#2484: Melihat Ke Langit Ketika Berdoa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mengetahui adakah dibolehkan untuk melihat ke langit ketika berdoa?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja me-merintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Seterusnya, kami nyatakan bahawa terdapat banyak adab-adab berdoa, antaranya:

  • Mengangkat kedua belah tangan ketika berdoa
  • Membaca hamdalah ketika berdoa
  • Membaca selawat sebelum dan selepas berdoa
  • Menyebut nama-nama Allah pada permulaan doa dan lain-lain lagi.

Antara sunnah-sunnah yang ditinggalkan ialah melihat ke langit ketika berdoa sebagai ta’zim dan membesarkan-Nya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ 

Maksudnya: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit,

Surah al-Baqarah (144)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Yakni, Baginda seringkali melakukan hal itu berulang-ulang dengan rasa harap dan menunggu turunnya wahyu tentang menghadap ke Ka’bah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 251)

Kata al-Miqdad Rasulullah SAW mengangkat kepalanya dan melihat ke langit maka aku berkata, “Sekarang, dia berdoa.” 

Kita mengharapkan agar doa kita dimakbulkan Allah SWT serta dimustajabkannya. Ini kerana doa merupakan ubat yang paling bermanfaat. Ia merupakan musuh bagi musibah. Ia dapat mengubati dan mengatasinya. Mencegah turunnya musibah atau mengangkatnya atau meringankannya dan ia merupakan senjata bagi orang yang beriman. (Lihat Inilah Doaku, hlm. 7)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *