Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Sejak kebelakangan ini, saya rasa saya makin berubah menjadi panas baran, mungkin disebabkan tertekan dengan hidup. Kadangkala, orang tanya soalan pun saya boleh marah nak jawab. Saya solat fardu semua cukup, amalan yang wajib pon semua saya buat tambah juga dengan sedikit amalan sunat. Di manakah silap saya dan apa yang perlu diperbaiki untuk berubah menjadi seorang yang lebih tenang dan penyabar? Adakah zikir atau doa yang boleh saya amalkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya:Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Surah Ali ‘Imran (134)

Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa antara ciri-ciri orang yang bertaqwa ialah orang yang menyembunyikan (menahan) kemarahannya serta mengawal dirinya agar tidak menyakiti orang lain dalam keadaan dia mampu untuk melakukannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melepaskannya, maka Allah akan memenuhkan di dalam jiwanya keamanan dan keimanan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/238)

 

Menjawab persoalan di atas, kami mensyorkan beberapa nasihat buat saudara bagi mengatasi masalah panas baran ini:

  • Mengambil wuduk. Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya:Kemarahan itu berasal daripada syaitan dan syaitan itu pula dijadikan daripada api. Sesungguhnya api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia berwuduk.

 Riwayat Abu Daud (4784)

  • Mengubah kedudukannya kepada duduk jika dia sedang berdiri, dan kepada berbaring jika dia sedang duduk. Daripada Abu Zar R.A, beliau berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada kami:

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ

Maksudnya:Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah ketika sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya itu hilang (ketika dia sedang duduk, maka hal itu adalah baik). Namun, sekiranya masih lagi tidak hilang, maka hendaklah dia berbaring.”

 Riwayat Abu Daud (4782)

  • Mendiamkan diri. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Maksudnya:Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.

Riwayat Ahmad (2136)

 

Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa mendiamkan diri ketika marah merupakan penawar yang berkesan bagi sifat marah kerana ketika perasaan marah sedang membuak-buak berkemungkinan akan terkeluar daripadanya ungkapan-ungkapan yang tidak sepatutnya diucapkan. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/406)

  •  Banyak meluangkan masa membaca al-Quran

Firman Allah SWT:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Surah ar-Ra’d (28)

Begitu juga antara doa yang boleh diamalkan ialah:

  • Doa agar diperbaiki Diri

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang Maha Hidup, wahai Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmatMu aku memohon pertolongan, perbaikilah urusanku semuanya dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.”

Riwayat al-Nasa’ie (10405)

  • Doa agar dikurniakan kesabaran dan keteguhan

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Surah al-Baqarah (250)

 

Berkenaan panas baran ini, kami telah jelaskan dalam artikel sebelum ini:

#398 Cara Atasi Sikap Panas Baran[1]

 Akhir kalam, semoga Allah membantu saudara dalam menghilangkan sifat panas baran tersebut dan mengurniakan hati yang tenang. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبيدُكَ، وَبَنُو عَبِيدِكَ، وَبَنُو إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتُهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمٍ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُورِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا .

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

[1] https://maktabahalbakri.com/398-cara-atasi-sikap-panas-baran/ 

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *