#2368: Ajaran SiHulk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada kebimbangan mengenai ajaran SiHulk yang semakin meluas sebarannya di media sosial.  Bolehkah Dato’ Seri menyampaikan kepada pihak jabatan agama untuk mengambil tindakan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan penularan video ajaran sesat SiHulk yang diasaskan oleh Suhaini Muhammad yang kini dipercayai berada di New Zealand ini, kami mendapati pihak berkuasa sedang menjalankan pelbagai langkah untuk membendung ajaran ini daripada terus berleluasa.

Antara penyelewengan dan dakyah sesat yang diajarkan oleh ajaran SiHulk ini adalah seperti berikut:

  • Antara penyelewengan yang dibawakan ajaran tersebut ialah mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah tuhan dan baginda merupakan seorang yang tidak mempunyai jantina iaitu bukan lelaki dan juga bukan perempuan.
  • Ajaran itu juga mendakwa Si Hulk ialah air hayat iaitu air yang dicari Iskandar Zulkarnain tetapi diperoleh Nabi Khidir menjadikan baginda mampu hidup sehingga hari kiamat. Malah, air itu juga didakwa mampu menyembuhkan pelbagai wabak penyakit zahir dan batin serta menghalang sihir.
  • Ajaran itu juga menyeleweng tafsiran al-Quran iaitu pada huraian Surah Taha ayat 120 dan Surah Al-Baqarah ayat 35 berkenaan larangan kepada Nabi Adam dan Hawa daripada memakan buah khuldi.
  • Menurut ajaran itu, buah khuldi yang menjadi larangan untuk dimakan di dalam syurga adalah buah zakar dan buah dada.
  • Penipuan mengenai khasiat air dan botol SiHulk dengan mengeksploitasi elemen agama secara berlebihan bagi menarik minat pembeli.
  • Menerusi laman Facebook Sohai Ibnu Mohammad dan SiHulk, dikatakan kotak SiHulk adalah peti Tabut yang pernah diberikan Allah kepada Talut seperti mana surah Al-Baqarah ayat 248 yang diselewengkan maknanya.

Berdasarkan kepada kenyataan di atas dan poin yang telah disebut, maka kami katakan jika benar ini iktikad dan pegangan mereka serta beberapa tindakan mereka, maka jelaslah bahawa ia menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Pemikiran seperti ini boleh merosakkan umat Islam dan boleh menimbulkan kekeliruan sedangkan Islam tiada kena-mengena dengan fahaman yang terpesong ini. Sesungguhnya, rujukan utama kita adalah nas al-Quran dan hadith Nabi SAW yang dipandu tafsiran dan syarahannya oleh ulama-ulama yang muktabar. Makanya, kita dapat untuk merujuk kepada kitab-kitab yang dianggap ummahatul kutub dalam pelbagai disiplin ilmu, amat bertentangan dengan kenyataan-kenyataan di atas.

Seperkara lagi, perlu diingatkan bahawa agama ini bukan dibina berdasarkan akal dan logiknya semata-mata, tetapi ia dibina bersandarkan wahyu Ilahi dan hadyu al-nabawi, Akal hanya mengikut sumber tersebut. Dan pandangan akal jika bertentangan dengan kedua-duanya walaupun pada asasnya mempunyai logik, hendaklah dibuang dan tidak diterima. Benarlah kata Saidina Ali RA:

لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ ، لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ

Maksudnya: “Kalaulah agama berdasarkan akal semata-mata, maka di bawah khuf itu lebih utama disapu daripada atasnya.”

Riwayat Abu Daud (140) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (1438)

Antara kenyataan yang dikeluarkan dan tindakan Jabatan Agama Islam dan kerajaan Malaysia adalah seperti berikut:

  • Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menjelaskan Fatwa Johor diwartakan bertarikh 22 Julai 2021 telah menetapkan SiHulk adalah ajaran sesat, menyeleweng dan bertentangan akidah, syariat serta akhlak Islam.
  • Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan fahaman yang diasaskan Suhaini Mohammad atau Si Hulk sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-221 yang bersidang pada 9 hingga 11 Disember 2020. Justeru beliau menggesa agar fahaman dan ajaran itu segera disekat daripada disebarkan kepada umat Islam. “Mereka yang mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT,” katanya.
  • Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, ajaran itu jelas bertentangan dengah kalimah syahadah yang diucapkan oleh umat Islam kerana terdapat kontradiksi yang paling nyata. “Dalam kalimah syahadah, kita menyatakan kesaksian bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah SWT, maka itu jelas dan menjadi hujah paling kuat bahawa ajaran ini sudah terlalu jauh menyimpang.”
  • Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah diarah bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membanteras ajaran sesat itu.

Kami berpendapat kerjasama dari semua pihak sama ada badan berautoriti dalam agama dan keselamatan serta multimedia hendaklah bergabung dalam membanteras ajaran dan fahaman yang karut-marut seperti ini. Semoga Allah SWT pelihara kita dari terjerumus dalam ajaran yang menyimpang dan terpesong ini. Kami akhiri dengan doa:

للَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 25 Julai 2023 bersamaan 5 Muharram 1445 H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *