dengan kaji selidik oleh pihak klinik, universiti, penyelidik, hospital, dan sebagainya? Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Aib menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud rasa hina atau malu akibat perbuatan keji dan sebagainya oleh seseorang anggota keluarga dan lain-lain.

Manakala, menyebarkan aib menurut islam itu seakan suatu bentuk ghibah yang diharamkan. Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara ini di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

Maknanya: “’Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat? Para sahabat berkata: ‘Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya.’ Nabi SAW bersabda: ‘Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya’.” 

Riwayat Muslim (2589)

Dalam isu berkenaan aib ini, kami telah jelaskan dalam artikel-artikel sebelum ini:

#2173: Apa Itu Aib Menurut Islam?[1]

#1781: Membuka Aib Seseorang untuk Tujuan Motivasi[2]

#1391: Mengaibkan Pencuri[3]

#1768: Memberitahu Aib Sebelum Berkahwin[4]

 

Terdapat beberapa keadaan di mana seseorang itu dibenarkan membuka aib orang lain, kami ringkaskannya seperti berikut:

  • Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
  • Membantu dalam menentang perkara yang munkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
  • Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
  • Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
  • Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
  • Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina. (Lihat Riyadh al-Solihin, hlm. 432)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan kaji selidik oleh pihak klinik, universiti, penyelidik, hospital dan seumpamanya itu, bukanlah bererti memberitahu aib sendiri. Hal ini kerana ia bertujuan untuk mengetahui statistik sesuatu isu seperti jumlah pesakit Kanser di Malaysia, tahap pemahaman pembelajaran secara online dan seumpamanya. Malah, ia merupakan suatu maklumat yang penting bagi menjalankan kajian. Begitu juga, kebanyakan kaji selidik yang dijalankan juga hanya mengambil maklumat am seperti jantina, umur, negeri, jenis penyakit dan seumpamanya.

Akhir kalam, semoga sedikit pencerahan ini, membantu kita dalam memahami agama dengan lebih baik lagi agar kehidupan kita sentiasa di bawah rahmat Allah SWT.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

[1] https://maktabahalbakri.com/2173-apa-itu-aib-menurut-islam/

[2] https://maktabahalbakri.com/1781-membuka-aib-seseorang-untuk-tujuan-motivasi/

[3] https://maktabahalbakri.com/1391-mengaibkan-pencuri/ 

[4] https://maktabahalbakri.com/1768-memberitahu-aib-sebelum-berkahwin/

 

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *