Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menyamakan saf dalam solat berjemaah, wajib atau sunat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara umumnya, meluruskan saf termasuk di dalam adab-adab solat berjemaah. Bahkan di sana di sana terdapat hadith-hadith yang menceritakan berkaitan kepentingan meluruskan saf dan sebab yang akan berlaku sekiranya diabaikan perkara ini. Di antaranya daripada Abu Mas‘ud R.A, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ مَنَاكِبَنَا فِي الصَّلَاةِ وَيَقُولُ: اسْتَوُوا، وَلَا تَخْتَلِفُوا، فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: “Rasulullah SAW memegang bahu-bahu kami ketika hendak solat sambil bersabda: ‘Luruskanlah (saf kamu) dan jangan kamu berselisih sehingga hati kamu juga turut berselisih.’” 

Riwayat Muslim (432)

Dalam menjawab soalan di atas, secara ringkasnya para ulama berbeza pendapat mengenai hukum menyamakan saf dalam solat kepada dua pendapat:

Pendapat pertama, jumhur ulama dalam kalangan Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi‘iyyah dan Hanabilah berpendapat bahawa menyamakan atau meluruskan saf adalah disunatkan dan bukannya wajib. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 1/136; Durar al-Hukkam, 1/90; Mawahib al-Jalil, 1/468; al-Fawakih al-Dawani, 1/211; Asna al-Matalib, 1/228; Tuhfah al-Muhtaj, 2/311; al-Mughni, 1/275; al-Insaf, 2/39).

Mereka yang berpegang dengan pendapat ini berhujah berdasarkan kepada beberapa dalil. Di antaranya hadith Anas R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمامِ الصَّلاةِ

Maksudnya: “Luruskan saf-saf kamu kerana meluruskan saf termasuk dalam kesempurnaan solat.

Riwayat al-Bukhari (723) dan Muslim (433) serta lafaz daripada Muslim.

Dalam hadith di atas, lafaz “مِنْ تَمامِ الصَّلاةِ” difahami daripadanya sebagai sunat kerana kesempurnaan sesuatu perkara dari segi uruf adalah sesuatu yang di luar daripada hakikatnya yang mana tidak tercapai melainkan dengannya (hakikat solat itu), meskipun secara praktikalnya hakikat solat itu tidak dapat tercapai melainkan dengannya (meluruskan saf). (Lihat Ihkam al-Ahkam Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/217).

Begitu juga hadith Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَلاَ تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ، فَإِذَا رَكَعَ، فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا لَكَ الحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا، فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ، وَأَقِيمُوا الصَّفَّ فِي الصَّلاَةِ، فَإِنَّ إِقَامَةَ الصَّفِّ مِنْ حُسْنِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Dijadikan imam itu untuk diikuti, maka janganlah kamu berbeza dengannya. Apabila dia rukuk, hendaklah kamu rukuk, apabila dia membaca ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’, hendaklah kamu membaca ‘رَبَّنَا لَكَ الحَمْدُ’. Apabila dia sujud, sujudlah kamu. Jika imam solat sambil duduk, solatlah kamu sambil duduk (hukum ini telah dimansuhkan). Luruskanlah saf ketika solat kerana sesungguhnya membetulkan saf merupakan sebahagian daripada keelokan (kesempurnaan) solat.

Riwayat al-Bukhari (722) dan Muslim (435) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Dalam hadith di atas menunjukkan bahawa menyamakan saf adalah sunat. Kalaulah meluruskan atau menyamakan saf solat itu adalah wajib, maka ia tidak dijadikan termasuk dalam keelokan solat “حُسْنِ الصَّلاَةِ” kerana keelokan sesuatu itu adalah tambahan kepada kesempurnaannya dan tambahan itu pula adalah ke atas kewajipannya. (Lihat Tarh al-Tathrib, 2/325).

Pendapat kedua, ulama Hanabilah dalam satu riwayat, zahir pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, pendapat Ibn Hazm, begitu juga Imam al-Bukhari sebagaimana difahami daripada penamaan bab dalam kitab sahihnya bahawa meluruskan dan menyamakan saf adalah diwajibkan. (Lihat al-Insaf, 2/39; al-Fatawa al-Kubra, 5/331-332; al-Muhalla, 1/378; Sahih al-Bukhari, 1/254).

Mereka yang berpegang dengan pendapat bahawa menyamakan saf adalah wajib berhujah berdasarkan kepada beberapa dalil. Di antaranya hadith Anas R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمامِ الصَّلاةِ

Maksudnya: “Luruskan saf-saf kamu kerana meluruskan saf termasuk dalam kesempurnaan solat.

Riwayat al-Bukhari (723) dan Muslim (433) serta lafaz daripada Muslim.

Dalam hadith di atas, lafaz “سَوُّوا” adalah suatu perintah, dan perintah menunjukkan bahawa ia adalah wajib.

Begitu juga hadith Anas bin Malik R.A bahawa:

أَنَّهُ قَدِمَ المَدِينَةَ فَقِيلَ لَهُ: مَا أَنْكَرْتَ مِنَّا مُنْذُ يَوْمِ عَهِدْتَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: مَا أَنْكَرْتُ شَيْئًا إِلَّا أَنَّكُمْ لاَ تُقِيمُونَ الصُّفُوفَ

Maksudnya: “Suatu hari dia tiba di Madinah (dari Basrah), lalu ditanyakan kepadanya: ‘Apakah perkara yang engkau ingkari terhadap kami sejak engkau hidup pada zaman Rasulullah SAW?’ Anas menjawab: ‘Aku tidak dapati suatu perkara yang aku ingkari terhadap kamu kecuali kamu tidak meluruskan saf ketika solat.’” 

Riwayat al-Bukhari (724)

Dalam hadith di atas menunjukkan bahawa Anas R.A mengingkari mereka tidak meluruskan atau menyamakan saf ketika solat. Sesuatu yang harus hukumnya tidak akan diingkari. Jadi, ini menunjukkan bahawa menyamakan dan meluruskan saf adalah wajib. (Lihat al-Muhalla, 1/379).

Begitu juga hadith daripada al-Nu‘man bin Basyir R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ

Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu atau jika tidak Allah SWT akan memalingkan antara wajah-wajah kamu (bergaduh atau tidak bersatu).”

Riwayat al-Bukhari (717)

Dalam hadith di atas mengandungi perintah untuk menyamakan saf-saf. Perintah pula menunjukkan ia adalah wajib selagi mana tidak ada sesuatu yang mengubahnya, dan tidak ada sesuatu yang mengubahnya di sini. Tambahan lagi, padanya juga terdapat ancaman dan ancaman tidak ada melainkan  ke atas meninggalkan suatu yang wajib.

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah bin Hamid memilih pendapat bahawa wajib menyamakan atau meluruskan saf solat. Dalam syarahan beliau terhadap teks dalam al-Raudh al-Murbi‘ menyatakan: Ulama Hanabilah berpendapat: Disunatkan untuk menyamakan atau meluruskan saf. Namun, pendapat yang kuat (rajih) adalah wajib untuk meluruskan dan menyamakan saf. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Hal ini kerana hadith-hadith mengenai perkara ini banyak, bahkan terdapat ancaman daripada Allah bagi sesiapa yang meninggalkannya. Sebagaimana halnya juga terdapat banyak hadith yang menunjukkan kepada kewajipan untuk meluruskan atau menyamakan saf.  (Lihat Ikhtiyarat al-Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’uhu al-Fiqhiyyah, 1/354).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa menyamakan atau meluruskan saf adalah disunatkan dan bukannya wajib sebagaimana pendapat jumhur ulama, serta solat yang didirikan tanpa menyamakan saf adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi semula.

Sekalipun begitu, meninggalkan daripada menyamakan dan meluruskan saf adalah makruh tanpa sebarang sebab yang diizinkan syarak. Hal ini kerana dia telah meninggalkan suatu perkara yang sangat dititikberatkan oleh Rasulullah SAW iaitu kesempurnaan saf kerana ia berhubung kait dengan rahmat di antara hamba dan Penciptanya serta di situ juga lahirnya kesatuan hati antara kaum Muslimin. Diceritakan bahawa Umar bin al-Khattab R.A tidak akan memulakan solat sehinggalah barisan atau saf yang didirikan telah lurus dan sempurna. (LIhat Musannaf Ibn Abi Syaibah, 1/369).

Tambahan lagi tidak meninggalkan untuk menyamakan saf juga termasuk dalam sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf mereka yang mewajibkannya.  

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H

Leave a Reply