#2625: Thabat dan Pengertiannya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan maksud thabat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Surah al-Baqarah (250)

Doa ini merupakan doa yang diungkapkan oleh Talut dan golongan yang beriman ketika menentang bala tentera Jalut. Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menyebut, ketika Talut dan golongan beriman yang bersamanya melihat musuhnya dalam jumlah yang besar, mereka pun berlindung kepada Allah SWT. Mereka lalu berdoa memohon supaya hati mereka dipenuhi kesabaran, ketabahan, manakala langkah mereka diteguhkan untuk berperang serta ditanamkan perasaan penuh kepercayaan dan ketenangan.

Hakikatnya mereka ini memerhatikan tertib sifat alam semasa berdoa, sesuai dengan cara untuk memperoleh kemenangan. Ini kerana, kesabaran menjadi faktor keteguhan dan keteguhan pula menjadi faktor kemenangan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/554)

Thabat adalah hal yang terpenting dalam kehidupan kita. Apabila sesuatu kebaikan yang kita lakukan akan berlaku ujian pada satu ketika di mana perasaan letih, lesu, malas dan akhirnya meninggalkan amalan yang telah kita lakukan. Banyak faktor-faktor yang mendorong ke arah itu. Sama ada dengan alasan kesibukan masa atau tidak penting atau pelbagai alasan yang direkacipta. Akhirnya, kita rebah dengan hawa nafsu sehingga tidak lagi thabat. Dengan sebab itu, Rasulullah SAW mengajar kita dengan doa yang sentiasa diulang-ulang:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan-lah hatiku di atas agama-Mu.”

Riwayat Imam Ahmad (26618), (12107), al-Tirmizi (3522), (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)

Doa ini merupakan antara doa yang sering dibacakan oleh Rasulullah SAW. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Anas R.A, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ.

Maksudnya: Rasulullah SAW selalu mengucapkan:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

(Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu)

Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau kepada kami?” Baginda menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya.”

Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)

Begitu juga, perkara ini turut dinyatakan oleh Ummu Salamah R.Anha. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Syahr bin Hausyab, beliau berkata:

قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ ؟ قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ ؟ قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ ، فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ ، وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ 

Maksudnya: “Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila Baginda SAW berada bersamamu?” Beliau menjawab: “Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

(“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”)

Ummu Salamah menyebut: “Aku berkata kepada Rasulullah SAW; “Wahai Rasulullah! Betapa kerap engkau berdoa: “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. Lalu Baginda SAW menjawab: “Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.”

Riwayat Imam Ahmad (26618) dan al-Tirmizi (3522) 

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita thabat dalam kehidupan terutamanya dalam melaksanakan titah perintah Allah SWT. Amin.

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *