#2518: Talak dengan Lafaz Kinayah Melalui Whatsapp

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Suami saya ada menghantar pesanan di Whatsapp untuk melepaskan saya dengan lafaz kinayah jika saya melakukan perbuatan yang suami larang. Sekiranya saya melakukannya kerana terlupa atau tidak ingat langsung pernah membaca lafaz kinayah tersebut, adakah talak jatuh serta merta pada masa saya membaca pesanan tersebut, atau pada masa suami menghantar pesanan tersebut pada saya, sama ada saya membacanya atau pun tidak?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Imam al-Khatib al-Syirbini mentakrifkan lafaz talak kinayah sebagai lafaz yang mengandungi makna talak dan selainnya. Contohnya seperti kata lelaki pada isterinya: “Kamu bebas daripada aku!” atau “Pergilah ke ahli keluarga engkau” dan selainnya. Para ulama’ al-Syafi‘iyyah meletakkan syarat untuk terjatuhnya talak dengan lafaz kinayah tersebut, ia mestilah disertai dengan niat, bukan niat tersebut datang sebelum lafaz atau selepas lafaz. (Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/456-462)

Ibn al-Qasim al-Ghazzi menyebutkan bahawa lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib, 2/264)

Asal pengambilan hukum lafaz kinayah ini berdasarkan peristiwa yang berlaku Ka‘ab bin Malik R.A ketika mana beliau tidak menyertai perang Tabuk. Rasulullah SAW memerintahkan beliau untuk menjauhi isterinya. Lalu Ka‘ab berkata :

أُطَلِّقُهَا أَمْ مَاذَا أَفْعَلُ

Maksudnya: “Adakah perlu aku menceraikannya atau bagaimana patut aku lakukan?”

Rasulullah SAW menjawab:

لَا بَلْ اعْتَزِلْهَا وَلَا تَقْرَبْهَا

Maksudnya: “Tidak perlu sampai begitu, hanya jauhi dia dan jangan dekatinya.”

Lalu Ka‘ab mengkhabarkan perkara tersebut kepada sahabatnya yang tidak pergi ke perang Tabuk bersama beliau. Kemudian beliau (Ka‘ab) berkata kepada isterinya:

الْحَقِي بِأَهْلِكِ

Maksudnya: “Pergilah ke ahli keluarga engkau.”

Apabila Allah menerima taubatnya, beliau kembali ke isterinya. Tidak pula dia diperintahkan untuk berakad dengan akad yang baru.

Riwayat al-Bukhari (4419)

Menurut ulama’ Mazhab al-Syafi‘i, penceraian tidak boleh berlaku melainkan apabila lengkap 5 rukun talak:

  • Suami yang mukallaf, maka talak tidak sah jika suami tersebut masih kecil, gila, pengsan, atau tidur.
  • Lafaz talak.
  • Isteri yang ditalakkan.
  • Kuasa perwalian, sebagai wakil jika penceraian ingin dibuat bagi pihak suami yang masih kecil atau gila.
  • Niat untuk menceraikan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/455)

Berkenaan dengan talak menggunakan lafaz kinayah, di sisi Mazhab al-Syafi‘i hukumnya adalah sah dan jatuh talaknya dengan syarat disertakan niat sepanjang melafazkan talak tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/462)

Talak dengan Lafaz Kinayah Melalui Whatsapp

Melihat kepada kemajuan teknologi yang kian berkembang, terdapat pelbagai cara yang membolehkan kita untuk berhubung dengan orang lain dari jarak jauh, antaranya adalah aplikasi Whatsapp. Medium ini hanyalah perantara untuk membolehkan berlakunya komunikasi antara 2 pihak walaupun berada di tempat yang berbeza, maka aplikasi hukum syara‘ yang terbina di atasnya sama seperti ketika berlakunya komunikasi secara bersemuka.

Talak dengan cara bertulis juga sebenarnya telah dibahaskan dalam kitab fiqh, dan ia dikategorikan sebagai lafaz kinayah. Hal ini kerana, difahami bahawa orang yang boleh bercakap tetapi melafazkan cerai dalam bentuk isyarat atau tulisan sahaja, dia sebenarnya tidak berniat untuk menceraikan isterinya. al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa, jika suami yang boleh bercakap dengan sengaja menulis lafaz talak kepada isterinya, ia tidak dikira kecuali jika disertakan dengan niat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/463)

Ibn Hajar al-Haitami pula menyebutkan, talak dengan cara bertulis ini tidak berlaku kecuali dengan niat kerana tidak ada lafaz yang diungkapkan secara lisan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 8/21)

Meneliti kalam para ulama’ di atas, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah telah mengeluarkan fatwa bahawa apa-apa lafaz talak yang dihantarkan melalui pesanan meses termasuk dalam talak dengan lafaz kinayah, tidak jatuh talak tersebut kecuali disertai niat.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2003 telah memutuskan bahawa talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami katakan bahawa talak melalui whatsapp dan apa-apa medium yang seumpamanya termasuk dalam kategori lafaz kinayah, meskipun dia menghantar pesanan dengan lafaz sarih. Ia tidak sah atau jatuh talak kecuali jika suami itu memang berniat untuk menceraikan isterinya ketika menulis pesanan tersebut. 

Sekiranya suami menghantar pesanan Whatsapp dengan lafaz kinayah kepada isterinya, maka secara zahirnya telah berlaku 2 kinayah; talak secara bertulis, dan menggunakan lafaz kinayah. Oleh yang demikian, sekiranya saudari yang bertanya telah melakukan apa yang dilarang oleh suami dan teringat tentang pesanan talak melalui Whatsapp tersebut, maka lebih utama untuk ditanyakan kepada suami tentang niat sebenar pesanan tersebut, sama ada dia memang berniat untuk menceraikannya atau tidak.

Secara ringkasnya, talak dengan pesanan Whatsapp mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Pesanan Whatsapp itu dikirim oleh suami.
  • Penerima pesanan Whatsapp adalah isteri.
  • Pesanan Whatsapp itu mestilah dibaca oleh penerima, iaitu isteri.
  • Suami memang berniat untuk menceraikan isterinya ketika menghantar pesanan Whatsapp itu.

Perbincangan mengenai lafaz talak kinayah juga telah banyak kami bincangkan sebelum ini, boleh cuba merujuk perbahasannya dengan lebih lanjut di halaman kami:

  • Talak Kinayah:

(https://maktabahalbakri.com/248-talak-kinayah/).

  • Jenis Lafaz Talak Kinayah:

(https://maktabahalbakri.com/1247-jenis-lafaz-talak-kinayah/).

  • Talak Melalui Whatsapp:

(https://maktabahalbakri.com/336-talak-melalui-whatsapp/#_ftn8).

Akan tetapi, dalam isu ini kami berpandangan sebaiknya dirujuk kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan informasi lebih lanjut berkenaan status suami isteri bagi Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai. Hakim mempunyai kuasa untuk memutuskan status perkahwinan tersebut, sama ada telah terjatuh talak atau pun tidak. Ini bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah:

حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”

Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *