#2655: Suami Mendisiplinkan Isteri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah cara yang betul dan tepat menurut Islam untuk seorang suami mendisiplinkan isterinya yang derhaka?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا ‎﴿٣٤﴾‏ وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.”

(Surah al-Nisa’: 34-35)

Imam Ibn Kathir menyatakan, nusyuz (النُّشُوزُ) itu bererti meninggi diri, dan wanita yang nusyuz itu adalah yang meninggi diri terhadap suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhi dan membencinya. 

Jika tanda-tanda nusyuz ini muncul, maka nasihatilah si isteri dan takutkanlah dia dengan hukuman Allah SWT atas kemaksiatannya. Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan hak-hak suami ke atas isteri, serta ketaatan kepadanya, dan Allah SWT mengharamkan berbuat derhaka kepada suami kerana apa yang Allah SWT telah anugerahkan kepadanya berupa keutamaan dan kemuliaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/257)

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat pula, nusyuz bermaksud  keingkaran isteri mentaati perintah suami, selagi mana perintah tersebut diharuskan Allah SWT.

Suami merupakan seorang ketua dalam sesebuah institusi rumahtangga. Ini jelas berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).”

Riwayat Muslim (1829)

Imam al-Nawawi mengatakan, pemimpin adalah seorang penjaga yang telah diamanahkan dan beriltizam dalam memperbaiki setiap perkara yang dilakukan terutama orang yang berada dibawah penjagaannya. Jika terdapat kekurangan terhadap orang berada di bawah jagaannya, maka dia dipertanggungjawabkan untuk mengadilinya (jika berlaku kezaliman) serta menguruskan keperluan yang diperlukannya (orang yang berada di bawah) sama ada perkara itu melibatkan agama, dunia atau mana-mana perkara yang berkaitannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/213)

Secara umumnya, seorang pemimpin atau ketua tidak dapat mengelak daripada menangani masalah disiplin yang merupakan cabaran yang nyata. Disiplin adalah suatu proses yang penting dan perlu dilaksanakan berdasarkan ketetapan-ketetapan serta peraturan yang bertepatan dengan kehendak syara‘. Oleh yang demikian, setiap pemimpin tidak boleh bertindak sesuka hati dalam mendisiplinkan mereka yang berada di bawah jagaannya. 

Berdasarkan ayat 34 surah al-Nisa’ yang kami bawakan di atas, Allah SWT telah menetapkan 3 cara utama secara berturutan untuk mendisiplinkan isteri yang berbuat derhaka terhadap suami:

  • Menasihati.
  • Memulaukan di tempat tidur.
  • Memukul (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).

Dan sekiranya 3 cara mendisiplinkan ini tidak berjaya, maka Allah SWT seperti dalam ayat 35 memberikan pilihan terakhir kepada pasangan suami isteri untuk melantik orang tengah sebagai pendamai antara keduanya, orang tengah itu yang akan memutuskan sama ada perkahwinan itu diteruskan atau dibatalkan.

Abu Bakar Ibn al-‘Arabi mengatakan, antara penghuraian yang terbaik pernah aku dengar tentang ayat ini adalah yang dinyatakan oleh Sa‘id bin Jubair R.A, katanya “Si suami perlu menegur isterinya, sekiranya dia menerima teguran tersebut (maka suami cukup berhenti di situ sahaja). Jika tidak, suami perlu memulaukannya. Sekiranya isterinya patuh (maka suami cukup berhenti di situ sahaja). Jika tidak, suami boleh memukulnya. Sekiranya isterinya patuh (maka suami cukup berhenti di situ sahaja). Jika tidak, dia perlu mencari pendamai daripada orang tengah yang dilantik daripada kedua-dua belah pihak. Mereka (orang tengah) akan mencari siapa yang menimbulkan masalah, dan pada ketika itu perkahwinan boleh dibatalkan dengan cara khulu‘ (الخُلْعُ).” (Lihat Ahkam al-Quran, 1/535)

Sekiranya ketetapan tersebut dilanggar, ia akan mengakibatkan kelemahan institusi rumahtangga dan boleh membantutkan proses disiplin tersebut. Lebih teruk lagi, ia boleh berakhir dengan kemusnahan rumahtangga daripada mendapat kebaikan. 

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat (إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا) menyatakan, ini merupakan amaran yang kuat kepada para lelaki yang sengaja mencabuli wanita (dengan 4 ketetapan di atas) tanpa sebarang sebab (isteri tidak derhaka). Sesungguhnya Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar adalah pelindung bagi para wanita tersebut, dan Allah pasti akan membalas terhadap sesiapa yang menindas mereka atau mencabuli mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/259)

3 Langkah Mendisiplinkan Isteri

Pertama: Menasihati

Menasihati isteri merupakan langkah pertama kerana ia dilihat sebagai cara yang paling lembut boleh digunakan oleh seorang suami. Dia juga tidak boleh berpindah terus ke langkah kedua sebelum melakukan langkah ini. Nasihat serta teguran yang diberikan perlulah dengan cara yang tegas dan berhemah, dilakukan dengan bersungguh-sungguh di samping mengutamakan budi bicara yang betul dalam menyuruh melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Laqit bin Sabirah R.A, Rasulullah SAW pernah mengajarkan beliau untuk menasihati isterinya yang dikatakan kasar tutur katanya. Pada awalnya Baginda mencadangkan agar dia menceraikan isterinya. Tetapi, oleh kerana mereka telah mempunyai anak dan sudah lama bersama, maka Baginda SAW menyuruhnya agar menasihati isterinya. Rasulullah SAW bersabda:

فَمُرْهَا – يَقُولُ عِظْهَا – فَإِنْ يَكُ فِيهَا خَيْرٌ فَسَتَفْعَلُ وَلاَ تَضْرِبْ ظَعِينَتَكَ كَضَرْبِكَ أُمَيَّتَكَ

Maksudnya: “Berilah dia peringatan, Kalau memang dia baik, maka dia tentu melakukan perintahmu. Janganlah kamu memukul isterimu seperti kamu memukul hamba perempuanmu.”

Riwayat Abu Dawud (142), al-Tirmizi (788), al-Nasa’ie (114), Ibn Majah (407), dan Ahmad (17846)

Kedua: Memulaukan

Sekiranya langkah pertama gagal, si suami boleh berpindah ke langkah kedua dengan memulaukan isteri di tempat tidur. Pada zahirnya, cara ini tidak melibatkan sentuhan fizikal, akan tetapi ia merupakan cara mendisiplin yang berat dan mempunyai kesan yang besar terhadap emosi seseorang. Kebiasaannya, langkah ini telah cukup untuk memberikan kesedaran kepada si isteri apabila suaminya mula menjauhkan diri disebabkan oleh sikapnya.

Imam al-Tabari membawakan sebab diturunkan surah al-Ahzab ayat 28 dan 29, yang mana ia menjadi bukti bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah mempraktikkan langkah ini pada suatu ketika dahulu. Ketika mana Saidatina ‘Aisyah meminta daripada Rasulullah SAW tambahan nafkah atau apa-apa harta. Lalu Baginda SAW bertindak memulaukan para isterinya selama sebulan. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 20/251) 

Kemudian Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا ‎﴿٢٨﴾‏ وَإِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآخِرَةَ فَإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا 

Maksudnya: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: ‘Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut‘ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar’.”

(Surah al-Ahzab: 28-29)

Ketiga: Memukul (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)

Langkah terakhir sekiranya si isteri masih tidak patuh dan menerima teguran, suami dibenarkan untuk mendisiplinkannya dengan bentuk sentuhan fizikal, yang juga merupakan cara yang paling berat dalam mendidik kerana ia melibatkan fizikal dan juga emosi.

Namun begitu, pukulan tersebut mestilah menepati syarat berikut:

  • Tidak menyakitkan.
  • Tidak meninggalkan sebarang kesan pada tubuh.
  • Menjauhi tempat-tempat yang sensitif dan berisiko mendatangkan mudharat, seperti muka, kepala, perut dan lain-lain.

Ini bersesuaian dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma  bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ،‏‏ فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ

Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke tempat tidurmu. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan cara yang tidak menyakitkan.”

Riwayat Muslim (1218)

Imam al-Qurtubi pula menukilkan sebuah riwayat daripada ‘Ata’, dia bertanya kepada Ibn ‘Abbas R.A tentang maksud pukulan yang tidak menyakitkan.  Ibn ‘Abbas menjawab: “Pukulan dengan siwak (kayu sugi) atau sesuatu yang seumpama dengannya.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/173)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan, ringkasnya terdapat 4 langkah untuk mengharmonikan masalah rumahtangga yang berlaku disebabkan isteri yang nusyuz; menasihati, memulaukan, memukul, dan mencari orang tengah sebagai pendamai.

3 langkah yang pertama boleh diuruskan sendiri oleh si suami untuk mendisiplinkan isterinya yang berbuat derhaka. Manakala, langkah yang keempat memerlukan campur tangan orang ketiga kerana suami sudah tidak lagi mampu menyelesaikan masalah tersebut dengan seorang diri.

Semoga dengan sedikit pencerahan ini, ummat Islam di Malaysia lebih akan lebih cakna sola kepentingan undang-undang dan disiplin dalam kekeluargaan, seterusnya bertindak berdasarkan neraca yang telah ditetapkan dan dibenarkan oleh syara‘ tanpa melampaui batas.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *