Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Adakah pertandingan seni suara burung dibolehkan? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, membela sesuatu binatang untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan adalah dibolehkan di dalam Islam selagi mana tidak berlaku zalim terhadap binatang tersebut serta tiada larangan yang menghalang daripada memelihara binatang-binatang tersebut seperti babi dan anjing. Perkara ini boleh dilihat berdasarkan hadith Nabi SAW yang berikut. Daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ. نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا.
Maksudnya: “Nabi SAW merupakan insan yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai seorang saudara lelaki yang diberi gelaran Abu Umair – dia berkata: Aku kira dia sudah berhenti daripada meminum susu ibu. Sekiranya Baginda datang, Baginda akan bertanya: “Wahai Abu ‘Umair! Apa yang sedang dilakukan al-Nughair?” iaitu sejenis burung pipit yang selalu dia bermain-main dengannya. Kadang-kala apabila tibanya waktu solat sedangkan Baginda berada di rumah kami, maka Baginda menyuruh untuk disapu (dibersihkan) tikar yang duduk di atasnya, lalu direnjis dengan air. Kemudian Baginda solat dan kami pun berdiri di belakang Baginda, Baginda mengimamkan kami.”
Riwayat al-Bukhari (6203)
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (10/583) menyatakan, berdasarkan hadith ini, dibolehkan membelanjakan harta untuk permainan kanak-kanak pada perkara yang harus dan dibolehkan juga mengurung burung di dalam sangkar dan semisalnya, dan mencukur sayapnya.
Bahkan diwajibkan bagi sesiapa yang memelihara jenis-jenis haiwan yang dibolehkan untuk dipelihara dengan berbuat baik kepada mereka, memberikan mereka makan sebagaimana yang mereka perlukan. Hal ini kerana terdapat peringatan daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makanan, bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.”
Riwayat al-Bukhari (3318) dan Muslim (2242)
Al-Khatib al-Syirbini menukilkan bahawa haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut oleh al-Azra‘i. Menjadi kewajipan bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan. (Lihat al-Iqna‘, 2/482).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, memelihara burung di dalam sangkar kerana suka mendengar suara kicauannya yang indah dan merdu diperbolehkan dalam Islam. Asalkan burung tersebut diberi makan dan minum dengan baik, maka boleh untuk memeliharanya di dalam sangkar berdasarkan dalil-dalil yang kami telah nyatakan di atas. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Qalyubi dalam hasyiahnya bahawa dibolehkan bagi seseorang untuk menahan (memelihara) haiwan walaupun sekadar untuk mendengar suaranya atau melihat kecantikannya, atau begitu juga memelihara anjing kerana suatu keperluan dengan syarat haiwan-haiwan itu diberi makan. (Lihat Hasyiata Qalyubi dan ‘Umairah, 4/95).
Seterusnya berkenaan pertandingan seni suara burung, sebahagian ulama berpendapat hukumnya adalah makruh. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari bahawa memelihara burung merpati bagi mendapatkan telurnya atau anaknya atau menjinakkannya atau sebagai pembawa surat adalah diharuskan. Manakala memeliharanya bagi tujuan bermain-main dengannya dengan menerbang-nerbangkannya atau tujuan dipertandingkan adalah makruh. (Lihat Asna al-Matalib, 4/344).
Manakala sebahagiannya lagi berpendapat, hukumnya adalah diharuskan selagi mana tidak ada perkara yang dilarang oleh syarak di dalamnya seperti pertaruhan dan seumpamanya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Selain itu, ini juga adalah sebagaimana keumuman hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Nafi‘ daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَابَقَ بَيْنَ الخَيْلِ الَّتِي أُضْمِرَتْ مِنَ الحَفْيَاءِ، وَأَمَدُهَا ثَنِيَّةُ الوَدَاعِ، وَسَابَقَ بَيْنَ الخَيْلِ الَّتِي لَمْ تُضْمَرْ مِنَ الثَّنِيَّةِ إِلَى مَسْجِدِ بَنِي زُرَيْقٍ. وَأَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ فِيمَنْ سَابَقَ بِهَا.
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengadakan pertandingan antara kuda terlatih bermula dari al-Hafya’ hingga Thaniyyat al-Wada‘. Baginda SAW juga mengadakan pertandingan di antara kuda tidak terlatih yang bermula dari Thaniyyat al-Wada‘ hingga ke Masjid Bani Zuraiq, dan Abdullah bin Umar R.Anhuma juga ikut serta dalam perlumbaan itu.”
Riwayat al-Bukhari (420) dan Muslim (1870)
Justeru, kami berpendapat bahawa tidak ada masalah untuk menyertai pertandingan seni suara burung. Sekalipun begitu, hendaklah dipastikan bahawa tiada unsur perjudian atau pertaruhan di dalamnya, di samping hadiah pertandingan tidak diambil daripada yuran penyertaan serta tidak berlakunya eksplotasi, kesamaran, undi nasib dan pembaziran. Selain itu, berkenaan ganjaran atau hadiah dalam sesuatu pertandingan atau peraduan, satu garis panduan telah dikeluarkan, di mana di dalamnya dinyatakan:
- Hadiah peraduan disediakan oleh pihak penganjur mestilah daripada sumber yang halal.
- Hadiah peraduan tidak boleh diambil daripada kumpulan wang peserta sama ada melalui yuran penyertaan, caj dan seumpamanya.
- Sumber dana hadiah tidak boleh diambil daripada hasil caj perkhidmatan yang dikenakan untuk sms dan seumpamanya.
- Hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur mestilah bernilai, bermanfaat dan memenuhi spesifikasi yang telah dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan.
- Hadiah peraduan hendaklah disediakan terlebih dahulu sebelum sesuatu peraduan dijalankan bagi mengelakkan timbulnya sebarang unsur penipuan.
- Tempoh penyerahan hadiah kepada peserta mestilah ditetapkan dan dinyatakan di dalam terma dan syarat peraduan dengan jelas. (Lihat Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah, (terbitan JAKIM), hlm. 15).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H