Soalan:

Assalamualaikum Dato seri, saya ingin bertanya adakah sah puasa sekiranya terkeluar darah dari mulut atau rongga ?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”

(Surah al-Baqarah :187)

Makan dan minumlah sehingga jelas bagimu cahaya fajar dari kegelapan malam, dengan terbitnya fajar sadiq. Kemudian sempurnakanlah puasa dengan menahan diri dari makanan dan minuman hingga masuk waktu malam dengan terbenamnya matahari. (Lihat Tafsir al-Muyassar,1/29)

Perkara-perkara yang membatalkan puasa

  •       Makan dan minum
  •       Sampainya sesuatu ke dalam rongga badan
  •       Muntah dengan sengaja
  •       Bersetubuh
  •       Beronani
  •       Keluar darah haid dan nifas
  •       Gila
  •       Murtad (Lihat Fiqh al-Manhaji,2/83-86)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan  darah yang keluar dari mulut ketika berpuasa tidak lah membatalkan puasa  sekiranya tidak menelannya dengan sengaja. Yang demikian juga sebagaimana yang telah difatwakan oleh Ibn  Baz beliau menyatakan:

Tidak membatalkan puasa, baik darah dari mulutmu mahupun dari seluruh tubuhmu. Luka-luka juga  tidak memberi kesan terhadap sahnya puasa, begitu juga dengan wuduk.  Darah yang keluar dari bibir atau gusi tidak membatalkan wuduk, tetapi harus dibersihkan sehingga hilang. Adapun wuduk itu sah, begitu juga dengan puasa.Apa yang dapat membatalkan puasa adalah bekam. Jika seseorang melakukan bekam maka ia membatalkan puasanya menurut pandangan majoriti ulama. Namun, hal-hal seperti luka pada tubuh atau keluarnya darah dari gigi atau bibir akibat beberapa sebab, semua ini tidak membatalkan puasa dan tidak membatalkan  wuduk. (Lihat Fatwa Nur ‘ala Darb, 5,201)

Telah dinyatakan juga dalam Mausu’ah Fiqh al-Islami oleh al-Auqaf al-Misriyyah  bahawa : Tidak terbatal puasa sekiranya terkeluar darah daripada gigi atau rongga  selagimana dia tidak menelannya dengan sengaja. (Lihat al-Mausu’ah Fiqh al-Islami,19/171)

Justeru kami katakan bahawa, puasa tersebut masih lagi sah dan  kita ditaklifkan melakukan ibadah sekadar apa yang kita mampu . Firman Allah SWT :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

(Surah al-Baqarah, 2:286)

Firman-Nya lagi:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ

Maksudnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama.

(Surah al-Hajj, 22:78)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melakukan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply