#2430: Sengaja Melanggar Pantang Larang Ihram Haji Dengan Tidak Memakai Ihram Untuk Melepasi Sekatan Pihak Berkuasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah Datuk perjelaskan hukum orang yang sengaja melanggar pantang larang ihram dengan memakai baju biasa untuk masuk ke Makkah bagi melepasi sekatan di sempadan Makkah semata-mata untuk menunaikan haji tanpa permit dan sanggup membayar dam untuk kesalahan tersebut? Apa pandangan Datuk akan hal ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam telah menetapkan beberapa pantang larang yang wajib dipatuhi oleh mereka yang sedang berada dalam ihram. Sekiranya pantang larang ini dilanggar, seseorang tersebut akan dikenakan Dam mengikut jenis larangan yang dilakukannya.

Antara larangan-larangan ihram yang khusus bagi lelaki:

  • Menutup kepala.
  • Memakai pakaian berjahit.

Manakala larangan-larangan ihram yang khusus bagi perempuan pula adalah:

  • Menutup muka.
  • Mamakai sarung tangan.

Adapun larangan-larangan ihram yang umum bagi lelaki dan perempuan adalah:

  • Berwangi-wangian.
  • Bersetubuh.
  • Memakai minyak pada rambut atau janggut.
  • Memburu di tanah Haram.
  • Mencabut dan merosakkan tumbuhan di tanah Haram. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502)

Berdasarkan persoalan di atas, hukum sengaja melanggar pantang larang ihram dengan sengaja tanpa ada uzur syar’ie adalah berdosa. 

Syeikh Dr. Yusuf Al-Shubaili menyatakan bahawa peraturan haji dan pematuhan terhadap permit adalah untuk mencapai kepentingan awam berkaitan keselamatan para haji. Hal ini kerana untuk memberi peluang kepada mereka yang belum menunaikan haji atau telah berlalu beberapa tempoh dan tahun sejak mereka menunaikannya. Beliau menyatakan bahawa pematuhan terhadap permit adalah suatu kewajipan dan tidak boleh untuk melanggarnya, kerana tindakan tersebut akan membawa kemudaratan kepada umat Islam secara keseluruhannya. Begitu juga, tidak boleh seseorang itu dengan sengaja memakai baju berjahit atau lengkap untuk mengelakkan daripada sekatan kawalan keselamatan dan kemudian menebusnya dengan membayar fidyah atau dam kerana tindakan tersebut dengan sengaja tanpa alasan yang syar’i. Jika seseorang itu berhasrat untuk menunaikan haji tetapi tidak berjaya mendapatkan permit, dia akan mendapat pahala walaupun dia berada di rumahnya, kerana hadith menyatakan bahawa niat untuk melakukan kebajikan tetapi tidak dapat melaksanakannya, pahalanya tetap diberikan. Rasulullah SAW bersabda:

 فَهُوَ بِنِيَّتِهِ فَأَجْرُهُمَا سَوَاءٌ

Maksudnya: “Maka dengan niatnya itu, pahala keduanya sama”

Riwayat al-Tirmizi (2325)

Hal ini menunjukkan jika seseorang itu berniat untuk berbuat kebajikan dan tidak dapat melakukannya, maka Allah akan mencatat pahala kebajikan seperti apa yang diniatkan. Justeru, tidak ada keperluan untuk seseorang itu melakukan dosa semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata: “Ketahuilah bahawa jumhur ulama’ bersepakat bahawa sesiapa yang melepasi miqat daripada tempat-tempat miqat yang disebutkan tanpa berniat ihram, dan dalam masa yang sama dia berniat ingin melakukan ibadah haji atau umrah, maka wajib baginya membayar dam, dan dalilnya adalah sebagaimana riwayat daripada Ibnu Abbas R.Anhuma: “Sesiapa yang lupa atau meninggalkan sesuatu daripada nusuk haji atau umrah, maka hendaklah dia menggantinya dengan membayar dam.” Para ulama’ berkata bahawa sesiapa yang telah meninggalkan sesuatu daripada ibadahnya, iaitu tidak berniat ihram dari miqat, dia diwajibkan membayar fidyah.” (Lihat Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Quran bi al-Quran, 5/360)

Jika seseorang yang berniat untuk menunaikan ibadah haji atau umrah daripada miqatnya tanpa memakai pakaian ihram dan terus memakai pakaian berjahit, maka dia berdosa jika melakukannya itu dengan sengaja. Namun, dia tidak berdosa jika dia melakukannya itu karena tersilap, jahil atau lupa. Dalam kedua-dua situasi tersebut, dia mesti segera menanggalkan pakaian berjahitnya itu dan wajib bgainya membayar fidyah al-takhyir (pilihan), iaitu berpuasa selama tiga hari, atau memberi makan enam orang miskin, bagi setiap orang miskin diberi setengah sa’ beras atau makanan lain yang setara, atau menyembelih seekor kambing, seperti yang terdapat dalam hadis Ka’b bin ‘Ujrah yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim.  Sebahagian ulama berpendapat bahawa tidak wajib membayar fidyah jika pelanggaran tersebut dilakukan kerana terlupa, jahi, atau tersilap, kerana memakai pakaian berjahit bukanlah termasuk dalam perkara yang tidak boleh diperbaiki atau dikembalikan. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiah, 11/19366)

Syeikh Khalid bin Abdullah al-Muslih ketika ditanya berkenaan haji yang dilakukan tanpa permit dan pelakunya memakai pakaian biasa ketika berihram, maka beliau menjawab: Saya menyarankan agar kamu tidak melaksanakan haji tanpa tasrih. Namun, jika niat kamu ikhlas dan tekad kamu bersungguh-sungguh, kamu masih akan mendapatkan pahala haji meskipun berada di negara kamu dan juga di antara keluarga kamu. Ini adalah kurnia daripada Allah yang Maha Pemurah, Dia memberikan kepada seseorang, jika niatnya tulus, apa yang dia niatkan dari kebaikan, meskipun terdapat halangan menghalangnya. Terdapat dua sebab kenapa haji tanpa permit ini dilarang:

  • Pertama: Allah SWT telah memerintahkan supaya mengikut apa sahaja yang diajar oleh Rasulullah SAW, dan baginda SAW menetapkan miqat-miqat yang tertentu bagi mereka yang melaluinya yang ingin menunaikan haji dan umrah. Oleh karena itu, bagi orang yang ingin menunaikan haji atau umrah, tidak dibolehkan melepasi miqat ini kecuali dengan berihram daripadanya.
  • Kedua: Menunaikan haji tanpa permit adalah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah, sedangkan Allah SWT memerintahkan kepada orang-orang yang beriman supaya mentaati Allah, mentaati Rasul dan juga pemerintah di antara kamu.” Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesiapa yang taat kepada pemimpinnya, maka dia telah taat kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemimpinnya, maka dia telah derhaka kepadaku.” Ini berlaku dalam hal ketaatan yang baik atau ketaatan untuk mencapai manfaat dan maslahah. Justeru, menunaikan haji dengan permit termasuk dalam hal ketaatan yang wajib untuk diikuti. 

Pihak berautoriti yang mengatur perjalanan haji tidak menghalang manusia untuk menunaikan haji dengan tempoh yang bertahun lamanya, sebaliknya, mereka membenarkan untuk melakukannya setiap lima atau empat tahun kerana keperluan dan atas sebab peningkatan jumlah jemaah haji yang ramai yang akan menyebabkan kesukaran bagi jemaah haji. Selain itu, pihak yang mengatur, dan wilayah juga tidak mampu menampung jumlah jemaah haji yang besar. Oleh kerana itu, peraturan sebegini perlu diatur, dan kita berharap agar Allah akan memberikan pahala yang besar atas usaha mereka. Kita mesti bekerjasama dengan mereka, dan ini bukan berarti menolak jalan Allah seperti yang dituduhkan oleh beberapa orang, karena mereka berusaha untuk memudahkan dan mengatur perjalan haji.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seseorang yang sengaja melanggar pantang larang ihram dengan memakai pakaian berjahit bagi melepasi sekatan pihak berkuasa, walaupun haji dan umrahnya sah, tetapi ia dilakukan dalam keadaan berdosa kerana melanggar pantang larang ihram dengan sengaja tanpa keuzuran yang syar’ie dan juga melanggar ketetapan yang telah ditetapkan oleh pemerintah. Apatah lagi jika dia melakukannya melepasi kawasan miqat tanpa berihram dengannya. Maka sesiapa yang melakukan perbuatan seperti ini wajib membayar fidyah dan dam atas kesalahan yang dilakukan sama ada melanggar pantang larang ihram ataupun melanggar kewajipan haji atau umrah.

Justeru, kami menasihati bagi sesiapa yang ingin menunaikan haji, perlulah mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak yang berautoriti, kerana peraturan tersebut dibuat untuk maslahah umum. Hal ini kerana perintah melakukan haji ini adalah bagi mereka yang berkemampuan dan bagi sesiapa yang tidak mempunyai permit, maka dia adalah termasuk dalam kategori mereka yang belum berkemampuan. Kami nyatakan tindakan pemerintah sentiasa menepati kehendak maslahah. Hal ini berdasarkan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berasaskan maslahah.”

Para ulama menetapkan bahawa segala tindakan yang ditetapkan pihak pemerintah wajib didasari dengan maslahah dan kebaikan untuk masyarakat umum seluruhnya; iaitu rakyat yang berada di bawah tadbir urusnya. Sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan dan objektif yang asal, maka tindakan tersebut dianggap tidak sah dan tidak terpakai dari sudut Syarak. (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/308)

Apa maknanya ibadah kita sekiranya kita melakukan ibadah untuk mendekati Allah, tetapi ia dibuat dalam keadaan berdosa dan tanpa uzur syar’ie?

Akhir kalam, kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُورًا وَسَعْياً مَشْكُورً

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah hajiku ini haji yang mabrur dan sa’i yang diterima.”

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *