Soalan

Adakah sah perkahwinan berwalikan seorang perokok?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Wali ataupun dalam bahasa arabnya al-Wali (الوَلِي) dari sudut Bahasa bermaksud “dekat atau hampir”. Ia disebut “waliyyahu, walyan” iaitu hampir kepadanya. Dan “wali al-Amr”, apabila berurusan dengannya dan “Tawalla al-Amr” iaitu dilantik akan dia.

Dari sudut istilah, al-Wilayah digunakan sebagai ketua yang tertinggi, qadi, tentera dan selainnya. Terdapat pelbagai maksud yang digunakan pada kalimah Wali atau Wilayah, ia juga memberi maksud sebagai wakil atau penjaga seperti yang diibaratkan sebagai wali di dalam nasab keturunan, wakil dalam pembahagian harta dan lain-lain lagi. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135)

Selain itu, pada maksud yang lain al-Wilayah berlawan dengan al-A’dawah, secara asalnya ia bermaksud kasih sayang dan hampir. Dan maksud al-A’dawah ialah kebencian dan jauh. (Lihat al-Furqan Baina Aulia’ al-Rahmah wa Aulia’ al-Syaitan, hlm 9)

Wali pernikahan pula adalah orang yang menentukan sahnya akad. Akad nikah tidak sah dengan ketiadaannya. Wali itu seperti bapa, orang yang diwasiatkan, karib kerabat yang dekat ( al-Qarib al-Ashib) , orang yang membebaskan hamba, penguasa dan raja. (Lihat al-Fiqh ‘ala al-Madzahib al-Arba’ah, 4/29)

Di samping itu, terdapat beberapa ciri atau kriteria yang perlu ada pada diri seorang wali. Kami nyatakan beberapa syaratnya seperti berikut :

  1. Islam

Seorang wali dalam nikah hendaklah merupakan seorang yang beragama Islam. Ini kerana, Islam tidak menjadikan orang bukan Islam menguasai atau menjadi penentu dalam keputusan orang Islam. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

وَلَنْ يجْعَلَ اللهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلا

Maksudnya: Dan Allah tidak menjadikan ke atas orang kafir itu penguasaan terhadap orang orang yang beriman.

(Surah al-Nisa’: 141)

  1. ‘Adalah (العدالة) (Keadilan)

Di dalam mazhab al-Imam al-Syafie, disyaratkan bahawa seorang wali juga perlulah bersifat dengan sifat ‘adil. Ini membawa erti, dia tidak boleh berciri dengan sifat fasiq. Seperti kata al-Imam al-Bujairimi: Sesungguhnya sahnya pernikahan itu terhenti ke atas hadirnya saksi-saksi yang ‘adil, juga keadilan seorang wali. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi, 15/135)

Kami nyatakan definisi ‘adalah seperti berikut: Tidak melakukan sebarang dosa besar, dan tidak berterusan melakukan dosa kecil. Serta tidak melakukan sebarang perbuatan yang mencemarkan maruah seperti kencing di jalanan, dan seumpamanya.

Kami juga bersetuju dengan kata-kata Imam Ibn Hamdan Rahimahullah : Setiap perbuatan dosa besar, sekali sahaja melakukannya telah menjadikan seorang itu jatuh fasiq. Manakala perbuatan dosa kecil, seseorang itu dikira sebagai fasiq sekiranya melakukannya sebanyak tiga kali.  (Lihat Sifat al-Fatwa wal-Mufti, hlm. 13)

Menjawab persoalan di atas, kami cenderung bahawa pernikahan yang berwalikan seorang perokok itu adalah sah. Dengan syarat, wali tersebut terlebih dahulu memperbanyakkan amal soleh dan juga taubat, sehinggalah tiba hari pernikahan. Hal ini kerana Seseorang wali yang juga merupakan perokok mempunyai kekurangan kepada sifat ‘adalah (keadilan) mereka.

Sebagai kesimpulan, sifat ‘adalah mahupun fasiq, bukanlah suatu yang bersifat kekal sehingga hari kematian seseorang itu. Ini kerana, iman seseorang itu bertambah dan berkurang. Ia bertambah dengan amal ketaatan dan ia berkurang dengan amal kemaksiatan. Maka bagi seseorang yang melakukan dosa-dosa yang boleh menjadikan dirinya sebagai seorang fasiq, dengan cara bertaubat daripada melakukannya menjadikan dirinya berubah kepada sifat ‘adalah.

Mengambil kesempatan di sini, kami menasihati kepada umat Islam agar meninggalkan rokok dan perbuatan merokok. Banyak data yang menjelaskan akan kemudharatan merokok berbanding kebaikannya. Antara data yang dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai bahayanya merokok, ialah mengakibatkan strok, serangan sakit jantung, dan mengakibatkan kanser paru-paru. (Lihat Sifat al-Fatwa wal-Mufti, hlm. 13)

Justeru, Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat lagi benar kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat https://www.infosihat.gov.my/isu-semasa/43-bahaya-merokok.html

Leave a Reply