Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum pelajar gunakan AI bagi menyiapkan tugasan dari segi menyalin respon balas AI dan mengolah sedikit ayat? Adakah berkat markah yang diperolehi? Bagaimana pula dengan pelajar yang menggunakan AI untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai sesuatu tajuk? Itu sahaja. Terima kasih Dr.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mentakrifkan terlebih dahulu AI. AI merupakan singkatan kepada Artificial Intelligence atau dalam bahasa Melayu dipanggil Kecerdasan Buatan/Kepintaran Buatan. Ia merupakan kecerdasan yang dimiliki dan ditunjukkan suatu sistem beraturcara atau mesin jentera yang mampu melakukan tugas dan fungsi mirip yang dijana oleh pemikiran manusia. AI telah difahami sebagai satu bidang ilmu komputer di pertengahan tahun 1950-an. 

Istilah AI telah diterapkan dalam program dan sistem komputer yang mampu melakukan tugas-tugas yang lebih kompleks daripada program komputer biasa, walaupun masih jauh dapat menandingi pemikiran manusia. Kemampuan AI kini digunakan secara meluas di bidang-bidang seperti pemprosesan maklumat, permainan komputer, keselamatan negara, perdagangan elektronik, dan sistem diagnostik.

Justeru, kami memahami AI sebagai penggunaan teknologi tinggi dalam bentuk machine learning dan data mining yang sentiasa berkembang dalam urusan kehidupan dan kehendak manusia, ke arah yang lebih mudah, pantas, dan berkesan.

Dalam menjawab soalan di atas, kami melihat penggunaan AI dalam menyiapkan suatu tugasan atau assignment, hanyalah sebagai salah satu alat bantu pembelajaran. Penggunaan alat-alat bantu ini bergantung kepada tujuan dan matlamat penggunaannya. Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى

Maksudnya:Sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.”

Riwayat al-Bukhari (1)

Begitu juga kaedah fiqh menyebutkan:

الْأُمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 30)

Kebiasaannya, tujuan asal tugasan atau assignment yang diberikan kepada pelajar itu adalah bagi melatih dan memupuk skil mencari maklumat, menulis, menganalisis maklumat dengan kritis dan seumpamanya. Maka, dengan menggunakan AI sebagai salah satu alat bantu akan lebih memudahkan diri pelajar tersebut dalam menambahkan pengetahuan dan mencari sumber maklumat awal bagi lebih memahami tajuk yang ingin dibincangkan dalam menyiapkan suatu tugasan. Sekalipun begitu, maklumat-maklumat yang didapati melalui hasil carian AI tetap masih perlu disemak dari segi sumbernya dan keabsahan maklumatnya.

Oleh itu, kami berpendapat tidak mengapa seseorang itu menggunakan AI atau apa-apa alat bantu lain dalam menyiapkan tugasan (assignment) mereka dengan syarat ia tidak melibatkan perbuatan menipu, tidak berlaku plagiarisme, mengambil hasil karya, idea, atau kata-kata orang lain tanpa keizinan, pelanggaran hak cipta terpelihara dan seumpamanya. Hal ini kerana mereka tetap terlibat dalam menyiapkan tugasan itu, bahkan menyelesaikannya sendiri. Penggunaan AI dan alat-alat bantu lain hanyalah sebagai pemudahcara dalam mereka menyiapkan tugasan tersebut. 

Manakala perbuatan menipu, mencuri hasil karya orang lain dan seumpamanya pula termasuk dalam perbuatan yang diharamkan serta pelakunya dianggap berdosa. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”

(Surah al-Nisa’: 29)

Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/175).

Begitu juga Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya:Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231).

Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan AI atau alat-alat bantu lain secara berlebihan dalam menyiapkan suatu tugasan (assignment), akan merencatkan daya berfikir pelajar berkenaan sekali gus mengurangkan manfaat yang dapat diperolehi oleh mereka melalui tugasan tersebut. Apatah lagi, jika tugasan dan assignment tersebut berkaitan dengan kelayakan tertentu bagi kenaikan pangkat atau mendapatkan markah tertentu bagi melayakkannya mendapat posisi tertentu. Justeru, jika hasil yang diperolehnya itu bukan sepenuhnya daripada hasil usahanya sendiri (sebaliknya banyak menggunakan alat-alat bantu lain seperti AI dan sebagainya), maka sudah pasti ia akan menyukarkannya kelak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H

Leave a Reply