Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan mengenai hukum terima duit sagu hati daripada seorang ejen hartanah kerana saya telah mencadangkan kepada seseorang untuk membuat urusan jual beli rumah dengan dia. 

Saya bimbang keuntungan yang diperoleh dari hasil jualan rumah tersebut tidak berkat kerana ia berkait dengan urusan pinjaman dan riba. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan yang diajukan, kami cuba membahagikan perbincangan yang akan dibawa kepada 2 perbahasan:

Pertama: Sagu Hati Termasuk dalam Akad al-Ja‘alah (الجَعَالَةُ)

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, sagu hati bermaksud suatu ganjaran yang diberikan sebagai penghargaan. Secara praktikalnya, ia sinonim dengan istilah “komisen”  sejumlah (peratusan) bayaran yang dibayar kepada seseorang, ejen, jurujual, dan sebagainya kerana perkhidmatannya. 

Di dalam perbahasan fiqh, perbuatan ini dikenali sebagai al-Ja‘alah (الجَعَالَةُ). Al-Khatib al-Syirbini berkata, dari sudut bahasa, al-Ja‘alah merupakan kata nama untuk sesuatu benda yang dijadikan untuk orang lain atas perbuatannya, dan nama lain baginya adalah al-Ju‘l (الجُعْلُ) dan al-Ja‘ilah (الجَعِيلَةُ). Imam Syams al-Din al-Ramli pula mentakrifkannya dari sudut istilah sebagai suatu balasan tertentu yang telah ditetapkan untuk kerja tertentu, sama ada diketahui atau tidak diketahui oleh orang yang dikenali atau tidak dikenali. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/617; Nihayah al-Muhtaj, 5/465)

Berdasarkan takrifan di atas, kami dapat disimpulkab bahawa akad al-Ja‘alah ini terdapat 4 rukun yang utama seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami; pekerjaan, upah, lafaz akad, dan pihak yang melakukan akad. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 6/365)

Akad al-Ja‘alah ini juga adalah akad yang tidak lazim, maka mana-mana pihak yang membuat keputusan untuk membatalkan dan menarik diri dari terlibat dalam akad tersebut adalah dibolehkan. Imam al-Syirazi mengatakan bahawa harus hukumnya bagi setiap pihak membatalkan akad kerana ia merupakan akad yang tidak diketahui pekerjaannya dengan pertukaran upah. (Lihat al-Muhazzab, 2/273)

Keharusan akad al-Ja‘alah ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَالُوا نَفْقِدُ صُوَاعَ الْمَلِكِ وَلِمَن جَاءَ بِهِ حِمْلُ بَعِيرٍ وَأَنَا بِهِ زَعِيمٌ 

Maksudnya: “Orang-orang menteri menjawab: ‘Kami kehilangan cupak raja, dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan bersamaan berat) seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu’.”

(Surah Yusuf: 72)

Imam Ibn Kathir mengatakan, firman Allah SWT: وَلِمَن جَاءَ بِهِ حِمْلُ بَعِيرٍ, termasuk dalam bab al-Ja‘alah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/343)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan firman Allah SWT di atas mengatakan, صُوَاعَ الْمَلِكِ itu adalah bekas yang digunakan untuk raja minum air. Dan firman Allah SWT: وَلِمَن جَاءَ بِهِ حِمْلُ بَعِيرٍ membawa maksud, bagi sesiapa yang menemukan bekas tersebut maka dia akan diberikan ganjaran makanan bersamaan berat seekor unta. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 16/177)

Para ulama’ al-Syafi‘iyyah mengharuskan konsep al-Ja‘alah ini berdalilkan sebuah hadith yang panjang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

انْطَلَقَ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ ﷺ فِي سَفْرَةٍ سَافَرُوهَا حَتَّى نَزَلُوا عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ، فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمْ، فَلُدِغَ سَيِّدُ ذَلِكَ الْحَيِّ، فَسَعَوْا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ شَيْءٌ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لَوْ أَتَيْتُمْ هَؤُلاَءِ الرَّهْطَ الَّذِينَ نَزَلُوا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ عِنْدَ بَعْضِهِمْ شَيْءٌ، فَأَتَوْهُمْ، فَقَالُوا: يَا أَيُّهَا الرَّهْطُ، إِنَّ سَيِّدَنَا لُدِغَ، وَسَعَيْنَا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ، فَهَلْ عِنْدَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مِنْ شَيْءٍ؟ فَقَالَ بَعْضُهُمْ: نَعَمْ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَرْقِي، وَلَكِنْ وَاللَّهِ لَقَدِ اسْتَضَفْنَاكُمْ فَلَمْ تُضِيِّفُونَا، فَمَا أَنَا بِرَاقٍ لَكُمْ حَتَّى تَجْعَلُوا لَنَا جُعْلًا. فَصَالَحُوهُمْ عَلَى قَطِيعٍ مِنَ الْغَنَمِ، فَانْطَلَقَ يَتْفِلُ عَلَيْهِ وَيَقْرَأُ: (الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ) فَكَأَنَّمَا نُشِطَ مِنْ عِقَالٍ، فَانْطَلَقَ يَمْشِي وَمَا بِهِ قَلَبَةٌ 

قَالَ: فَأَوْفَوْهُمْ جُعْلَهُمُ الَّذِي صَالَحُوهُمْ عَلَيْهِ، فَقَالَ بَعْضُهُمُ: اقْسِمُوا. فَقَالَ الَّذِي رَقَى: لاَ تَفْعَلُوا، حَتَّى نَأْتِيَ النَّبِيَّ ﷺ  فَنَذْكُرَ لَهُ الَّذِي كَانَ، فَنَنْظُرَ مَا يَأْمُرُنَا. فَقَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ  فَذَكَرُوا لَهُ، فَقَالَ: وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ، ثُمَّ قَالَ: قَدْ أَصَبْتُمْ، اقْسِمُوا وَاضْرِبُوا لِي مَعَكُمْ سَهْمًا، فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ

Maksudnya: “Beberapa orang sahabat Nabi SAW berangkat dalam suatu perjalanan. Apabila tiba di sebuah perkampungan Arab, mereka memohon untuk menumpang tetapi penduduk kampung tersebut enggan menerima mereka. Ketika itu ketua kampung tersebut telah disengat dan mereka telah menggunakan segala-galanya untuk mengubatinya, tetapi sedikitpun tidak berkesan. Beberapa orang dalam kalangan mereka berkata: ‘Mungkin kamu patut berjumpa dengan orang-orang yang singgah itu. Mereka mungkin ada sesuatu sebagai ubat.’ Lantas mereka datang menemui para sahabat dan berkata: ‘Wahai tuan-tuan sekalian, ketua kami telah disengat. Kami telah gunakan segala-galanya untuk menyembuhkannya, malangnya tidak berkesan. Adakah ada dalam kalangan kamu yang boleh mengubatinya.’ Sebahagian sahabat menjawab: ‘Ada, demi Allah aku boleh menjampi. Cuma demi Allah, kami telah mohon izin untuk menumpang di tempat kamu tetapi kamu menolak dan aku hanya akan menjampi untuk kamu jika kamu berikan kami sagu hati.’ Setelah berbincang, mereka bersetuju dengan pemberian sekawan kambing. Sahabat ini pun pergi meniup ketua itu dan membaca ayat ‘Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin’ (surah al-Fatihah). Tiba-tiba ketua kampung bangun seolah-olah baru terlepas daripada ikatan. Lalu berjalan sepertimana keadaan sebelum ini. 

Abu Sa‘id R.A berkata: Lalu penduduk kampung itu memberikan sagu hati seperti yang mereka setujui. Sebahagian para sahabat berkata: ‘Bahagi-bahagikanlah’. Namun sahabat yang menjampi tadi berkata: ‘Jangan lakukan sehinggalah kita bertemu Nabi SAW dan kita ceritakan kepada Baginda apa yang berlaku, dan kita tunggu perintah Baginda.’ Selepas itu mereka menemui Rasulullah SAW dan menceritakan apa yang berlaku. Baginda bersabda: ‘Bagaimana engkau tahu ia adalah jampi?’. Kemudian Baginda bersabda: ‘Kamu buat perkara yang betul, bahagi-bahagikanlah dan letakkan satu bahagian untuk aku bersama kamu’. Lalu Nabi SAW tertawa.”

Riwayat al-Bukhari (2276) dan Muslim (2201)

Apabila jelas perbahasan ini, maka kami katakan bahawa tidak menjadi masalah jika saudara yang bertanya menerima sagu hati daripada ejen hartanah tersebut sebagai balasan kerana mencadangkan agar orang membuat urusan jual beli bersama ejen itu.

Kedua: Keharusan Pemberian Sagu Hati Tidak Terjejas kerana Urusan Jual Beli Rumah yang Diragui

Adapun kebimbangan saudara terhadap keberkatan keuntungan yang diperoleh ejen hartanah tersebut, ia tidaklah menjejaskan hukum keharusan untuk mengambil sagu hati yang diberikan atas beberapa sebab:

  • Sagu hati tersebut berada dalam akad yang berbeza (akad al-Ja‘alah) daripada akad jual beli yang berlaku, maka ia tidak memberikan kesan terhadap sagu hati tersebut.
  • Urusan jual beli yang berlaku di antara ejen tersebut dengan pembeli tidak menjadi masalah jika ia berlandaskan hukum syara‘.
  • Keraguan terhadap urusan pinjaman dengan bank dan riba yang mungkin berlaku, maka ini di antara pembeli rumah tersebut dengan pihak bank. Ia juga merupakan satu akad yang terasing daripada akad jual beli dengan ejen hartanah, dan juga terasing dengan akad al-Ja‘alah.

Sekiranya sebahagian pihak membidas dengan mengatakan bahawa saudara yang bertanya dikira sebagai orang yang membantu ke arah maksiat, kerana terdapat riba pada pinjaman bank, dan Allah SWT telah berfirman:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Maka kami katakan, pembeli tersebut masih mempunyai pilihan lain untuk membuat pinjaman dengan bank yang menyediakan perkhidmatan patuh syari‘ah. Terdapat pelbagai bentuk pinjaman yang disediakan dan terbina di atas beberapa akad yang dibenarkan oleh Islam, seperti Musharakah Mutanaqisah, al-Tawarruq, atau al- ‘Inah. Kesemua akad tersebut telah kami bincangkan secara ringkas, boleh rujuk pada pautan yang berikut:

  • Pembiayaan Peribadi Islamik Berdasarkan Kaedah al-‘Inah: 

(https://maktabahalbakri.com/1775-pembiayaan-peribadi-islamik-berdasarkan-kaedah-al-inah/).

  • Pembiayaan Peribadi Islamik Berdasarkan Kaedah Tawarruq: 

(https://maktabahalbakri.com/1803-pembiayaan-peribadi-islamik-berdasarkan-kaedah-tawarruq/).

  • Refinance Rumah dan Beli Rumah Baru dengan Lebihan Wang: 

(https://maktabahalbakri.com/2206-refinance-rumah-dan-beli-rumah-baru-dengan-lebihan-wang/).

Kesimpulan

Selepas meneliti perbincangan yang dibawakan, dapat disimpulkan bahawa pada masalah ini terdapat 3 akad yang berasingan; akad al-Ja‘alah, akad jual beli, dan akad yang berkaitan dengan pinjaman. Kesemua akad tersebut tidak menjejaskan hukum bagi akad yang lain, maka harus hukumnya menerima sagu hati daripada ejen hartanah tanpa sebarang keraguan pada status halal keuntungan yang diperoleh. 

Meskipun begitu, pokok pangkalnya kembali kepada niat seseorang tersebut apabila memberikan sagu hati tersebut. Jika ia dengan tujuan yang buruk seperti rasuah, maka hukumnya haram. Dan jika ia dengan tujuan yang baik seperti penghargaan terhadap jasa seseorang, maka tidak menjadi masalah untuk menerima sagu hati tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا رِزْقًا وَاسِعًا حَلَالًا طَيِّبًا مُبَارَكًا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kami keluasan rezeki yang halal dan baik serta diberkati, sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply