Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya tinggal di kawasan kampung yang agak pedalaman, jadinya ayam hutan masih lagi agak banyak. Cumanya agak pelik sebab kebelakangan ini juga banyak babi yang mati secara tiba-tiba. Jadinya, baru-baru ini ayah saya ada memberitahu bahawa dia tak berapa lalu dah nak makan ayam hutan sebab diberitahu ayam hutan makan bangkai babi yang mati. Soalan saya, apakah hukum makan ayam hutan yang memakan bangkai babi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Secara umumnya ayam termasuk dalam jenis haiwan yang halal untuk dimakan. Terdapat riwayat daripada Abu Musa al-Asy‘ari bahawa beliau berkata:

 رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْكُلُ دَجَاجاً

Maksudnya: “Aku telah melihat Nabi SAW makan (daging) ayam

Riwayat al-Bukhari (5517)

Al-Mubarakfuri menyebutkan, hadith di atas menunjukkan bahawa diharuskan untuk memakan ayam jinak dan ayam liar (iaitu ayam hutan) secara sepakat para ulama. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/450).

Pertamanya, kami melihat soalan yang diajukan berkait rapat dengan perbahasan ulama berkaitan haiwan Jallalah. Ibn Manzur, Abu Daud dan pengarang Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’ mendefinisikan haiwan jallalah sebagai haiwan yang mana makanannya adalah najis dan seumpamanya, yang terdiri daripada tahi dan benda-benda kotor. (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, 1/165; Lisan al-‘Arab, 11/119; Sunan Abi Daud, 3/336). Manakala di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, haiwan jallalah didefinisikan sebagai haiwan yang makanannya berasal daripada najis sekalipun bukan daripada tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 15/260). Sebahagian ulama yang lain pula menyebut bahawa haiwan jallalah ialah haiwan yang makan tahi dan najis, tidak kira haiwan tersebut adalah unta, lembu, kambing, ayam, angsa atau lain-lain. (Lihat Raudah al-Talibin, 3/278; Nail al-Autar, 8/139-140; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558).

Dari segi istilah sains, haiwan jallalah ini dikenali sebagai coprophagous (coprophagy). Coprophagous ialah hidupan yang makan tahi atau najis haiwan yang lain. Kebanyakan serangga merupakan spesies coprophagous dan biasanya merupakan pengguna tegar tahi atau najis haiwan herbivor yang lebih besar daripadanya. Antara serangga daripada spesies ini ialah kumbang tahi (dung beetles). Ia juga berasal daripada bahasa Greek iaitu Copros (najis) dan phagein (makan).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, mengenai perkara ini, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْجَلَّالَةِ وَأَلْبَانِهَا

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah — yakni dagingnya — dan susunya.

Riwayat al-Tirmizi (1824); Abu Daud (3785) dan al-Albani menilai hadith ini sebagai sahih.

Begitu juga terdapat riwayat lain yang datang dengan lafaz:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الجَلَّالَةِ فِي الْإِبِلِ  أَنْ يُرْكَبَ عَلَيْهَا، أَوْ يُشْرَبَ مِنْ أَلْبَانِهَا

Makasudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah daripada jenis unta, sama ada menunggangnya atau minum daripada susunya.

Riwayat Abu Daud (3787) dan al-Albani menilai hadith ini sebagai hasan sahih.

Hadith-hadith ini jika dilihat secara zahirnya, menunjukkan tegahan Nabi SAW daripada memakan, menunggang dan minum susu haiwan jallalah. Namun demikian, para ulama berbeza pendapat berkenaan makna larangan tersebut adakah ia menunjukkan kepada haram ataupun makruh tanzih. Pada asasnya, mereka berbeza berkenaan hukum memakan dagingnya kepada dua pendapat:

Pendapat pertama: Hukumnya adalah haram bagi kita untuk memakan dagingnya. Ini merupakan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, dan juga salah satu pendapat mazhab Syafi‘i. Mereka berhujah bahawa larangan yang terdapat dalam hadith berkenaan menunjukan bahawa ia adalah haram kerana hukum asal sesuatu larangan itu adalah haram selagi mana tiada bukti ia difahami sebagai makruh.

Pendapat kedua: Hukumnya adalah makruh tanzih. Ini merupakan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, pendapat mazhab Maliki dan Hanafi, serta pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Mereka berhujah bahawa larangan tersebut tidak kembali kepada zatnya, akan tetapi kepada perkara yang mendatang — yakni bukan kekal pada zat — yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Selain itu, mereka juga berhujah bahawa apabila haiwan berkenaan memakan najis dalam kuantiti yang banyak telah menyebabkan dagingnya berubah dan berbau busuk. Oleh itu, makruh memakannya sebagaimana makanan yang berbau busuk yang lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/559; Badai‘ al-Sanai‘, 5/39-40; Bidayah al-Mujtahid, 3/18; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2597-2598; al-At‘imah oleh Dr. Soleh Fauzan, hlm. 50).

Walau bagaimanapun, para ulama berbeza pendapat pada kadar kuantiti najis yang dimakan bagi membolehkan ia dikategorikan sebagai haiwan jallalah. Sebahagian ulama berpendapat haiwan tersebut dikategorikan sebagai haiwan jallalah jika majoriti makanan yang dimakannya adalah najis, namun sekiranya majoriti makanannya adalah bersih dan bukan najis, ia tidak termasuk dalam kategori haiwan jallalah. Manakala sebahagian ulama yang lain pula tidak mensyaratkan banyak ataupun sedikit, tetapi dengan terzahirnya bau najis dan busuk atau sekiranya berubah struktur warna, rasa dan bau daging tersebut. Inilah pendapat yang dipegang dan disahihkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/447; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558; Mughni al-Muhtaj, 6/155; Fath al-Wahhab, 2/237; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28).

Oleh itu, dapat difahami bahawa haiwan yang memakan kotoran tetapi tidak sampai merubah struktur bau, rasa dan warnanya, ia tidak dikategorikan sebagai haiwan jallalah mengikut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i. 

Seterusnya, sebahagian ulama seperti Syafi‘iyyah dan Malikiyyah mengharuskan memberi makan makanan yang berunsurkan najis atau bercampur dengan najis kepada haiwan tunggangan sepertimana mereka juga telah mengharuskan untuk memberi minum air yang telah menjadi najis kepada haiwan ternakan dan menyiram tanam-tanaman. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/108-109).

Keharusan memberi makanan berunsurkan najis kepada haiwan ini juga jelas dapat dilihat dalam kenyataan Imam Nawawi yang menyebutkan bahawa tepung yang diuli dengan air najis dan menjadi roti adalah dikira sebagai najis dan haram dimakan oleh manusia. Akan tetapi ia harus untuk diberikan sebagai makanan kepada kambing, unta, lembu atau lain-lain daripada jenis haiwan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29; Raudhah al-Talibin, 3/279.). Malah, dapat difahami juga daripada kenyataan tersebut, beliau dan sebahagian ulama yang lain tidak membezakan jenis najis yang dimakan oleh haiwan berkenaan bagi menjadikannya sebagai haiwan jallalah sama ada daripada kategori mutawassitah atau mughallazah. Hal ini adalah sebagaimana contoh haiwan jallalah yang diberikan oleh mereka iaitu anak kambing yang membesar dengan susu khinzir atau anjing. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/40; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29; Raudhah al-Talibin, 3/279).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa memakan ayam hutan yang memakan bangkai babi adalah makruh dan bukannya haram, jika disebabkan oleh pemakanannya itu mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Hal ini kerana larangan tersebut tidak kembali kepada zatnya, akan tetapi kepada perkara yang mendatang — yakni bukan kekal pada zat — yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Pendapat ini juga adalah selari dengan pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i, pendapat mazhab Maliki dan Hanafi, serta salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali. Selain itu ulama juga tidak membezakan antara jenis najis yang dimakan oleh haiwan berkenaan bagi menjadikannya sebagai haiwan jallalah sama ada daripada kategori mutawassitah atau mughallazah

Namun, jika pemakanan ayam hutan yang berunsurkan najis itu tidak menyebabkan sebarang perubahan pada dagingnya, maka tidak makruh untuk memakannya. Berkenaan isu haiwan jallalah ini juga, kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam artikel kami yang bertajuk: #506 Memakan Ikan Keli yang Dipancing dari Kolam Najis dan #510 Memberi Ikan Ternakan Makanan Berunsurkan Najis.

Walau bagaimanapun, haiwan jallalah yang dikuarantin terlebih dahulu selepas terzahirnya bau najis dan diberi makan makanan yang baik — yakni bukan najis — sehingga hilang bau najis tersebut, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/278; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29). Tambahan lagi, al-Kasani juga ada menyebutkan bahawa hukum makruh tersebut adalah berkait rapat dengan perubahan daging dan bau busuk. Sekiranya tiada lagi bau busuk itu, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/40). 

Malah, para ulama yang berpegang dengan pendapat haram daging haiwan jallalah seperti salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, juga membenarkan memakannya setelah dikuarantin dalam satu tempoh masa dan diberi makan makanan yang baik — bukan najis. Namun, mereka berbeza pada tempoh masa pengkuarantinan tersebut. Ada yang tidak menetapkan tempoh masa, manakala ada yang membezakan tempoh masa berdasarkan kesesuaian haiwan berkenaan seperti bagi kategori burung selama 3 hari, kambing selama 7 hari dan apa yang selain daripada kedua-dua kategori ini selama 40 hari. (Lihat al-At‘imah oleh Dr. Soleh Fauzan, hlm. 51).

Oleh itu, tiada khilaf dalam kalangan ulama, tidak kira yang berpegang kepada pendapat makruh mahupun haram berkenaan keharusan memakan dagingnya setelah dikuarantin dan diberi makanan yang bersih dalam suatu tempoh masa. Hal ini kerana ‘illah — yakni sebab — bagi ketidakharusan memakan haiwan jallalah adalah kerana ia memakan najis dan kotoran sehingga memberi kesan kepada dirinya. Justeru, jika ‘illah itu hilang, maka hilanglah larangan daripada memakan haiwan tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah:

إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ

Maksudnya:Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Berkenaan tempoh kuarantin ini juga kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam artikel kami yang bertajuk: #508 Tempoh Kuarantin Haiwan Jallalah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Leave a Reply