Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memakan burung layang-layang atau dipanggil juga sebagai burung walit? Ini kerana ada yang kata ia halal dimakan dan ada juga yang kata ia haram dimakan. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan burung layang-layang atau dipanggil juga sebagai burung walit ini. Burung layang-layang merujuk pada keluarga burung Apodidae, yang merupakan spesies burung terbang tinggi. Penampilannya menyerupai sualo,[1] tetapi tidak berkait rapat dengan sebarang spesies burung passerine. Layang-layang diletakkan dalam order Apodiformes bersama-sama dengan burung Madu. Layang-layang Jambul berkait rapat dengan layang-layang asli tetapi diletakkan dalam keluarga yang berasingan iaitu Hemiprocnidae.[2]

Dalam bahasa Arab, burung layang-layang dipanggil sebagai al-khuttaf (الْخُطَّاف) dan kata jamaknya ialah khatatif (خَطَاطِيْفُ). (Lihat Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, hlm. 645). Ia juga dipanggil sebagai al-sununu (السُّنُونُو) dan kata tunggalnya ialah sununuwah (سُّنُونُوَةٌ). Menurut al-Damiri, ia adalah salah satu jenis daripada burung layang-layang. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/582).

Menurut al-Damiri lagi, dalam Hayah al-Hayawan al-Kubra (2/220), burung layang-layang dipanggil sebagai “zuwwar al-Hind” (pengunjung dari India). Burung ini termasuk dalam kelompok burung migran yang terbang jauh untuk mendekati manusia. Mereka melakukan perjalanan jauh untuk mendekati manusia dan membuat sarang mereka di tempat yang susah untuk dijangkau oleh manusia. Burung ini dikenali oleh orang ramai sebagai burung ‘usfur syurga kerana ia zuhud (tidak tertarik) dengan makanan ruji yang ada di tangan manusia. Oleh itu, manusia menyukainya. Hal ini kerana burung ini hanya memakan lalat dan nyamuk.

Terdapat hadith yang dinilai sebagai hasan yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dan selainnya, daripada Sahl bin Sa‘d al-Sa‘idi, katanya: Seseorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu bertanya: Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku suatu amalan, apabila aku mengamalkannya, aku disukai dan dicintai oleh Allah dan manusia? Rasulullah SAW bersabda:

ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللَّهُ، وَازْهَدْ فِيمَا فِي أَيْدِي النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ

Maksudnya:Bersikap zuhudlah pada dunia, nescaya Allah akan mencintaimu, dan bersikap zuhudlah pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya mereka akan menyukaimu.

Riwayat Ibn Majah (4102)

Hukum memakan burung layang-layang

Sebelum kami membahaskannya, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahu bahawa memakan sarang burung walit/layang-layang adalah diharuskan. Ia selari dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Lebih-lebih ia terbukti melalui kajian, sangat berkhasiat dan memberi manfaat buat kesihatan manusia. Perkara ini kami telah bahaskannya secara panjang lebar dalam artikel kami yang bertajuk: #323 Memakan Sarang Burung Walit.[3]

Manakala berkenaan hukum memakannya pula, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, semua burung yang mempunyai darah yang mengalir (darah merah), namun tidak memiliki kuku untuk memburu dan bukan juga kebiasaan makanannya adalah bangkai. Ini adalah seperti ayam, itik, angsa, merpati jinak, merpati liar, burung fakhitah[4] (Laughing dove), burung ‘usfur, burung qabaj (Chukar partridge), burung jenjang, burung layang-layang, burung hantu, burung dubsi,[5] burung sulsul,[6] burung bangau, burung liham[7] (flamingo), burung hudhud, burung surad (Shrike) dan kelawar.

Semua jenis burung ini adalah halal dimakan menurut ulama mazhab Hanafi. Manakala ulama mazhab Maliki pula berpendapat, semua jenis burung ini harus dimakan meskipun memakan kotoran (iaitu haiwan jallalah) mengikut pendapat masyhur dalam kalangan mereka, melainkan kelawar. Hal ini kerana menurut pendapat masyhur dalam kalangan mereka, hukum memakannya adalah makruh. Begitu juga terdapat dalam kalangan mereka yang menghukumkan sebagai makruh untuk memakan burung hudhud dan burung surad. Hal ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih, daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW melarang daripada membunuh empat binatang yang melata iaitu semut, lebah, burung hudhud dan burung surad.[8] Ada juga dalam kalangan mereka yang menghukumkan sebagai makruh untuk memakan burung layang-layang, dan sebahagian mereka mengkhususkan hukum makruh tersebut pada burung layang-layang yang bersarang di rumah sebagai menghormati orang yang tinggal bersama mereka.

Manakala ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula bersepakat mengenai perincian-perincian berikut pada jenis-jenis burung ini, dalam menentukan status kehalalan mereka. Mereka menyebutkan bahawa haram untuk memakan mana-mana burung yang diperintahkan untuk dibunuh, mana-mana burung dilarang daripada dibunuh, dan juga burung-burung yang dianggap jijik dan kotor, dan dibolehkan untuk memakan jenis burung yang tidak sedemikian. Akan tetapi mereka berselisih pendapat pada mengaplikasikannya.

Seterusnya dinyatakan bahawa burung hering, kelawar, burung bangau, burung layang-layang dan sanunu (sejenis burung layang-layang) adalah haram untuk dimakan di sisi ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/137-138).

Al-Damiri menjelaskan lagi dengan menyebutkan, haram untuk memakan daging burung layang-layang berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Huwairith ‘Abd al-Rahman bin Mu‘awiyah — beliau daripada kalangan tabi‘in — daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda SAW melarang daripada membunuh burung layang-layang. Baginda bersabda:

لَا تَقْتُلُوا هَذِهِ الْعُوَّذَ، إِنَّهَا تَعُوذُ بِكُمْ مِنْ غَيْرِكُمْ

Maksudnya:Janganlah kamu membunuh burung yang berlindung ini kerana sesungguhnya ia melindungi kamu daripada yang lain.

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan beliau menilainya sebagai munqati‘. Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibrahim bin Tahman, daripada ‘Abbad bin Ishaq, daripada bapanya, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ الْخَطَاطِيفِ عُوَّذِ الْبُيُوتِ

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada membunuh burung layang-layang, yang melindungi rumah.[9]

Dan dari jalur ini juga diriwayatkan oleh Abu Daud dalam kitab Marasilnya. Al-Baihaqi menyatakan, riwayat ini juga adalah munqati‘. Akan tetapi sahih daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma secara mauquf, bahawasanya Baginda bersabda:

لَا تَقْتُلُوا الضَّفَادِعَ فَإِنَّ نَقِيقَهَا تَسْبِيحٌ , وَلَا تَقْتُلُوا الخُطَّافَ فَإِنَّهُ لَمَّا خَرِبَ بَيْتُ الْمَقْدِسِ قَالَ: يَا رَبِّ سَلِّطْنِي عَلَى الْبَحْرِ حَتَّى أُغْرِقَهُمْ

Maksudnya: “‏Janganlah kamu membunuh katak kerana suaranya adalah tasbih, dan janganlah kamu membunuh burung layang-layang kerana ketika Baitul Maqdis dirobohkan, ia telah berdoa, ‘Ya Allah, berikanlah aku kekuasaan untuk mengatur lautan, sehingga aku dapat menenggelamkan mereka — yakni orang yang merobohkan Baitul Maqdis.’[10] Al-Baihaqi menyatakan (mengenai riwayat ini), sanadnya adalah sahih.

Selain daripada itu, al-Mawardi menyatakan, semua haiwan yang dianggap jijik seperti burung layang-layang dan kelawar, maka memakannya adalah haram disebabkan oleh kejijikan dagingnya. Namun, Muhammad bin al-Hasan berpendapat, burung layang-layang adalah halal kerana kebiasaannya ia memakan benda-benda yang halal. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/224-225).

Di samping itu, Ibn Qudamah menyebutkan satu fasal dalam kitabnya iaitu haram untuk dimakan burung layang-layang dan kelawar. Kemudian beliau menukilkan kenyataan Imam Ahmad yang menyebutkan, “Sesiapa yang memakan kelawar!” Ditanyakan mengenai hukum memakan burung layang-layang? Beliau menjawab, “Aku tidak tahu.” Al-Nakha‘i menyebutkan, semua burung adalah halal (dimakan) kecuali kelawar. Sesungguhnya diharamkan haiwan ini kerana ia dianggap jijik dan bukan makanan baik-baik di sisi orang Arab dan mereka tidak memakannya. Begitu juga haram untuk (dimakan) tebuan, pepatung dan lebah serta apa yang menyerupainya kerana ia dianggap sebagai jijik dan bukannya makanan baik-baik. (Lihat al-Mughni, 13/323).

Selain daripada itu, Syeikh Ahmad Syarif al-Na‘san[11] juga pernah ditanya berkenaan hukum memakan burung layang-layang (السنونو)? Ringkasnya beliau menjawab, burung layang-layang (السنونو) ialah burung yang memiliki darah mengalir (merah) dan tidak mempunyai kuku yang mencengkam yang digunakan untuk memburu, serta kebiasaan makanannya bukanlah bangkai. Ia juga dipanggil sebagai khuttaf (الخُطَّافُ). Para fuqaha berselisih pendapat mengenai hukum memakannya. Ulama Hanafiyyah berpendapat, ia adalah halal untuk dimakan. Ulama Malikiyyah pula berpendapat, ia adalah makruh untuk dimakan. Manakala ulama Syafi‘iyyah dan Malikiyyah berpendapat, ia adalah haram untuk dimakan.

Sehubungan dengan itu, dapat disimpulkan bahawa memakan daging burung layang-layang termasuk dalam perkara yang diperselisihi oleh para fuqaha. Ia adalah halal di sisi Hanafiyyah,dan dihukumkan sebagai haram di sisi Syafi‘iyyah. Justeru, keluar daripada khilaf adalah lebih utama.[12]

 

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa burung layang-layang adalah haram untuk dimakan sebagaimana pendapat ulama dalam mazhab Syafi‘i dan Hanbali. Sebahagian ulama menyebutkan, ia diharamkan untuk dimakan disebabkan oleh kejijikan dagingnya.

Fakhruddin al-Razi juga ada menyebutkan bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Oleh itu, setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan hukumnya yang berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Sehubungan dengan itu, menjadi tuntutan ke atas kita sebagai seorang Muslim, bukan sahaja perlu memilih makanan yang halal tetapi juga perlu baik dan berkualiti. Sekalipun begitu, sarang burung walit/layang-layang adalah diharuskan untuk dimakan. Ia selari dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Lebih-lebih ia terbukti melalui kajian, sangat berkhasiat dan memberi manfaat buat kesihatan manusia. Perkara ini kami telah bahaskannya secara panjang lebar dalam artikel kami yang bertajuk: #323 Memakan Sarang Burung Walit.[13]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

 

[1] Sualo, martin dan sayap-gergaji, atau Hirundinidae, merujuk pada keluarga burung passerine yang boleh ditemui di seluruh benua di dunia, termasuk kadang kala di Antartika. Ia mencari makan semasa terbang serta memiliki ciri-ciri yang ketara. Terdapat sekitar 90 spesies Hirundinidae, yang dibahagikan kepada 19 genera, dengan kepelbagaian tertinggi ditemui di Afrika, yang ia dipercayai mengalami evolusi dengan membuat sarang di dalam lubang pokok. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Sualo. Diakses pada 17 Julai 2023).

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Burung_Layang-layang. Diakses pada 17 Julai 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/323-memakan-sarang-burung-walit/. Diakses pada 17 Julai 2023.

[4] Fakhitah ialah sejenis burung merpati.

[5] Sejenis burung merpati.

[6] Sejenis burung kecil yang dipanggil oleh orang ‘ajam sebagai fakhitah.

[7] Al-Liham dengan huruf lam adalah sebagaimana yang terdapat dalam Hasyiah Ibn ‘Abidin. Boleh jadi padanya terdapat tahrif (kesilapan) dan yang dimaksudkan adalah al-Niham iaitu burung yang berwarna merah dalam bentuk angsa.

[8] Riwayat Abu Daud (5267); Ibn Majah (3224) dan Ahmad (3066)

[9] Kedua-dua hadith ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi (19830) dan beliau menilainya sebagai munqati‘ (Lihat al-Sunan al-Kubra, 9/534).

[10]  Kami tidak menemui riwayat ini, melainkan lafaz “الخُطَّافَ” (burung layang-layang) digantikan dengan lafaz “الْخُفَّاشَ” (kelawar). Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19382)

[11] Beliau sekarang bertugas sebagai khatib di Jami‘ Ahl al-Badr al-Kiram R.Anhum di Halab dan merupakan tenaga pengajar di sana. Biodata penuh beliau boleh dirujuk di https://www.naasan.net/index.php?page=YXJ0aWNsZQ==&op=ZGlzcGxheV9hcnRpY2xlX2RldGFpbHNfdQ==&article_id=Mjc=&lan=YXI=. Diakses pada 11 Julai 2023.

[12] Lihat https://www.naasan.net/index.php?page=YWR2aXNvcnk=&op=ZGlzcGxheV9hZHZpc29yeV9kZXRhaWxzX3U=&advisory_id=NzcxOA==. Diakses pada 17 Julai 2023.

[13] Lihat https://maktabahalbakri.com/323-memakan-sarang-burung-walit/. Diakses pada 17 Julai 2023.

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply