Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mengapa kita mesti peka kepada sejarah?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Syeikh Mohammed El-Moctar El-Shinqiti:

Kepekaan terhadap sejarah merupakan satu juzuk asas dalam sesebuah umat yang ingin membina masa depannya di atas nilai-nilainya yang tersendiri. Nilai-Nilai ini terpahat pada umat Islam mengingat ikatan tamadunnya dengan wahyu, dan mengingat warisan sejarahnya yang sangat luas. Dengan kesedaran yang betul tentang sejarah, umat ini akan dapat merealisasikan tiga perkara:

  1. Menggariskan batas pemisah antara wahyu dan sejarah, dengan berpaut pada al-Quran dan Sunnah, dan mengambil iktibar daripada pengalaman sejarah, tanpa menjadikannya sebagai asas yang dibangun di atasnya atau satu ukuran yang dihakimi atas landasnya.
  2. Meletakkan had pemisah antara prinsip dan wasilah dalam realisasi-realisasi sejarahnya. Dengan ini, pintu bagi pembaharuan wasilah sentiasa terbuka tanpa memesongkan prinsip yang ada. Dan tidak kekal jumud kepada satu wasilah tertentu meski telah terbukti kebaikannya pada masa lalu.
  3. Menggariskan sempadan yang memisahkan antara kedudukan seseorang dengan kesucian prinsip. Seseorang itu dinilai kedudukannya berasaskan ketundukannya kepada prinsip. Manakala mempertahankan status kedudukan seseorang itu yang membawa kepada merendah-rendahkan prinsip atau membuatkan manusia terkeliru, maka ia sebenarnya telah terpesong daripada tujuan asalnya.

Menjadi suatu keunikan dalam zaman permulaan pembentukan sejarah mana-mana umat untuk diberi perhatian dan keutamaan yang khusus. Kepekaan terhadap sejarah pada zaman permulaan itu menjadi satu kemestian yang lazim, mengingat wujudnya campur aduk antara prinsip, wasilah dan individu pada peringkat ini. Selalunya, zaman permulaan ini akan bertukar pada pemikiran generasi yang berikut menjadi zaman yang dikultuskan. Bukan mengkultuskan prinsip belaka (kerana perkara ini memang sudah dituntut), malah mengkultuskan wahana dari zaman tersebut dan individu-individunya.

Berasaskan kesemua perkara ini, risalah ini bertujuan untuk membantu membangunkan kesedaran sejarah yang seimbang seputar perselisihan pendapat politik dalam kalangan mereka yang hidup di zaman yang terawal (terutama para sahabat RA) berserta penekanan terhadap apa yang telah disuguhkan oleh Syeikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah dan sebahagian ahli hadith terkait hal ini. Sungguh terdapat beberapa pertimbangan yang membuatkan saya terdorong untuk menulis berkisar tajuk ini. Antaranya ialah:

  • Sesungguhnya generasi sahabat RA merupakan generasi pelopor dalam tarikh Islam. Inilah generasi yang memuliakan Rasulullah SAW serta membantu baginda, generasi peletak asas negara Islam yang pertama serta mengembangluaskan sempadan wilayahnya. Oleh hal yang demikian, setiap apa yang datang daripada generasi ini dikira sebagai acuan asas secara langsung atau tidak langsung-bagi kalangan yang mengikuti mereka daripada generasi-generasi Islam setelah itu. Maka bagi setiap kebenaran daripada perlakuan mereka terdapat nilai landasan asasnya dan bagi kesilapan mereka juga terdapat bahayanya yang khusus mengingat kebanyakan manusia cenderung untuk bermudah-mudah dalam meniru tokoh besar dalam semua perkara.
  • Sesungguhnya pertelingkahan politik yang timbul di kalangan para sahabat RA ini memberi pengaruh terhadap keseluruhan tahapan sejarah Islam. Bahkan tamadun Islam sendiri ditempa dan mengambil bentuk dan karakteristiknya yang khusus sejak kurun pertama hijrah sehinggalah hari ini. Ia sememangnya merupakan anak kunci bagi sejarah Islam dan masyarakat Islam itu sendiri. Ibnu Taimiyyah pernah mengungkapkan hal ini dengan menyatakan: “Dan pertentangan lisan dan secara fizikal (oleh para sahabat itu) merupakan asal usul dari apa yang telah melanda umat setelah itu. Sayogianya orang yang berfikir mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut.”
  • Sesungguhnya memahami fasa-fasa sejarah umat yang sensitif itu melalui penilaian semula yang teliti inilah yang memungkinkan kita untuk memahaminya melampaui kerumitan- kerumitannya yang sehingga kini masih berakar dalam fikiran serta realiti umat hari ini. Dan pengambilan iktibar yang dihimbau oleh Ibnu Taimiyyah itu tidak akan tercapai melainkan dengan meninjau fasa-fasa bersejarah ini dengan kajian yang mendalam berpandukan prinsip Islam yang memberi petunjuk, kerana bagaimana mungkin kita mengambil iktibar daripada hal yang kita sendiri jahil tentang hakikatnya, dan berdiam diri daripada bercakap tentangnya.
  • Sesungguhnya kebanyakan mereka yang bersungguh-sungguh mengkaji zaman tersebut tidak menggunakan manhaj yang adil dan pertengahan, yang menggabungkan antara kesucian prinsip dan kedudukan individu. Sebaliknya mereka terbawa dalam reaksi, yang menyebabkan mereka terheret dalam ghuluw (ekstrim). Dan bukanlah maksudku di sini keekstriman syiah kerana ini kiranya sudah sangat jelas dan ramai yang bersungguh-sungguh menentangnya. Sebaliknya apa yang saya maksudkan di sini adalah keekstriman sebahagian golongan Ahlu al-Sunnah yang bertindak balas terhadap Syi’ah. Dan keekstriman mereka ini tersembunyi lagi halus kerana ia tampil atas nama membela para sahabat RA yang mulia. (Lihat Pertelingkahan Politik dalam Kalangan Para Sahabat, hlm. 1)

Akhir kalam, semoga penjelasan di atas, menjadi pemangkin kepada kita semua dalam memahami dan mencintai sejarah. 

Marilah sama-sama kita munajat dan berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنَ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H

Leave a Reply