#2654: Minat Membaca

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara untuk kita menanam minat membaca?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ‎﴿١﴾‏ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ‎﴿٢﴾‏ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ‎﴿٣﴾‏ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ‎﴿٤﴾‏ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ 

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, –  Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, – Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” 

(Surah al-‘Alaq: 1-5)

Kami telah nyatakan dalam buku yang kami susun bertajuk Kuasa Iqra’. Berdasarkan sedikit pengalaman kami bagi menggalakkan budaya dan minat membaca antaranya ialah:

  • Fahamilah membaca adalah wajib yang boleh membuka minda, memperolehi thaqafah dan pengetahuan serta membasmi kejahilan.
  • Tekad dan matlamatkan dengan jelas tujuan membaca untuk diperolehi ilmu dan juga penyelesaian dan kemelut dalam kehidupan sebagai satu solusi.
  • Tentukan masa yang tidak dapat tidak mesti membaca sebagai disiplin dalam diari kehidupan kita. Kami telah nyatakan dalam buku Masa Peliahralah bagaimana lobanya tokoh ulama dan cendikiawan dalam membaca.
  • Sentiasa bawa buku di tangan untuk dibaca terutamanya kutayyib (buku-buku kecil yang kurang dari 100 halaman). Saya teringat ketika belajar di Universiti Islam Madinah, seorang guru kami iaitu Syeikh Soleh Jubran yang mengajar bahasa Arab setiap kali masuk kelas akan membaca buku kecil yang berlainan untuk dibaca dan dihadamnya.
  • Tentukan sasaran dalam pembacaan sama ada mengikut tajuk atau mukasurat atau bab untuk dikhatamkannya.
  • Binalah perpustakaan walaupun kecil di rumah sebagai koleksi peribadi. Di situ merupakan lambang ketekunan dan kesungguhan untuk membaca buku. Kami telah nyatakan dalam buku Perpustakaan Dalam Islam.
  • Berkawanlah dengan orang-orang yang suka membaca buku kerana kita akan terpengaruh dengan rakan-rakan kita. Benarlah hadith Nabi SAW:

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ

Maksudnya: “Seseorang itu mengikut agama rakannya. Maka lihatlah seorang kamu siapa yang dia berkawan.”

Riwayat Abu Daud (4833), al-Tirmizi (2378) dan Ahmad (8398)

  • Pemimpin hendaklah meminatkan diri mereka untuk membaca, ini menjadikan rakyatnya juga akan terpengaruh dan mengikut rentak dan minat pemimpin mereka. Ibn Khaldun menukilkan dalam kitabnya Tarikh Ibn Khaldun (1/38) sebuah kata-kata hikmah:

النَّاسُ عَلَى دِينِ المَلِكِ

Maksudnya: “Orang ramai mengikut agama pemimpin mereka.”

  • Bacalah sejarah mereka yang kaki membaca kita akan dapati banyak masa dihabiskan untuk membaca. Saya teringat kisah Ibnu Jauzi yang asmuk ek sesebuah perpustakaan dan berkata bahawa beliau telah membaca lebiih daripada 20,000 judul buku. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh para ulama, cendekiawan dan pelajar dalam membaca ilmu pengetahuan. Inilah sebahagian daripada cara untuk kita meminatkan diri kita untuk membaca dan menghindarkan daripada sifat malas.

Dalam membaca maka pilihlah bacaan-bacaan yang terbaik yang menyegarkan minda, menambahkan ilmu, menajamkan fikiran, makrifah kepada Tuhan dan thaqafah yang mendalam. Seorang pujangga menyebut:

اقْرَأْ خَيْرَ مَا تَجِدُ، وَاكْتُبْ خَيْرَ مَا تَقْرَأُ، وَاحْفَظْ خَيْرَ مَا تَكْتُبُ

Maksudnya: “Bacalah buku yang terbaik yang kamu dapati, tulislah apa yang terbaik daripada apa yang kamu baca, dan hafazlah apa yang terbaik daripada apa yang kamu tulis.

Perkara yang hampir sama juga disebut oleh Ibn al-Muqaffa’ yang menyebut:

اكْتُبُوا أَحْسَنَ مَا تَسْمَعُونَ، وَاقْرَأُوا أَحْسَنَ مَا تَكْتُبُونَ، وَاحْفَظُوا أَحْسَنَ مَا تَقْرَأُونَ، وَتُحَدّثُوا بِأَحْسَنِ مَا تَحْفَظُونَ.

Maksudnya: “Tulislah apa yang terbaik daripada apa yang kamu dengar, dan bacalah yang terbaik daripada apa yang kamu tulis, dan hafazlah apa yang terbaik daripada yang kamu baca, dan bercakaplah apa yang terbaik daripada apa yang kamu hafaz.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *