Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum kita mencabut sedikit pokok dari kubur orang lain untuk ditanam ke atas pokok saudara kita tanpa pengetahuan keluarga pemilik pokok tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW:

أَنَّهُ مَرَّ بِقَبْرَيْنِ يُعَذَّبَانِ، فَقَالَ: «إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ، وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ»، ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً، فَشَقَّهَا بِنِصْفَيْنِ، ثُمَّ غَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لِمَ صَنَعْتَ هَذَا؟ فَقَالَ: «لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا.

Maksudnya: Bahawasanya Baginda berjalan melewati dua kubur yang (penghuninya) sedang diseksa, lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-duanya benar sedang diseksa, dan tidaklah kedua-duanya diseksa disebabkan oleh perkara-perkara yang besar. Adapun salah seorang daripada mereka dahulunya sering tidak bersuci daripada kencing. Sedangkan yang lainnya dahulu sering mengadu domba.” Kemudian Baginda mengambil sebatang pelepah tamar yang masih basah lalu membelahnya menjadi dua bahagian. Kemudian Baginda memacakkannya pada setiap kubur satu bahagian. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa engkau melakukan hal ini?” Maka Baginda pun menjawab: “Semoga diringankan (azab seksaan) daripada mereka berdua selagi dua belahan pelepah ini tidak kering.”

Riwayat al-Bukhari (1361) dan Muslim (292)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Mungkin makna itu ialah benda itu bertasbih selama mana masih lembap, lalu terhasillah peringanan azab dengan berkat tasbih itu. Justeru, makna ini boleh diletakkan pada setiap benda yang mempunyai kelembapan, daripada jenis tumbuhan atau selainnya, dan boleh juga diletakkan pada perkara yang mempunyai keberkatan seperti zikir, membaca al-Quran, bahkan itu lebih utama.” (Lihat Fath al-Bari, 1/320)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan mencabut pohon dari kubur orang lain untuk ditanam keatas kubur ahli keluarga kita tanpa izin adalah haram. Hal ini kerana ia telah mengambil hak milik orang lain. Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan Yang salah.

 Surah al-Baqarah (188)

Oleh itu, nasihat kami sebelum menggunakan atau  mengambil sesuatu milik orang lain, maka mintalah izin terlebih dahulu.

Berkenaan menanam pohon di kubur, kami telah jelaskan dalam artikel sebelum ini:

#1605: Menanam Pohon Kecil di Kubur[1]

Kami juga ingin nyatakan di sini beberapa adab menziarahi kubur:

  • Memberi salam kepada ahli kubur.
  • Membaca doa kepada mereka.
  • Boleh membaca ayat-ayat al-Quran untuk disedekahkan kepada si mati mengikut sebahagian ulama.
  • Menghormati kubur-kubur yang berjiranan dengan keluarga kita.
  • Tidak bercakap perkara yang lagha ketika berada di kubur. 
  • Hendaklah menagmbil iktibar dan ibrah bahawa itulah tempat kita seterusnya. 

Semoga Allah SWT selamatkan kita dari azab kubur tetapi sebaliknya dikurniakan dengan nikmat kubur. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab neraka Jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal.”

Riwayat Muslim (588)

[1] https://maktabahalbakri.com/1604-menanam-pohon-kecil-di-kubur/

 

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H

Leave a Reply