#2417: Membaca Novel Barat

Soalan:

Assalamualaikum wrt.wbt. Jika saya berminat membaca buku yang bukan terhad kepada bidang agama sahaja seperti buku novel dan buku-buku barat atas dasar mencari hikmah yang hilang. Apakah hukumnya?  Ayah saya melarang saya membaca buku-buku seperti ini. Jika saya tetap membaca adakah dikira sebagai derhaka? Bolehkan saya teruskan pembacaan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ 

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”

Surah al-‘Alaq (1)

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya, bahawa antara maksud bagi ayat ini adalah Allah SWT menyuruh RasulNya supaya menjadi seorang pembaca dengan kekuasaan Allah yang menciptakanNya. (Lihat Tafsir al-Munir, 30/316)

 

Berkenaan membaca buku juga, kami telah nyatakan dalam artikel sebelum ini:

#2305: Membaca Kitab-Kitab yang Batil[1]

 

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan jika sekiranya saudari membaca buku atau novel barat atas dasar menambah pengetahuan, motivasi, mengkaji, vokabulari dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah untuk membacanya dan diharuskan. Namun, jika pembacaan buku-buku barat tersebut berkait dengan agama/keyakinan/kepercayaan, maka haram hukumnya bagi mereka yang tidak mempunyai kefahaman agama yang mantap. Hal ini kerana ia boleh menyebabkan ketaksuban sehingga menyebabkan keyakinan goyah terhadap agama. Oleh sebab itu, ayah saudari tidak membenarkan membaca buku-buku sedemikian kerana khuatir perkara sebegitu akan terjadi.

Jika sekiranya terdapatnya hikmah serta ilmu yang diperolehi maka ia termasuk dalam kata-kata Nabi SAW, di mana diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya: “Hikmah kebijaksanaan merupakan harta yang hilang milik orang Mukmin; di mana sahaja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak ke atasnya.”

Riwayat al-Tirmizi (2687)

Justeru itu, membaca buku merupakan satu budaya dan hobi yang amat baik kerana ia boleh menambahkan ilmu pengetahuan dan mematangkan corak fikiran seseorang. Namun, pilihlah buku-buku yang baik yakni yang tidak mendatangkan mudarat kepada pemikiran sehingga menyebabkan keyakinan kita kepada agama goyah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلَّما نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] https://maktabahalbakri.com/2305-membaca-kitab-kitab-yang-batil/

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *