Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan, bilakah solat jumaat pertama ditunaikan oleh Rasulullah SAW? Dan adakah di Makkah, Rasulullah SAW solat jumaat juga? Mohon penjelasan. 

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Setelah singgah di Quba’, pada hari kelima iaitu hari Jumaat, dengan perintah dari Allah, Baginda berangkat dengan diikuti oleh Abu Bakar untuk menemui Bani al-Najjar. Mereka adalah bapa saudara Rasulullah dari sebelah ibunya. Selepas solat Jumaat, Baginda bergerak memasuki kota Madinah. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 135)

Ketika Rasulullah SAW menuju ke Madinah, maka masuklah waktu solat Jumaat di kawasan perkampungan Bani Salim bin ’Auf, maka Nabi SAW solat di masjid yang berada di tengah-tengah Wadi Ranauna bersama dengan kaum muslimin yang bersama dengan baginda, iaitu seramai 100 orang. Apabila orang Yahudi melihat mereka solat menghadap kiblat mereka, maka terdapat dalam kalangan mereka yang mengingati bahawa Nabi SAW ialah Nabi yang didapati terlulis dalam kitab Taurat dan Injil mereka. (Lihat Dala’il al-Nubuwwah, 2/500; Sirah Ibn Hisyam, 2/108)

Ibn Kathir berkata: Solat Jumaat ini merupakan solat Jumaat pertama yang didirikan oleh Rasulullah SAW bersama kaum muslimin di Madinah dan secara mutlaq, kerana ketika baginda SAW dan sahabat-sahabat baginda tidak mampu mendirikan solat Jumaat berkumpul untuk berhimpun mendengar khutbah dan peringatan ketika di Makkah disebabkan oleh penentangan yang keras oleh kaum musyrikin. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/119; al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/226)

Masjid al-Jumu`ah[1] mendapat nama daripada peristiwa solat Jumaat pertama yang didirikan oleh Nabi SAW ketika Nabi Baginda  bergerak daripada perkampungan Quba` ke tengah Madinah. (Lihat Tarikh al-Madinah al-Munawwarah oleh Ibn Syabbah,1/68)

Marilah sama-sama kita memelihara solat 5 waktu yang wajib ke atas kita terutamnaya solat Jumaat kerana kefarduannya khas dan diperintahkan untuk pergi bersegera ke masjid dan menunaikan solat secara berjemaah yang dimulakan dengan 2 khutbah yang disampaikan oleh khatib. Semoga Allah SWT jadikan kita mereka yang mendiri dan menegakkan ibadat solat:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Masjid ini terletak di sebelah kanan jalan Quba` menghala ke masjid Nabawi, lebih kurang 800 meter dari arah utara masjid Quba` dan 2.5 km dari Bandar Madinah . Masjid ini juga dikenali dengan:

  • Masjid Bani Salim (بني سالم); kerana terletak di perkampungan Bani Salim bin `Auf yang merupakan salah satu cabang daripada kabilah Khazraj.
  • Masjid Wadi (وادي); kerana ia terletak di lembah wadi Ranauna` .
  • Masjid `Atikah (عاتكة) .
  • Masjid al-Qubaib (القبيب) . (Lihat Wafa` al-Wafa, 820/ 3; Tarikh al-Madinah al-Munawwarah oleh Ibn Syabbah, 68/1)

Sepanjang sejarah, masjid ini telah roboh dan dibina semula beberapa kali antaranya binaan Sultan Bayazid al-Uthmani (memerintah sekitar 886- 918 H) sehinggalah ia diperbesar dan diperbaharui pada zaman Khadim al-Haramain Raja Fahad pada tahun 1412 H. Pada hari ini, masjid ini mempunyai satu menara, satu kubah besar dan empat kubah kecil serta mampu memuatkan seramai 650 orang berbanding dahulu yang hanya boleh memuatkan 70 orang . (Lihat al-Masajid al-Athariyyah fi al-Madinah al-Nabawiyyah oleh Muhammad Ilyas Abdul Ghani, hlm. 68-69)

Wallahu a’lam

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply