Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami siapakah Imam Ibnu Asakir dan apakah karyanya yang terkenal?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Beliau adalah Abu al-Qasim al-Hafidz Tsiqatuddin Ali bin Abi Muhammad Al-Husain bin Hibatullah bin Abdullah bin al-Husain ad- Dimasyqi al-Syafi’i atau lebih dikenali dengan Ibn ‘Asakir.
Beliau lahir pada 499H/1105M dan meninggal pada 571H/ 1176M di usia 71 tahun. Saya kerap kali menziarahi makamnya semasa sedang menuntut di Syria yang terletak di kota Damsyiq. Di situlah terletak beberapa makam para sahabat.
Ayahnya adalah seorang ulama yang ahli fiqh mazhab al-Syafi’ dan beliau wafat 519 H/1125 M. Imam Ibnu Asakir mempunyai empat orang adik beradik (termasuk Ibnu Asakir), tiga orang lelaki dan seorang perempuan.
Abangnya yang pertama bernama Hibatullah Al-Hasan al-Sha’in (w. 563 H/1167 M), seorang ahli fiqh yang thiqah. Abangnya yang kedua bernama Muhammad bin Al-Hasan, riwayat hidupnya hanya sedikit yang diketahui, namun ada yang mengatakan bahwa Muhammad menjadi Qadhi di Damsyik , mempunyai anak yang ramai dan berkebolehan menjadi pengajar serta penyebar ilmu hadith.
Sedangkan saudara perempuannya (tidak disebutkan namanya) pandai dalam bidang agama dan dunia, yang dinikahi Muhammad bin Ali bin al-Fath Al-Salami.
Imam Ibnu Asakir dibesarkan dalam keluarga yang berpendidikan tinggi. Beliau mula belajar ketika berumur 6 tahun kepada abangnya (Al-Sha’in) dalam bidang fiqh, dan dalam bidang bahasa dan sastera Arab di bawah bimbingan datuknya sendiri, Abu Al-Mufaddhal Al-Qurashi. Kedua-dua pakciknya iaitu Abu Al-Ma’ali Muhammad bin Yahya bin Ali Al-Qurashi (w.537 H), Abu Al-Makarim Sulthan bin Yahya (w. 530 H) sangat berpengaruh terhadap keilmuan Imam Ibnu Asakir.
Imam al-Hafiz Ibnu Asakir meriwayatkan hadith dari 1300 guru lelaki dan 80 guru wanita yang tersebar di Baghdad, Mekah, Madinah, Naisabur, Tibriz, Baihaq, Heart, Azerbaijan, Ray, Sarkhas, Kufah, Hamadhan, dan tempat yang lain.
Tidak dapat diketahui berapa tahun beliau mengembara di tempat-tempat itu, namun tercatat bahawa beliau mengembara sehingga tahun 533 H. Beliau tergolong sebagai orang yang rajin menuntut ilmu hadith, walaupun setelah mendapat anak yang bernama al-Qasim, beliau tetap pergi mencari ilmu.
Imam Ibnu ‘Asakir meninggal dunia pada tahun 571H bersamaan dengan masa awal pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi ketika beliau berusia 72 tahun. Salahuddin juga turut serta menguruskan jenazah Imam Ibnu Asakir yang menjadi gurunya.
Imam Ibn Asakir, seorang tokoh ulama Damsyiq yang terkenal telah mengkaryakan kitab Tarikhnya sebanyak 80 jilid. Antara karyanya yang terkenal ialah:
- Al-Muwafaqaat (2 jilid)
- Gharaib Malik(10 jilid)
- Al-Mu’jam(12 jilid)
- al-Musalsalat
- Tarikh al-Mazah
- Mu’jam an-Niswan
- Mu’jam as-Syuyukh wa an-Nubula
- Al-Mu’jam al-Musytamil ‘Ala Asma’ al-Kutub as-Sittah
- Tabyin Kazib Al-Muftari Bi Ma Nusiba Illa Al-Imam Abu Hasan Al-Asy’ari
Alhamdulillah, penulis sempat menziarahi makamnya yang cukup unik di mana dibesarkan jalan tetapi kuburnya dijadikan bulatan di tengahnya. Di Bab al-Saghir, Damsyik, Syria. Perkuburannya juga berhampiran dengan muhaddith akbar yang terakhir di bumi Syam iaitu Syeikh Badruddin al-Hasani. Semoga Allah SWT merahmati Imam Ibnu Asakir.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
(Surah al-Hasyr: 10)
Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H