#2681: Memakan Kucing Jinak dan Liar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah yang diharamkan untuk dimakan hanya kucing jinak, manakala bagi kucing liar pula ada yang berpendapat ia adalah halal? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu secara ringkas takrif kucing. Kucing ialah sejenis binatang yang kecil, berbulu lembut dan tebal, dipelihara sebagai binatang kesayangan, biasanya untuk menangkap tikus.[1] Di dalam Ensiklopedia Dunia dinyatakan bahawa kucing ialah haiwan kesayangan kegemaran manusia di seluruh dunia. Kucing adalah pintar dan mempunyai sifat berdikari. Haiwan kecil ini juga suka bermain-main dan menghiburkan. Banyak kucing dijadikan haiwan kesayangan yang penyayang, setia, dan menjadi teman bagi manusia semua peringkat umur. Perkataan kucing juga merujuk kepada famili haiwan pemakan daging yang termasuk harimau, singa, harimau bintang dan harimau kumbang. Famili ini juga termasuk kucing bela jinak — iaitu kucing yang dibela sebagai haiwan kesayangan.

Kucing berbeza-beza wataknya dan ciri fizikal tertentu, seperti panjang dan warna bulunya. Terdapat banyak baka kucing. Ciri khas membezakan setiap baka daripada baka yang lain. Antara baka kegemaran ialah kucing Siam, kucing Burma dan kucing Parsi. Tiada siapa yang tahu dengan tepat bila kucing mula dijinakkan. Tetapi sesetengah autoriti percaya bahawa kucing dijinakkan lebih kurang 5000 tahun dahulu. Sepanjang sejarah, manusia menghargai kucing kerana kemahirannya memburu dan membunuh mencit, tikus dan ular. Kucing membantu menjadikan ladang, rumah, dan tempat perniagaan bebas daripada haiwan perosak ini. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 11/520-521.).

Seterusnya kucing liar (wildcat) pula ialah sejenis kucing liar kecil daripada keluarga kucing (Felidae) yang asli berasal dari Eurasia dan Afrika. Terdapat tiga hingga lima subspesies. Nama kucing liar (wildcat) juga digunakan sebagai istilah umum untuk kucing domestik yang menjadi liar dan untuk sebarang spesies liar yang kecil daripada keluarga kucing. Subspesies yang dinamakan sebagai kucing liar Eropah (Felis silvestris silvestris), menghuni kawasan berhutan dari Scotland melalui Eropah kontinental hingga ke Asia barat. Ia serupa dengan kucing domestik tetapi mempunyai kaki yang lebih panjang, kepala yang lebih besar dan lebih datar, serta ekor penuh yang agak pendek dengan hujung yang bulat (bukan runcing). Bulunya berwarna kelabu kekuningan dengan jalur dan jalur gelap dalam corak tabi berjalur; ekornya berangka hitam. Kucing liar dewasa mempunyai panjang antara 50 hingga 80 cm (20 hingga 32 inci), tidak termasuk ekornya sepanjang 25 hingga 35 cm (10 hingga 14 inci); ia berdiri setinggi 35–40 cm (14–16 inci) dari paras bahu dan beratnya dari 3 hingga 10 kg (6.6 hingga 22 paun).

Kucing liar Eropah adalah haiwan yang hidup secara berkelompok, aktif pada waktu malam dan memburu burung serta mamalia kecil. Ia berkembang biak sekali setahun (pada musim bunga) di Eropah kontinental dan dua kali (kadang-kadang tiga kali) setahun di Scotland. Sebuah sarang terdiri daripada tiga hingga enam anak kucing; tempoh kandungan adalah selama 68 hari. Kucing liar ini saling mengawan dengan kucing domestik. Beberapa pihak berpendapat bahawa kemurnian kucing liar Scotland (salah satu daripada beberapa subspesies) terancam oleh sebab pengawanan silang ini. Subspesies yang dikenali sebagai kucing liar Afrika (Felis silvestris lybica), yang berasal dari Afrika utara, adalah leluhur kepada kucing domestik. Kucing liar Asia (Felis silvestris ornata) pula merangkumi kawasan timur Laut Kaspia hingga ke China.[2]

kucing liar Afrika (Felis silvestris lybica)

Dalam bahasa Arab, kucing dipanggil sebagai sinnaur (السِّنَّوْرُ). Menurut al-Damiri, ia ialah haiwan yang merendah diri yang lebih dikenali sebagai hirr (الهِرُّ), diciptakan oleh Allah bagi menghalau tikus. Nama julukannya (kunyahnya) ialah Abu Khidasy, Abu Ghazwan, Abu Haitham dan Abu Syammakh. Manakala nama julukan bagi kucing betina pula ialah Ummu Syammakh. Kucing mempunyai banyak nama.

Diceritakan bahawa seorang Arab Badwi ada memburu (menangkap) seekor kucing, tetapi dia tidak mengenali haiwan itu. Lalu dia bertemu dengan seseorang dan bertanya: “Adakah ini sinnaur?” Kemudian dia bertemu pula dengan orang lain dan orang itu bertanya: “Adakah ini hirr?” Kemudian dia bertemu pula dengan orang lain dan orang itu bertanya: “Adakah ini qit (القِطُّ)?” Kemudian dia bertemu pula dengan orang lain dan orang itu bertanya: “Adakah ini Dhaiwan (الضَّيْوَنُ)?” Kemudian dia bertemu pula dengan orang lain dan orang itu bertanya: “Adakah ini Khaida‘ (الخَيْدَعُ)?” Kemudian dia bertemu pula dengan orang lain dan orang itu bertanya: “Adakah ini Khaital (الخيطل)?” Kemudian dia bertemu pula dengan orang lain dan orang itu bertanya: “Adakah ini Dimm (الدِّمُ)?” Maka arab Badwi itu berkata: “Aku akan membawanya (ke pasar) dan menjualnya. Moga-moga Allah akan memberikan kepadaku harta yang banyak melaluinya (hasil jualannya).” Ketika dia membawa kucing itu ke pasar, maka ditanyakan kepadanya: “Berapakah harganya?” Dia menjawab: “Harganya seratus (dirham).” Lalu dikatakan kepadanya: “Sesungguhnya harganya hanyalah setengah dirham.” Maka dia pun melemparkan kucing tersebut dan berkata: “Semoga Allah melaknatnya, betapa banyak namanya tetapi begitu sedikit harganya.”

Menurut al-Damiri lagi, kucing terbahagi kepada tiga jenis, iaitu kucing jinak (domestik), kucing liar dan kucing al-Zabad (سِنَّوْرُ الزَّبَادِ). Setiap daripadanya tidak kira yang jinak mahupun liar memiliki sifat marah yang sama, memburu dan memakan daging haiwan hidup. Ia memiliki beberapa persamaan dengan manusia dalam beberapa hal seperti bersin, menguap, meregang, dan mengambil sesuatu dengan tangannya. Kucing betina biasanya mengandung dua kali dalam setahun, dan masa kehamilannya pula adalah selama  lima puluh hari. Selain itu, kucing liar saiznya adalah lebih besar berbanding kucing domestik. Bahkan menurut al-Jahiz, para ulama berpendapat bahawa memelihara kucing dan melatihnya adan digalakkan (sunat). (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/574, 577).

Hukum memakan kucing liar

Terlebih dahulu tidak dinafikan bahawa kucing termasuk dalam jenis haiwan yang memburu dengan taringnya. Justeru, ia jelas termasuk dalam jenis hayywanat muftarisah (الْحَيَوَانَات الْمُفْتَرِسَة) yang diertikan sebagai semua haiwan yang memiliki taring dan memburu haiwan dengannya (sebagai makanan), tidak kira ia dari jenis haiwan jinak (domestik) seperti anjing dan kucing domestik ataupun dari jenis liar seperti singa, serigala, hyena, kucing liar dan seumpamanya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/133).

Secara umumnya, bagi haiwan muftaris ini, dari segi hukumnya, tidak ada sesuatupun daripadanya yang halal di sisi Hanafiyyah, Syafi‘yyah dan Hanabilah, serta salah satu pendapat dalam kalangan Malikiyyah, melainkan hyena (dhabu‘) dan musang, Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani berpendapat kedua-duanya adalah halal.

Kebanyakan ulama beristidlal mengenai pengharaman haiwan jenis ini keseluruhannya atau berpendapat dengan makruh tahrim (tanpa memperincikan contoh-contohnya) berdasarkan kepada hadith Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

أكْلُ كلِّ ذي نابٍ مِن السِّباعِ حرامٌ

Maksudnya: “Memakan setiap haiwan yang bertaring daripada jenis binatang buas adalah haram.

Riwayat Muslim (1933) dan Ibn Hibban (5278)

Adapun mereka yang mengecualikan hyena (dhabu‘) daripada jenis haiwan tersebut beristidlal berdasarkan kepada riwayat-riwayat yang banyak daripada sebahagian sahabat. Kami pernah membahaskannya secara panjang lebar dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah bertajuk: #368 Memakan Daging Dubuk (Hyena).[3] Bagi mendapatkan maklumat tambahan dan penjelasan mengenainya, bolehlah merujuk kepada artikel berkenaan.

Seterusnya, pendapat yang masyhur dalam kalangan Malikiyyah ialah makruh tanzih memakan haiwan muftaris tidak kira dari jenis yang jinak (domestik) seperti kucing dan anjing ataupun dari jenis yang liar seperti serigala dan singa. Begitu juga terdapat pendapat dalam kalangan Malikiyyah yang mengharuskan memakan monyet dan nasnas, dan pendapat ini menyelisihi pendapat yang masyhur di sisi mereka, tetapi ia disahihkan oleh pengarang al-Taudhih. Berkenaan hukum memakan monyet ini, kami juga pernah membahaskannya secara panjang lebar dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah bertajuk: #1302: Memakan Monyet.[4] Bagi mendapatkan maklumat tambahan dan penjelasan mengenainya, bolehlah merujuk kepada artikel tersebut.

Akan tetapi Syafi‘iyyah juga mengharuskan untuk memakan sebahagian daripada haiwan muftaris dengan menyandarkannya kepada hyena (dhabu‘) dan musang seperti tupai, al-fanak (sejenis musang) dan al-sammur (sable). Mereka berhujah bahawa haiwan-haiwan ini sekalipun memiliki taring tetapi taringnya adalah lemah (yakni tidak digunakan untuk memburu). Manakala bagi haiwan seperti kucing liar, kucing domestik, ibn awa (jakal), al-nims (mongoose) dan al-duluq (marten) pula adalah haram mengikut pendapat yang paling sahih. Namun terdapat pendapat dalam kalangan mereka menyatakan bahawa kelima-lima jenis haiwan ini adalah halal. (Lihat juga Nihayah al-Muhtaj, 8/153).

Mongoose

Kemudian, daripada contoh-contoh haiwan di atas, Hanabilah hanya mengharuskan untuk memakan hyena (dhabu‘) sahaja. Akan tetapi mereka juga ada menyebutkan bahawa pada haiwan seperti musang dan kucing liar terdapat riwayat mengharuskan untuk memakannya.

Ulama mazhab Maliki yang berpendapat bahawa hukum memakan haiwan muftaris adalah makruh berdasarkan kepada firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi.’

(Surah al-An‘am: 145)

Ini kerana daging-daging binatang buas tidak termasuk dalam benda yang disebutkan dalam ayat di atas. Jadi, ia adalah diharuskan (untuk memakannya). Adapun hadith yang menyatakan berkenaan larangan untuk memakan setiap haiwan yang bertaring daripada jenis binatang buas pula difahami sebagai makruh (dan bukannya haram). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/133-134).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kucing domestik adalah haram di sisi kami (ulama mazhab Syafi‘i). Ini juga merupakan pendapat jumhur ulama. Namun al-Laith bin Rabi‘ah berpendapat harus untuk memakannya. Imam Malik pula berpendapat makruh memakannya. Begitu juga sebahagian ashab kami ada yang berpendapat, hukumnya adalah makruh tanzih dan sebahagian lagi berpendapat ia adalah makruh tahrim. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/8).

Al-Damiri dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i dalam kitabnya menjelaskan lebih lanjut lagi berkenaan hukum memakan kucing dengan menyatakan, pendapat yang paling sahih adalah haram untuk memakan kucing domestik dan kucing liar berdasarkan kepada hadith larangan memakan binatang buas.

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan selainnya daripada Abu al-Zubair, daripada Jabir R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنْ أَكْلِ الهِرَّةِ ، وَأَكْلِ ثَمَنِهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada memakan kucing dan memakan hasil jualannya.

Riwayat al-Baihaqi (11359)[5] dan lafaz hadith daripadanya; riwayat Muslim (1569) dan al-Nasa’i (4295) secara maknanya; riwayat Abu Daud (3807), al-Tirmizi (1280) dan Ibn Majah (3250) dengan sedikit perbezaan lafaz; riwayat Ahmad (14166) sepertinya secara ringkas.

Kemudian al-Damiri menyatakan juga dalam Sahih Muslim, Musnad al-Imam Ahmad dan Sunan Abi Daud bahawa Nabi SAW melarang daripada menjual kucing. Dikatakan bahawa larangan itu difahami sebagai merujuk kepada kucing liar yang tidak ada manfaat padanya. Ada juga yang berpendapat, ia adalah larangan yang bersifat makruh tanzih, supaya orang ramai membiasakan memberi dan meminjamkannya, sebagaimana yang berlaku. Jadi, sekiranya ia termasuk dalam benda yang memberi manfaat dan ia dijual. Maka jual belinya itu adalah sah dan hasil jualnya juga adalah halal. Inilah mazhab kami (mazhab Syafi‘i) dan mazhab ulama keseluruhannya.

Melainkan apa yang diriwayatkan oleh Ibn al-Munzir daripada Abu Hurairah, Tawus, Mujahid dan Jabir bin Zaid bahawa tidak boleh menjualnya dan mereka berhujah berdasarkan kepada hadith tersebut. Lalu jumhur ulama menjawab berkenaan hadith itu bahawasanya ia dapat difahami atau merujuk kepada apa yang kami telah sebutkan (sebelum ini), dan ini adalah muktamad.

Seterusnya turut dinyatakan bahawa terdapat perselisihan riwayat daripada Imam Ahmad berkenaan kucing darat (سِنَّوْر البَرِّ) dan kebanyakan riwayat menyatakan pengharamannya seperti musang. Manakala pendapat yang menghalalkannya pula adalah sebagaimana pendapat al-Hadhrami dalam kalangan ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) dan ia adalah mazhab Imam Malik.

Manakala kucing jinak (domestik), hukumnya adalah haram untuk dimakan di sisi Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad. Namun, al-Busyanji dalam kalangan ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berpendapat ia adalah halal. Akan tetapi pendapat yang paling sahih adalah haram. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/578-579).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa kucing adalah haram untuk dimakan tidak kira ia daripada jenis yang jinak mahupun liar. Ini adalah pendapat jumhur ulama dan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan bertaring yang mencari makanan dengan memburu haiwan lain. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Tha‘labah bahawa:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السَّبُعِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring.”

Riwayat Muslim (1932)

Imam al-Syafi‘i menjelaskan lagi perkara ini dengan menyebutkan bahawa haiwan bertaring yang haram untuk dimakan ialah haiwan yang memburu makanan dengan taringnya. (Lihat al-Umm, 2/272).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kucing. Diakses pada 30 Disember 2021.

[2] Lihat https://www.britannica.com/animal/wildcat-mammal-Felis-silvestris. Diakses pada 9 Ogos 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/368-memakan-daging-dubuk-hyena/. Diakses pada 9 Ogos 2023.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/1302-memakan-monyet/. Diakses pada 10 Ogos 2023.

[5] Al-Haihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (6/11) menyatakan, ia adalah sahih mengikut syarat Imam Muslim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *