Soalan:
Salam Datuk, izinkan saya bertanya, saya baru lepas cabut gigi. Adakah saya dikira membaca al-Quran jikalau saya hanya membuka mushaf dan membacanya di dalam hati? Mohon pencerahan Datuk. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
(Surah al-Hijr: 9)
Kata Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini: al-Zikr adalah al-Quran. Kata beliau lagi: Dan Kami (Allah) sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 17/68)
Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”
Riwayat al-Tirmizi (2910)
Selain itu Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa al-Quran boleh memberi syafaat kepada pembacanya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A bahawa Baginda bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.
Riwayat Muslim (804)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan membaca quran dalam hati tanpa mengerakkan lisan itu tidak dikira membaca kerana maksud membaca itu adalah melafazkan apa yang ditulis. Dalam isu ini sesiapa yang membaca dalam hati tidak diganjarkan dengan ganjaran membaca dan kami berpandangan ia lebih kepada mentadabbur al-quran kerana mentadabbur itu adalah dengan hati manakala membaca itu dengan lisan.
Al-Hatab menyatakan dalam kitabnya Mawahib al-Jalil bahawa: Apa yang kamu lakukan adalah amal yang baik, dan yang lebih sempurna daripadanya ialah apabila kamu menggabungkan antara membaca dengan lidah, dan mentadabur dengan hati. Tidak disyaratkan untuk menguatkan bacaan itu, tetapi cukup dengan menggerakkan lidah walaupun tanpa suara. Maka berusahalah untuk melakukan sebagaimana yang demikian agar pahalamu lebih besar.
Perlu diingat bahawa mentadabur tidak akan mendapat pahala seperti membaca. Kerana apa yang telah ditetapkan pahala untuk membaca adalah menggerakkan lidah. Seseorang Muslim tidak dianggap telah menyelesaikan bacaan Al-Quran sehingga dia menggerakkan lidahnya dengan membaca. Oleh itu, para ulama bersetuju bahawa orang yang sedang menunaikan solat harus menggerakkan lidahnya dengan membaca Al-Quran dan zikir yang wajib, dan jika dia tidak berbuat demikian, solatnya tidak sah. (Lihat Mawahib al-Jalil, 1/317)
Ibnu Hajib juga menyatakan: Tidak dibolehkan menyembunyikan bacaan tanpa mengerakkan lisan kerana tidak menggerakkan lisan itu tidak dikira membaca akan tetapi ia lebih kepada bertafakur. (Lihat Mawahib Jalil, 1/317)
Abu Zaid al-Maliki berkata: Bacaan yang dianggap sah dalam keseluruhan solat adalah dengan menggerakkan lidah dalam membaca Al-Quran. Adapun menguatkan suara dalam solat itu adalah sekadar didengari oleh diri sendiri dan orang yang berada di sekelilingnya. Adapun membaca Al-Quran dalam hati tanpa menggerakkan lidah, itu tidak dianggap sebagai bacaan dalam solat, dan tidak diharamkan bagi orang junub atau tidak dikira melanggar sumpah bagi orang yang bersumpah.
Hendaklah seluruh wirid dalam solat dilafazkan dengan menggerakkan lidah kerana dengan sekadar membaca dalam hati tanpa menggerakkan lidah itu tidak dianggap sebagai bacaan atau zikir.
Adapun di luar solat, tidak ada masalah untuk membaca zikir dalam hati tanpa menggerakkan lidah. Namun, yang lebih baik dan lebih sempurna adalah menggabungkan keduanya, iaitu menyatukan antara zikir dalam hati dan menggerakkan lidah. (Lihat al-Fawakih al-Diwani a’la RisalaH Ibn Abi Zaid al-Qairawani, 1/199)
Justeru kami nyatakan di sini bahawa, membaca al-Quran dalam hati tanpa menggerakkan lisan itu tidak dikira sebagai membaca dan tidak diberikan ganjaran membaca. Namun kami berpandangan untuk mendapat ganjaran membaca al-Quran seperti yang telah disebutkan dalam hadith di atas hendak memenuhi syarat membaca iaitu menggerakkan lisan walau tidak menguatkan suara.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhir dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”
Wallahua’lam.
Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H