#2416: Melakukan Haji Tanpa Permit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah Datuk perjelaskan hukum mereka yang membuat haji secara tidak sah dan tanpa permit haji dari negara Arab Saudi. Kebelakangan ini banyak kisah didengari jemaah Malaysia mula buat haji secara sendirian tanpa memperoleh permit haji sedangkan terangan kerajaan Saudi melarang perbuatan tersebut. Ada yang sengaja masuk Mekah tanpa ihram untuk lepas dari sekatan di sempadan Mekah semata mata kerana ini dan sanggup membayar dam. Apa pandangan Datuk akan hal ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Istita’ah dalam Haji

Dalam perbahasan fuqaha mengenai istita’ah, Wahbah al-Zuhaili membawakan pandangan Mazhab Hanafi yang meletakkan antara syarat kemampuan atau istitha’ah dari sudut fizikal adalah tiada larangan daripada pemerintah yang zalim untuk keluar menunaikan haji. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/415)

Jika difahami kenyataan di atas secara qiyas al-awla, maka perintah larangan yang dikeluarkan oleh pemerintah yang adil adalah lebih utama untuk ditaati. Pemerintah yang adil sudah pasti tidak akan mengeluarkan larangan mengerjakan ibadat kecuali dengan alasan-alasan yang kukuh dan disokong oleh syarak berasaskan prinsip-prinsip Siyasah Syar’iyyah.

Syeikh Abdul Wahhab Khallaf membawakan beberapa tafsiran berkenaan Siyasah Syar’iyyah, antaranya ialah:

  • Pemberian kuasa kepada pemerintah untuk bertindak menurut maslahah, selagi mana tidak menyanggahi usul agama, meskipun tiada dalil khusus berkenaannya.
  • Pelaksanaan maslahah mursalah; ini kerana maslahah mursalah merupakan bab yang tiada dalil syar’ie yang menghukumnya sebagai mu’tabar (diambil kira) atau yang tertolak (mulghah).

Berdasarkan pandangan para ulama ini, beliau membuat kesimpulan bahawa ilmu Siyasah Syar’iyyah bermaksud suatu ilmu yang membahaskan urusan-urusan pentadbiran sebuah negara Islam dari sudut undang-undang, polisi dan sistem yang bertepatan dengan usul agama Islam, meskipun tiada nas syarak yang menyatakannnya secara spesifik. (Lihat al-Siyasah al-Syar’iyyah, 6-7)

Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara’ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada ijtihad dan kebijaksaan pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam.

Melakukan Haji Tanpa Tasrih (Permit)

Dalam memutuskan sesuatu keputusan, pemerintah sentiasa akan mengambil kira kemaslahatan umum rakyat. Kaedah menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berasaskan maslahah.”

Para ulama menetapkan bahawa segala tindakan yang ditetapkan pihak pemerintah wajib didasari dengan maslahah dan kebaikan untuk masyarakat umum seluruhnya; iaitu rakyat yang berada di bawah tadbir urusnya. Sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan dan objektif yang asal, maka tindakan tersebut dianggap tidak sah dan tidak terpakai dari sudut Syarak. (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/308)

Justeru, dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak akan menetapkan peraturan yang ketat dalam hal ini melainkan terdapatnya maslahah yang lebih utama untuk dijaga, antaranya adalah untuk mengelakkan daripada kesesakan yang dahsyat di ketika menunaikan haji yang boleh menyebabkan kesukaran umat Islam lain menunaikan haji.

Selain itu, kerajaan Arab Saudi sangat tegas dalam hal ini, sehingga mereka meletakkan peraturan yang sangat ketat bagi membendung haji yang dilakukan tanpa permit ini.  Jabatan Keselamatan Awam Arab Saudi menyatakan bahawa jemaah haji tanpa permit bakal berdepan dengan hukuman penjara, sebanyak 10, 000 Riyal, dihantar pulang ke negara asal dan larangan memasuki Arab Saudi selama 10 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) menyatakan bahawa mana-mana rakyat tempatan yang ditahan membawa jemaah haji tanpa permit pula bakal berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga 50,000 Riyal bagi setiap kesalahan.”

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa haji yang dilakukan tanpa permit adalah sah, tetapi berdosa kerana melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah setempat yang mengutamakan maslahah umum umat Islam. 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *