Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kalimah taqwa kepada Allah SWT, bagaimana sepatutnya kita berinteraksi dengannya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, hendaklah kita memahami erti dan maksud taqwa. 

Ibn Manzur dalam Lisan al-‘Arab (15/401) menjelaskan bahawa, dari sudut bahasa, takwa bermaksud menjaga diri atau berhati-hati. Dikatakan: ‘اِتَّقَيْتُ الشَّيْءَ وَتَقَيْتُهُ أَتَّقِيْهِ وَأَتْقِيْهِ تُقًى وَتَقِيَّةً وَتِقَاءً’, maksudnya: “Aku menjaga diri daripada sesuatu atau aku berhati-hati terhadapnya.” Allah SWT berfirman:

هُوَ أَهْلُ التَّقْوَىٰ وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ ‎

Maksudnya: “Dia-lah (Allah) yang patut (kita) bertakwa kepada-Nya dan Dia-lah yang berhak memberi keampunan.”

(Surah al-Muddatthir: 56)

Maksud ayat di atas adalah hanya Allah SWT sahajalah yang berhak untuk ditakuti azab seksa-Nya dan hanya Allah SWT sahajalah yang berhak untuk diperlakukan dengan apa yang mendatangkan keampunan-Nya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 15/401)

Menurut al-Raghib al-Asfahani, takwa bermaksud menjaga diri daripada perbuatan yang membuatkannya berdosa, dan hal itu adalah dengan meninggalkan apa yang dilarang, dan menjadi sempurna dengan meninggalkan sebahagian yang dihalalkan. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 531)

Imam al-Nawawi pula menjelaskan bahawa takwa itu adalah mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Yakni, menjaga diri daripada kemurkaan dan azab Allah SWT. (Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 322)

Al-Jurjani pula menyebut bahawa takwa adalah menjaga diri daripada azab seksa Allah SWT dengan mentaati-Nya. Dengan erti kata yang lain, seseroang menjaga diri daripada perbuatan yang boleh mengakibatkan diazab dan diseksa, sama ada dengan melakukan perbuatan atau meninggalkannya. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 68)

Dasar takwa adalah seorang hamba meletakkan pelindung antara dirinya dengan sesuatu yang dia takutkan dan khuatirkan. Jadi, takwa seseorang kepada Rabb-nya ialah dia meletakkan antara dirinya dan apa yang dia takutkan daripada Rabb-nya berupa kemarahan dan hukuman-Nya, sebuah pelindung yang melindungi dirinya daripada semua yang dia takutkan itu. Pelindung tersebut adalah dengan melakukan segala ketaatan dan menjauhi segala larangan. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/398)

Allah SWT berfirman:

اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ

Maksudnya: “Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya.

(Surah Ali Imran: 102)

Ibn Mas’ud R.A berkata: “Hendaklah Allah Azza wa Jalla itu ditaati dan tidak dilakukan maksiat pada-Nya, sentiasa diingati dan tidak dilupakan, serta disyukuri dan tidak diingkari.” (Lihat al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani, no. 8502. Lihat juga Jami’ al-Bayan, 3/375)

Ibn al-Qayyim berkata: Hakikat takwa adalah melakukan ketaatan kepada Allah SWT dilandasi keimanan dan mengharap pahala-Nya kerana ada perintah dan larangan sehingga seseorang melakukan perintah Allah SWT dengan mengimani Zat yang memerintah dan membenarkan janji-Nya, dan dia meninggalkan apa yang Allah larang baginya dengan mengimani Zat yang melarangnya dan takut terhadap ancaman-Nya.

Sepertimana disebut oleh Thalq bin Habib Rahimahullah: “Apabila berlaku fitnah, padamkanlah fitnah itu dengan takwa.” Orang ramai bertanya: “Apakah takwa itu?” Dia menjawab: “Takwa adalah engkau melakukan ketaatan kepada Allah berdasarkan cahaya daripada Allah, kerana mengharapkan pahala daripada-Nya, dan engkau meninggalkan segala bentuk kemaksiatan kepada-Nya berdasarkan cahaya daripada-Nya, kerana takut terhadap azab seksa-Nya.”

Menurut Ibn al-Qayyim, ini adalah sebaik-baik definisi bagi kalimat takwa. Kerana seluruh amal mesti memiliki permulaan dan tujuan akhir. Suatu amalan tidak dikatakan sebagai ketaatan dan qurbah (amalan yang mendekatkan diri kepada Allah) sehinggalah ia berdasar dan bersumberkan daripada keimanan. Dengan demikian, yang menjadi pendorong ia melakukan suatu amalan adalah keimanan semata-mata, bukan adat (kebiasaan), hawa nafsu, mengharap pujian dan kedudukan dan selainnya. Amalan tersebut hendaklah diawali dengan keimanan, manakala tujuan akhirnya adalah mengharap pahala daripada Allah dan keredhaan-Nya. Inilah yang disebut dengan al-ihtisab (mengharapkan pahala). (Lihat al-Risalah al-Tabukiyyah, hlm. 15)

Menurut Ibn Kathir, orang yang bertaqwa ialah orang yang takut akan kesyirikan dan perkara yang diharamkan Allah SWT, mengerjakan semua perkara yang difardhukan serta berhati-hati dengan hukuman daripada-Nya jika meninggalkan petunjuk-Nya, di samping mengharapkan rahmat-Nya dengan membenarkan segala perkara yang datang daripada-Nya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/163)

Kami nukilkan juga di sini, kata-kata Sahabat dan ulama’ berkenaan maksud takwa itu sendiri:

  • Sayyidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”
  • Abdullah bin Mas’ud R.A mengatakan: “Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.”
  • Al-Nasr Abazi Rahimahullah berkata: “Takwa ialah seorang hamba bertakwa atau memelihara selain daripada Allah SWT.”
  • Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahimahullah berkata: “Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhkanmu daripada Tuhan.”
  • Talaq bin Habib Rahimahullah berkata: “Takwa ialah amalan dengan dengan ketaatan kepada Allah SWT.”
  • Abu Hafs Rahimahullah berkata: “Takwa hanya pada perkara yang halal semata-mata dan bukan yang lain.”
  • Dikatakan juga, takwa mempunyai beberapa peringkat: Bagi orang awam, dengan selamat daripada syirik. Bagi orang khusus, dengan selamat daripada maksiat. Bagi wali-wali, dengan selamat bertawassuldengan perbuatan dan bagi Nabi, takwa dengan selamat, nisbah perbuatan apabila takwa mereka daripada-Nya kepada-Nya.
  • Ibn Ataillah Rahimahullah berkata: “Takwa terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Zahirnya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pula dengan niat dan ikhlas.”
  • Abu al-Husin al-Zanjani Rahimahullah berkata: “Siapa yang bermodalkan hartanya dan takwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya.”
  • Al-Wasiti Rahimahullah berkata: “Takwa ialah seseorang memelihara dari takwanya, iaitu dari melihat ketakwaannya.”

Sebenarnya kalimah ittaqillah atau bertaqwalah kepada Allah merupakan kalimah yang tidak pernah hilang kehebatannya dan segera patuh serta tunduk kepada Allah SWT kecuali seseorang itu telah dilanda dengan bala munafik. Wal iya zubillah.

Hal ini berbetulan dengan firman Allah SWT:

 وَإِذَا قِيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالْإِثْمِ ۚ فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ ۚ وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ

Maksudnya: Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

(Surah al-Baqarah: 206)

Perintah ‘اتَّقِ اللَّهَ’ adalah juga perintah Rasulullah SAW. Daripada Abi Zar Jundub bin Junadah dan Abu ‘Abd al-Rahman Mu’az bin Jabal, R.Anhuma, daripada Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وأَتْبِعِ السَيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah di mana saja kamu berada. Dan ikutilah kejahatan dengan mengerjakan kebaikan, nescaya (kebaikan) menghapuskannya (kejahatan tadi). Dan berperangai kepada manusia dengan perangai yang baik.”

Riwayat Ahmad (5/153) dalam al-Musnad, al-Tirmizi (4/355) dalam al-Sunan, dan  beliau berkata: Hadis ini Hadis hasan sahih. Al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/54) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6/245). Hadis ini sahih dengan jalan-jalan dan syawahidnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Leave a Reply