#2485: Mewarnakan Rambut dengan Warna Putih

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bolehkah seseorang itu mewarnakan rambutnya yang hitam dengan warna putih? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (3462) dan Muslim (2103)

Begitu juga dalam hadith lain, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

غَيِّرُوا الشَّيْبَ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ

Maksudnya:Ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang Yahudi.

Riwayat al-Tirmizi (1752)

Dapat difahami daripada hadith-hadith ini bahawa ‘illah syarak dalam mewarnakan rambut atau janggut adalah untuk menyelisihi ahli kitab. Oleh sebab itu, terdapatnya penegasan bahawa ia suatu perbuatan yang digalakkan (sunat). Apatah lagi Rasulullah SAW sendiri berlebih-lebihan dalam menyelisihi mereka dan memerintahkan untuk melakukannya. Selain itu, sunnah ini (mewarnakan rambut dan janggut) sangat diambil berat oleh ulama salaf. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 11/172).

Secara umumnya, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/279-280) dinyatakan bahawa mewarnakan rambut dan janggut boleh dengan hinna’ (inai),[1] hinna’ bersama katam,[2] wars,[3] za‘faran, warna hitam dan lain-lain.

Seterusnya, digalakkan mewarnakan rambut dan janggut dengan hinna’ dan katam berdasarkan hadith, “غَيِّرُوا الشَّيْبَ” (iaitu ubahlah warna uban) dan ia adalah suatu perintah yang menunjukkan kepada galakkan (sunat). Hal ini juga adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

إِنَّ أَحْسَنَ مَا غَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الْحِنَّاءُ وَالْكَتَمُ

Maksudnya:Sesungguhnya sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mengubah warna uban ialah pohon hinna’ (inai) dan katam.”

Riwayat Ibn Hibban (5474) dan al-Tirmizi (4991)

Dapat difahami daripada hadith di atas bahawa bahawa hinna’ (inai) dan katam adalah antara pewarna terbaik untuk mengubah warna uban. Akan tetapi bahan untuk mewarnakan uban tersebut tidak hanya terhad kepada kedua-dua bahan itu sahaja, malah terdapat juga bahan pewarna lain yang sama fungsinya yang turut boleh digunakan dalam asal-usul kecantikan. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Anas R.A, katanya: “Abu Bakar mewarnakan (rambut dan janggutnya) dengan hinna’ (inai) dan katam. Manakala Umar pula mewarnakan (rambut dan janggutnya) hanya dengan hinna’ (inai).”

Begitu juga mewarnakan rambut dan janggut dengan menggunakan bahan wars dan za‘faran. Ia juga termasuk dalam hukum asal galakkan (sunat) itu sebagaimana mewarnakannya dengan bahan daripada hinna’ dan katam. Malah terdapat sebahagian sahabat yang mewarnakan rambut dan janggut mereka dengan kedua-dua bahan tersebut. Abu Malik al-Asyja‘i meriwayatkan daripada bapanya, katanya:

كَانَ خِضَابُنَا مَعَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْوَرْسَ وَالزَّعْفَرَانَ

Maksudnya:Bahan pewarna yang kami gunakan (untuk mewarnakan rambut dan janggut) bersama Rasulullah SAW ialah wars dan za‘faran.”

Riwayat Ahmad (15882)[4]

Ringkasnya, seseorang itu boleh mewarnakan rambut dengan menggunakan apa sahaja bahan pewarna atau produk pewarna rambut yang ada di pasaran dengan syarat ia memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama seperti tidak menghalang air dan bahan-bahan pewarna yang ingin digunakan mestilah bukan bahan yang mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan atau memberikan risiko dan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1421: Pewarna Rambut yang Halal.[5]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, seseorang itu boleh untuk mewarnakan rambutnya dengan apa-apa warna termasuklah warna putih. Para ulama hanya berselisih pendapat pada mewarnakan denggan warna hitam dan tidak membenarkannya melainkan adanya keperluan seperti untuk menghilangkan aib kerana uban yang berlebihan di rambut atau janggutnya sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar dan seumpamanya.[6]

Berkenaan mewarnakan rambut atau janggut dengan warna putih, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa para ulama berpendapat, makruh hukumnya untuk mewarnakan janggut yang hitam dengan bahan warna putih seperti menggunakan belerang (sulfur) atau seumpamanya bagi menzahirnya usianya yang lebih tua bagi mengangkat dirinya dalam kalangan pemuda yang sebayanya, dan untuk mendapatkan rasa hormat dan sanjungan daripada saudara-saudaranya, dan tujuan-tujuan seumpama itu termasuk dalam tujuan yang tidak baik.  Maka, difahami daripada ini bahawa jika tujuan untuk mewarnakan dengan warna putih itu adalah betul dan baik, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/283).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seseorang itu mewarnakan rambutnya dengan warna putih selagi mana tujuannya adalah betul dan baik. Namun, jika tujuan mewarnakannya dengan warna putih itu tidak baik seperti bagi mendapatkan sanjungan dalam kalangan pemuda sebayanya, ingin dilihat lebih dihormati dan seumpamanya, maka sebahagian ulama menghukumnya sebagai makruh.

Akan tetapi pada masa yang sama, dalam aspek pemilihan warna bagi mewarnakan rambut, kita juga hendaklah menjauhi apa-apa warna yang boleh mengundang tohmahan kepada dirinya seperti warna yang menyerupai gaya hidup orang bukan Islam, orang fasiq atau syiar agama lain. Hal ini kerana sedangkan agama Islam menuntut penganutnya agar berbeza dengan mereka. Perkara ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.

Riwayat Abu Daud (4031)

Al-San‘ani menjelaskan, maknanya ialah sesiapa yang menyerupai atau meniru orang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah, maka dia termasuk dalam kalangan mereka — yakni sama seperti mereka. Dalam erti kata lain, dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka. (Lihat Subul al-Salam, 4/175).

Selain itu juga, ingatlah sebagai seorang Muslim, kita turut diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Maka, sebelum melakukan sesuatu atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama. Hal ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[7]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Hinna’ ialah sejenis pokok yang daun dan batangnya seperti daun dan batang delima, bunganya pula berwarna putih, daunnya diambil untuk dijadikan pewarna merah. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/الْحِنَّاءِ/. Diakses pada 27 April 2023).

[2] Katam ialah sejenis tumbuhan yang dicampur dengan daun wasmah (dikenali juga sebagai daun Nil), lalu digunakan untuk mewarnakan rambut hitam. Namun, ada yang berpendapat, ia adalah wasmah. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2827).

[3] Wars ialah sejenis tumbuhan yang ditanam di Yaman dan India. Buahnya apabila masak, ditutup dengan kelenjar kuning, dan terdapat sedikit bulu di atasnya, yang digunakan untuk mewarna pakaian. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/الورس/. Diakses pada 28 April 2023). Ia adalah tumbuhan seperti bijan, dan mempunyai bau yang harum. Ia menjadi bahan pewarna antara warna merah dan kuning. (Lihat Jawahir al-Iklil Syarh Mukhtasar Khalil, 1/189).

[4] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (25/216) menilai sanadnya sebagai sahih. Beliau juga menyatakan, semua perawinya adalah thiqah dan merupakan perawi kitab al-Sahih melainkan Bakr bin Isa dan dia daripada perawi sunan al-Nasa’i dan dia adalah thiqah.

[5] Lihat https://maktabahalbakri.com/1421-pewarna-rambut-yang-halal/. Diakses pada 26 Julai 2023.

[6] Penjelasan lanjut mengenai tolik mewarnakan rambut dengan warna hitam, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1423: Warnakan Rambut dengan Warna Hitam. (https://maktabahalbakri.com/1423-warnakan-rambut-dengan-warna-hitam/. Diakses pada 26 Julai 2023).

[7] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *