Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sah haji dengan menyertakan tujuan lain seperti membantu orang yang cacat kakinya, atau melakukan pekerjaan yang diupah dalam bentuk perniagaan atau perkhidmatan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ ۚ 

Maksudnya: “Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji).” 

(Surah al-Baqarah: 198)

Al-Tabari berkata: Yakni, wahai orang-orang yang beriman, tidak ada dosa bagi kamu. Dan makna ‘الجُنَاح’ iaitu dosa. (Lihat Jami’ al-Bayan, 3/405)

Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: “Ukaz, Majannah dan Zu al-Majaz adalah beberapa nama pasar yang ada pada zaman Jahiliyyah. Mereka (para sahabat) khuatir berdosa apabila berjual beli pada musim-musim haji. Kerana itulah, Allah SWT menurunkan firman-Nya: ‘لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ’ (“Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji.”). (Riwayat al-Bukhari, no. 4519)

Dalam riwayat lain, disebutkan: Abu Umamah al-Taimi menceritakan: “Aku menyewakan unta pada musim haji – untuk ditunggang oleh para jemaah haji -. Orang ramai yang melihatku berkata, “Hajimu tidak sah.” Disebabkan itu, aku menemui Ibn ‘Umar dan bertanya kepadanya, “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman, aku menyewakan unta pada musim haji. Orang ramai pun berkata bahawa hajiku tidak sah.” 

Ibn ‘Umar menjawab, “Bukankah engkau berihram, bertalbiah, tawaf di Baitullah, meninggalkan Arafah (selesai wukuf), dan melempar jamrah?” Aku menjawab, “Ya.” Beliau pun berkata: Kalau begitu, hajimu sah. Dahulu ada seorang lelaki yang bertemu Nabi SAW dan bertanya sepertimana soalan yang engkau tanyakan kepadaku. Baginda diam tidak menjawab sehinggalah akhirnya turunnya ayat: ‘لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ’ (“Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji.”). Setelah ayat ini turun, Baginda mengutus seseorang untuk memanggil lelaki tadi. Rasulullah SAW pun membacakan ayat ini kepadanya dan bersabda:

‏ لَكَ حَجٌّ ‏

Maksudnya: ““Engkau memperoleh haji (hajimu sah).”

Riwayat Abu Daud (1733), al-Daraqutni (250) dan al-Hakim (1647). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah (hlm. 42) berkata: “Haji adalah sah jika niat asalnya adalah melaksanakan haji. Dan tidak ada halangan jika disertai dengan pekerjaan lain sesuai dengan firman Allah SWT:

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ ۚ 

Maksudnya: “Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji.” 

(Surah al-Baqarah: 198)

Penutup

Dalam masalah seperti ini kadang-kadang disebut sebagai isytirak al-niyyah atau bersekutu dalam niat dengan beberapa hal yang lain. Berdasarkan nas di atas, maka kami berpendapat ia diharuskan, terutamanya keperluan kepada jemaah haji yang pelbagai dan dengan jumlah mereka yang ramai sudah tentu tuntutan seperti makan, minum, pakai, kenderaan dan lain-lain adalah amat mustahak. 

Walaupun begitu, seseorang yang membulatkan niat semata-mata kerana Allah SWT dalam melaksanakan ibadat haji sebagai mana syiar lafaz talbiahnya dan nas Ilahi menunjukkan sewajarnya ia dilakukan secara khusus iaitu niat mengerjakan haji semata-mata. Sebagai mana yang dinaskan oleh Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّـهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

(Ali-Imran: 97)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا صَلَاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَرُكُوعَنَا وَسُجُودَنَا وَتَخَشُّعَنَا وَتَضَرُّعَنَا وَتَعَبُّدَنَا , وَتَمِّمْ تَقْصِيرَنَا يَا اللَّهُ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, terimalah solat kami, puasa kami, qiyamullail kami, ruku‘ kami, sujud kami, tunduk serta kerendahan diri kami, dan penghambaan diri kami kepada-Mu ya Allah, sempurnakanlah kekurangan-kekurangan kami ya Allah wahai yang Maha memiliki segala kemuliaan.”

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply