#2461: Membakar Bangkai Binatang yang Berpenyakit

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang hukum membakar binatang berpenyakit virus yang telah mati, adakah perkara di dibenarkan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara umumnya, Islam melarang membunuh dan menyakiti apa-apa sahaja yang bernyawa termasuklah binatang-binatang, selama mana mereka tidak mengganggu dan mengancam keselamatan kita. Jika perbuatan membunuh yang pastinya mematikan apa sahaja yang bernyawa juga dilarang, maka lebih-lebih lagi dilarang perbuatan menyiksa apa sahaja yang bernyawa dengan tujuan mematikannya.

Antara bentuk seksaan yang mempunyai kemungkinan besar membawa kepada kematian adalah membakar dengan api. Perbuatan ini dilarang oleh syara‘ kerana jelas menunjukkan bahawa seseorang itu tidak mempunyai sifat ihsan. Sedangkan Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan daripada 

‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.”

Riwayat Muslim (1955)

Bahkan terdapat larangan yang jelas daripada menyeksa sesuatu dengan membakarnya. Hal ini kerana menyeksa dan mengazab sesuatu dengan api merupakan hak mutlak Allah SWT. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A katanya:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فِي سَفَرٍ فَانْطَلَقَ لِحَاجَتِهِ فَرَأَيْنَا حُمَّرَةً مَعَهَا فَرْخَانِ، فَأَخَذْنَا فَرْخَيْهَا فَجَاءَتِ الْحُمَّرَةُ فَجَعَلَتْ تَفْرُشُ، فَجَاءَ النَّبِيُّ ﷺ فَقَالَ: “مَنْ فَجَعَ هَذِهِ بِوَلَدِهَا؟ رُدُّوا وَلَدَهَا إِلَيْهَا”.‏ وَرَأَى قَرْيَةَ نَمْلٍ قَدْ حَرَّقْنَاهَا فَقَالَ: ‏”‏مَنْ حَرَّقَ هَذِهِ”‏‏.‏ قُلْنَا: نَحْنُ.‏ قَالَ: “إِنَّهُ لاَ يَنْبَغِي أَنْ يُعَذِّبَ بِالنَّارِ إِلاَّ رَبُّ النَّارِ” ‏

Maksudnya: “Kami pernah bersama dengan Rasulullah SAW dalam sebuah perjalanan, lalu beliau pergi untuk buang air. Kemudian kami melihat seekor burung kecil dengan dua anaknya. Lalu kami mengambil dua anaknya itu, maka datanglah burung kecil tersebut berputar-putar. Nabi SAW datang lalu bersabda: ‘Siapakah yang telah membuat burung ini risau terhadap anaknya? Kembalikan anaknya padanya.’ Beliau juga melihat sarang semut yang telah kami bakar. Beliau lalu bertanya: ‘Siapakah yang telah membakar ini?’ Kami menjawab: ‘Kami.’ Beliau bersabda: ‘Sesungguhnya tidak layak menyiksa dengan menggunakan api kecuali Tuhan pemilik api’.”

Riwayat Abu Dawud (2675)

Hadith ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُعَذِّبُوا بِعَذابِ اللهِ

Maksudnya: “Janganlah kamu mengazab dengan azab seksa Allah”

Riwayat al-Bukhari (6922)

Al-Mulla Ali al-Qari menyatakan, tidak boleh mengazab sesuatu dengan api kerana ia merupakan azab yang paling dahsyat. Oleh itu ia merupakan apa yang dijanjikan bagi orang kafir. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 6/2309)

Membakar Binatang Berpenyakit Virus yang telah Mati

Berdasarkan kepada keadaan yang disebutkan dalam persoalan di atas, ia bertujuan untuk mengelakkan berlakunya percampuran antara binatang yang sihat dengan binatang yang tidak sihat, kerana dikhuatiri berlakunya penyebaran penyakit tersebut pada semua binatang lain lalu menjejaskan kesihatan.

Bahkan terdapat saranan dari syara‘ untuk melakukan pengasingan ini kerana terdapat keperluan menjaga kesihatan binatang-binatang sihat yang lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman bin ‘Auf R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لاَ يُورِدُ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ ‏ 

Maksudnya: “Janganlah pemilik unta yang sakit membawakannya kepada unta yang sihat.”

Riwayat al-Bukhari (5771) dan Muslim (2221)

Adapun jika binatang berpenyakit tersebut telah mati, maka terdapat beberapa cara untuk mengasingkannya daripada binatang yang sihat, seperti menanamnya atau membakarnya.

Disebutkan di dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah berkenaan sebahagian biri-biri atau seumpamanya yang mati akibat penyakit, sama ada diharuskan untuk membakarnya. Lalu, para anggota Majlis Fatwa menjawab: “Jika seekor binatang itu mati, maka yang lebih utama adalah ditanam jauh daripada bandar, atau boleh juga diberi makan pada anjing-anjing liar atau yang seumpama dengannya. Akan tetapi jika maslahah  hanya boleh tercapai dengan cara membakarnya, maka tidak menjadi masalah untuk bakar.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 26/209)

Di dalam fatwa yang lain, turut dibincangkan berkenaan hukum membakar bangkai binatang yang membusuk di tepi jalan kerana ianya menyakitkan orang sekeliling yang menghidu bau busuk tersebut. Perbuatan tersebut dibolehkan kerana ia termasuk dalam menghilangkan kesakitan, dan syara‘ menuntut kita untuk menghilangkan kesakitan, dan orang yang melakukan perkara tersebut (dengan niat menghilangkan kesakitan daripada orang lain) maka baginya ganjaran pahala di sisi Allah. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 26/211) 

Yang lebih diutamakan adalah menanamnya kerana ia yang paling ringan dan mudah caranya. Pada zahirnya juga tidaklah kelihatan ganas atau menyerupai bentuk seksaan. Jika tidak boleh berbuat demikian kerana dikhuatiri penyakitnya berkemungkinan tersebarnya  penyakit tersebut, maka dibolehkan untuk diberi kepada binatang lain sebagai makanan. Jika perkara tersebut juga boleh memudharatkan binatang lain tersebut, barulah diharuskan untuk dibakar bangkai tersebut kerana terdapat keperluan mendesak.

Ini bersesuaian dengan kaedah umum yang menyebutkan:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan.” 

Syara‘ juga menganjurkan umat Islam untuk menghindari suatu kemudharatan itu berdasarkan kemampuan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

الضَّرَر يُدْفَعُ بِقَدَرِ الإِمْكَان

Maksudnya: “Kemudharatan itu dihindari mengikut kadar kemampuan.”

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan, tidak terdapat dalil khusus yang melarang atau membenarkan kita untuk membakar bangkai binatang yang berpenyakit. Akan tetapi, berdalilkan dengan kaedah-kaedah umum di atas, diharuskan bagi seseorang itu untuk membakar bangkai binatang yang berpenyakit jika diyakini bahawa itu sahaja satu-satunya cara yang mampu dilakukan untuk mengelakkan kemudharatan daripada berlaku.

Jika penyakit itu mampu dihindari dengan cara menanam bangkai tersebut, maka itu lebih diutamakan sebagai menzahirkan sifat ihsan terhadapnya meskipun setelah mati. Marilah kita bersama-sama merenung firman Allah SWT:

هَلْ جَزَاءُ الْإِحْسَانِ إِلَّا الْإِحْسَانُ

Maksudnya: “Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?”

(Surah al-Rahman: 60)

Al-Baghawi menyebutkan bahawa, tiada balasan bagi sifat ihsan di dunia melainkan dibalas dengan ihsan di akhirat. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 7/455)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah :201)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *