Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ramai orang menganggap mereka mempunyai hak untuk berkata apa sahaja dan berbuat apa sahaja atas nama hak kebebasan atau hak asasi sehingga tiada dalam kamusnya halal dan haram. Apakah benar fahaman seperti ini dalam Islam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, kami kemukakan firman Allah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.

Surah al-Taubah (105)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Setiap manusia akan mendapat balasan atas perbuatannya. Jika perbuatan itu baik, balasannya juga baik. Jika perbuatan itu buruk, balasannya juga buruk. Amalan perbuatan itu dilihat dan disaksikan Allah, rasul-Nya dan orang-orang beriman.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/53)

Dunia merupakan dar ibtala’ (tempat ujian) yang akan dibalas di akhirat kelak. Jika baik amalan kita, maka baiklah, tetapi jika tidak, maka tidaklah. Hal ini berdasarkan kepada pertimbangan syarak yang dineracakan dengan kitabullah dan sunnah.

Dalam menjawab persoalan di atas, Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah berkata, “Kebebasan bukanlah dengan makna mengikut nafsu syahwat dan sifat-sifat yang keji. Ini semua adalah sifat bahimiyah yang tiada kebebasan. Hurriyah juga bukan bermaksud mengikut perkara syubhat, pemikiran yang rosak, tersebarnya fitnah. Ini semua adalah faudha atau kelam-kabut. Sesungguhnya, hurriyah yang sebenar adalah manusia dapat melepaskan diri dari setiap penguasaan yang menghukum pada pemikirannya, perasaannya, pergerakannya sama ada daripada pemimpin yang zalim atau tok nujum yang menguasai atau kekayaan yang menindas.”

Justeru, kami katakan setiap kebebasan mestilah dipandukan dengan natijah kebaikan yang diperolehi sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Adapun natijah dairpada itu membawa kejahatan, keburukan dan kebinasaan. Maka, itu bukanlah kebebasan tetapi telah mencampakkan diri ke lembah kehancuran dan kehinaan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply