Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapa yang wajib mengeluarkan zakat atas tanah yang disewakan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Secara asasnya, konsep zakat tanah yang disewakan adalah di mana seorang pemilik tanah menyewakan tanah untuk dilakukan cucuk tanam atau dimanfaatkan dalam hal ekonomi.
Berkenaan muamalah zakat tanah yang disewakan tersebut, terdapat kewajiban zakat yang perlu dilunaskan. Para fuqaha telah membincangkan siapakah yang berkewajiban mengeluarkan zakatnya, dan mereka berbeza pandangan sama ada penyewa atau pemilik tanah.
Perbezaan pandangan tersebut boleh diringkaskan seperti berikut:
- Pendapat pertama: Imam Malik, Imam al-Syafi’i, al-Thauri, Ibn Mubarak dan Abu Thaur menyatakan bahawa penyewa yang berkewajiban mengeluarkan zakatnya, dan bukan pemilik tanah.
- Pendapat kedua: Imam Abu Hanifah berserta ashabnya menyatakan bahawa pemilik tanah yang berkewajiban mengeluarkan zakatnya, dan bukan penyewa. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, 1/180)
Syeikh Mahmud Syaltut menguatkan pendapat pertama dengan hujah bahawa Syariat Islam hanya mengutip zakat daripada hasil keringat umat Islam. Beliau menyebut: “Pendapat yang kami pegang (adalah yang menyatakan) bahawa zakat itu (hendaklah dibebankan) terhadap penyewa yang melakukan penanaman. Ini kerana, zakat merupakan hak tanaman, di samping sebagai menzahirkan kesyukuran manusia atas keberhasilan dan kejayaannya sebagai petani. Oleh itu, penyewa yang diwajibkan mengeluarkan zakat bagi tanah yang disewanya.” (Lihat Qadhaya al-Buyu’ wa al-’Amal fi al-Islam, hlm. 45)
Hal yang sama juga dinyatakan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam fatwanya yang menyebut: “Menurut pendapat yang rajih, zakatnya wajib atas orang yang menyewa. Jika tanah tersebut disirami oleh air hujan, maka wajib mengeluarkan 1/10 (iaitu 10%) daripada hasilnya sebagai zakat. Dan apabila disirami dengan air dari sungai atau kolam atau biasanya dengan menggunakan tali air, maka wajib mengeluarkan setengahnya, iaitu 1/20 (iaitu 5%).” (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 30)
Penutup
Kami berpendapat zakat sewajarnya dikenakan kepada orang yang mendapat manfaat serta laba dari tanah tersebut. Justeru, pendapat yang rajih yang dikemukakan oleh guru kami, Syeikh Wahbah al-Zuhaili adalah amat munasabah dan itulah yang sepatutnya. Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa menunaikan rukun Islam termasuk zakat yang ditaklifkan ke atas kita.
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H